Isnin, 14 September 2020

Pelakon watak 'Pak Andak' dalam drama 7 Hari Mencintaiku 2 meninggal dunia

 HIBURAN»Selebriti

Isnin, 14 September 2020 | 10:57am



Allahyarham Idris yang menghidap kencing manis, meninggalkan seorang balu dan dua anak.

Pelakon watak 'Pak Andak' dalam drama 7 Hari Mencintaiku 2 meninggal dunia

Oleh Serimah Mohd Sallehuddin

bhhip@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Pelakon drama rantaian, 7 Hari Mencintaiku 2 yang terkenal dengan watak Pak Andak, Idris Mat Diah, 61, meninggal dunia di kediamannya di Putrajaya, kira-kira jam 2.30 pagi tadi.

Berita itu disahkan anak bongsunya, Nur Alia Muliyani, 27, kepada BH Online.

Alia memberitahu, ibu, Che Hawa Abu Bakar, 60, mendapati bapanya berada dalam keadaan lemah, kira-kira jam 2 pagi, di ruang menonton televisyen (TV) tingkat bawah rumah.

"Pada jam 12 tengah malam tadi, saya turun ke dapur dan mendapati bapa tertidur di lantai depan TV. Namun, ketika itu, saya tidak menegur bapa dan naik semula ke bilik.

"Pada jam 1.45 pagi, abang pulang ke rumah dan mendapati bapa sudah beralih tempat, duduk di kerusi.

"Lima belas minit kemudian, ibu yang terdengar bunyi TV yang kuat, turun, namun, mendapati arwah dalam keadaan lemah," katanya.

Alia berkata, mereka segera menghubungi ambulans dan bantuan pernafasan segera diberi pasukan kecemasan.

Namun, katanya, bapa tidak dapat diselamatkan dan disahkan sudah meninggal dunia.

"Bapa menghidap kencing manis yang tinggi tetapi keadaannya baik-baik saja.

"Cuma baru-baru ini, bapa kurang selera makan. Kami bagaimanapun tidak mengesyaki apa-apa kerana sejak disahkan menghidap kencing manis, kami sudah biasa melihat pergerakan bapa tidak seaktif dulu.

"Lagipun arwah bapa sudah berusia lebih 60 tahun.

"Pemergiannya cukup mengejutkan kerana selain kencing manis, bapa tidak sakit. Kami tidak sangka bapa akan pergi kerana arwah memang suka menonton TV sehingga jam 2 hingga 3 pagi," katanya.

Allahyarham Idris meninggalkan seorang balu serta dua cahaya mata.

Jenazah dibawa ke Masjid al-Faizin, Kepong untuk dimandi dan dikafankan. Jenazah dijangka dikebumikan sebelum Zuhur di Tanah Perkuburan Islam Bukit Lagong, Kepong.

Antara drama yang pernah dilakonkan Allahyarham adalah Cucu Tauke Beras, Menantu Bilal, Andainya Takdir dan Zahir Tak Terucap.Selain berlakon, Idris pernah berkhidmat sebagai pustakawan di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) pada era 1980-an.SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE


Tiada ulasan:

Catat Ulasan