AWANG menunjukkan ke arah sebatang sungai yang menjadi tempat persembunyiannya bersama dua adik-beradiknya ketika serangan pengganas komunis di Gua Musang.
DISEMBELIH hidup-hidup, ditembak berkali-kali , ditikam tanpa belas kasihan dan diperlakukan seperti haiwan. Itu merupakan antara bentuk kezaliman yang dilakukan komunis ketika bermaharajalela di Tanah Melayu pada zaman darurat.
Tidak cukup dengan penderitaan yang dialami, batang tubuh yang tidak berdaya untuk bergerak malah sudah tidak bernafas sekalipun dibakar dan dihumban sesuka hati.
Perbuatan kejam dan tidak berperikemanusian Parti Komunis Malaya (PKM) itu sudah cukup membuatkan rakyat ketika itu berasa gusar, tidak tenteram dan sentiasa hidup dalam ketakutan.
Ditambah lagi serangan komunis tidak mengenal dan mengira siapa. Bermula usia kanak-kanak sehingga golongan tua, sesiapapun berisiko menjadi mangsa sekiranya bertembung dengan pengganas tersebut.
Malah, wanita yang sarat mengandung juga tidak terlepas daripada menjadi sasaran bedilan peluru komunis.
Melalui pengalaman diserang komunis, Awang Awang Mohamed, 76, menceritakan detik-detik cemas ketika Gua Musang dikepung PKM yang juga dikenali Bintang Tiga.
Semasa kejadian dia dan dua adik-beradiknya dalam perjalanan menuju ke sungai untuk membuang air.
"Namun, situasi bertukar menjadi kelam kabut tatkala mendengar beberapa das tembakan dilepaskan dan jeritan penduduk yang bertempiaran lari menyelamatkan diri.
"Kami adik beradik lantas terjun ke dalam sungai dan bersembunyi di sebalik pokok bagi mengelak dikesan oleh komunis," katanya yang terselamat daripada menjadi mangsa tawanan komunis.
Ramai yang menjadi korban ketika itu bukan saja dalam kalangan penduduk malah polis yang bertugas, termasuk anak isteri dibunuh tanpa belas kasihan.
"Individu yang disyaki menjadi tali barut tentera Jepun turut dibunuh malah jika ada penduduk tempatan yang sebelum ini pernah berselisih faham dengan mereka juga menjadi mangsa," katanya.
Paling menghayat hati apabila seorang lelaki warga emas ditangkap dan diseksa di hadapan ramai penduduk kampung.
Dia bukan sahaja ditembak bertalu-talu malah ditikam beberapa kali. Namun, sangat menakjubkan apabila dia masih lagi bernyawa menyebabkan kumpulan komunis itu bertambah berang.
"Bermacam-macam cara dilakukan bagi membunuh lelaki tua tersebut sehinggalah mereka terpaksa menembak dari arah duburnya barulah dia meninggal dunia ketika dalam keadaan bersujud," katanya.
Nyawa penduduk bagai di hujung tanduk berikutan tindakan komunis yang sering menembak mangsa secara rambang.
"Jika penduduk ingkar terhadap arahan komunis, tembakan demi tembakan terus dilepaskan tanpa ada perasaan simpati. Malah, seorang bapa yang ingin menyelamatkan anaknya daripada terus diseksa turut dibunuh," ujarnya.
Selain itu, komunis juga sering merampas harta benda di samping memeras ugut penduduk bagi mendapatkan wang dan makanan.
Sumber-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140726/re_06/Penduduk-menderita-angkara-komunis#ixzz38uimtl9H © Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan