MyMetroMutakhir
Roselan Ab Malek
am@hmetro.com.my
PENDUDUK di Kampung Baharu, dekat Jerantut, mengambil inisiatif untuk melakukan kerja pemuliharaan Masjid Lama Kampung Baharu yang dikatakan berusia lebih satu abad.
Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Baharu, Mohamed Said berkata, usaha pemuliharaan itu dilakukan adalah untuk menjadikannya sebagai bangunan warisan sejarah kampung dan sebagai pusat kegiatan kampung kerana struktur bangunannya masih kukuh.
Beliau berkata, mengikut cerita orang dahulu, masjid itu dibina pada tahun 1917 dan struktur bangunan daripada kayu merbau itu masih kukuh dan tidak mengalami sebarang kerosakan meskipun sudah terbiar lama.
“Penduduk mengambil keputusan bergotong royong mencuci dan membersihkan bahagian dalam serta luar masjid selain mengecat semula bangunan itu.
“Masjid yang terletak di tepi Jalan Jerantut-Benta ini dikatakan dibina oleh seorang tukang kayu mahir yang berketurunan Cina dari Melaka. Ia tidak pernah dialih atau dipindahkan, tidak pernah dilanda banjir malah tapak masjid ini adalah tapak asalnya,” katanya.
Mohamad berkata, satu ketika dahulu masjid berkenaan digunakan penduduk kampung untuk melakukan ibadat solat, menuntut ilmu agama dan membaca al-Quran.
Katanya, selain untuk memaklumkan waktu solat, beduk di masjid itu akan diketuk jika ada perkara yang perlu dihebahkan kepada penduduk kampung.
“Reka bentuk dan seni bina masjid ini mempunyai persamaan dengan Masjid Demak di Tanah Jawa (Indonesia), Masjid Kampung Laut di Kelantan dan Masjid Kampung Kling di Melaka.
“Pembinaan masjid ini menggunakan sistem tebuk dan pasak atau dikenali sebagai tanggam yang tidak memerlukan pemasangan paku selain mempunyai bumbung berbentuk piramid (bertingkat),” katanya.
Katanya masjid berkenaan akan digunakan sebagai tempat untuk melakukan program keagamaan khususnya bagi anak-anak kampung untuk mengaji selain kelas berkenaan ilmu.SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 November 2019 @ 12:10 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan