MyMetroMutakhir
Hazira Ahmad Zaidi
am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Masjid tertua di Malaysia yang berusia 400 tahun iaitu Masjid Kampung Laut yang terletak di Nilam Puri akan dipindahkan ke tempat asal di Kampung Laut, Tumpat bermula esok.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, sebelum ini, cadangan pemindahan masjid berkenaan pernah dibentangkan di dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) kerana ia warisan yang sangat berharga selain menjadi rujukan kepada pengkaji serta pereka seni bina.Katanya, sekiranya masjid berkenaan tidak dibawa ke tapak asal, ia tidak boleh direkodkan sebagai warisan oleh Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).
"Disebabkan itulah kita berusaha untuk memindahkannya ke tempat asal di Kampung Laut, Tumpat.
"Masjid Kampung Laut dibina pada abad ke-18 dan pernah terselamat daripada banjir besar pada tahun 1926 dan 1966, sebelum ia dipindahkan ke Nilam Puri pada tahun 70-an bagi menyelamatkannya daripada ditenggelami banjir," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) Baidzawi Che Mat.
Ahmad berkata, kos pemindahan masjid dijangka bernilai RM2 juta.
Katanya, pihak kontraktor akan meleraikan struktur asal serta komponen setiap ruang di dalam masjid dengan lebih teliti supaya tiada ketinggalan atau tersilap pasang.
"Ini kerana masjid berkenaan diperbuat daripada kayu cengal dan dibina tanpa menggunakan paku.
"Masjid ini dijangka siap dicantum sepenuhnya Januari 2022 dan ia adalah usaha untuk mengekalkan nilai sejarah, budaya dan seni bina masjid serta mencipta mercu tanda warisan di Kelantan," katanya.
Pemindahan itu akan dilakukan dengan kerjasama kerajaan negeri, ECERDC, Jabatan Warisan Negara, Arkib Negara Malaysia, Muzium Kelantan dengan jarak sejauh 22 kilometer (km) dari Nilam Puri ke Kampung Laut.SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2020 @ 6:48 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan