Kesedaran kerajaan terhadap taraf kesihatan rakyat sentiasa diberikan perhatian utama. Berbagai-bagai kempen dan penerangan telah dijalankan supaya dapat menyedarkan rakyat tentang pentingnya penjagaan kesihatan bagi menjamin kesejahteraan keluarga dan negara. Beberapa badan-badan bukan kerajaan juga telah mengambil bahagian cergas dalam membantu kerajaan dalam kempen-kempen yang dilancarkan. Pada hari ini 5 Julai 1986, Persatuan Pengguna Pulau Pinang telah mengambil inisiatif melancarkan Kempen Anti Gula. Perasmian kempen ini telah dilaksanakan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Dato’ K. Pathmanaban di pejabat Persatuan Pengguna Pulau Pinang. Kementerian Kesihatan mengalu-alukan usaha yang dilakukan oleh persatuan ini dalam mengalakkan dan menyedarkan rakyat mengenai penjimatan dan juga bahaya penggunaan gula dari segi kesihatan. Kementerian Kesihatan berpendapat bahawa cara hidup dan amalan pemakanan yang diamalkan oleh rakyat negara ini banyak mendedahkan mereka kepada penyakit-penyakit yang berkaitan dengan gula seperti kencing manis, sakit jantung, darah tinggi, penyakit gigi dan sebagainya. Timbalan Menteri Kesihatan semasa berucap di majlis ini meminta supaya kesedaran mengenai perkara ini perlu diberikan sejak dibangku sekolah lagi. Ceramah dan nasihat perlu diberikan bagi memastikan kempen ini dapat berjalan lancar dan mencapai matlamatnya. Kementerian juga menyeru badan-badan Kerajaan dan bukan Kerajaan lain mengambil langkah seperti yang dilakukan Persatuan Pengguna Pulau Pinang ini. Melalui kempen-kempen kesedaran seperti ini adalah diharapkan taraf kesihatan penduduk negara ini dapat ditingkatkan dan menjamin kesejahteraan dan keharmonian masyarakat.
SUMBER-http://hids.arkib.gov.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan