Isnin, 28 September 2020

Hajiji Ketua Menteri Sabah ke-16

MyMetroUtama



Yun Mikail

Kota Kinabalu: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Hajiji Noor sah bergelar Ketua Menteri Sabah baharu selepas mengangkat sumpah, 10.32 pagi, hari ini.

Beliau mengangkat sumpah jawatan berkenaan di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri.

Turut mengangkat sumpah Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah.

Manakala, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffry Kitingan dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Dua serta jawatan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah.

Timbalan Ketua Menteri Tiga dipegang Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Dr Joachim Gunsalam selain dilantik sebagai Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Bersatu Sabah, Datuk Masidi Manjun dipilih memegang jawatan Menteri Kerja Raya Sabah dalam Kabinet negeri manakala Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Jahid Jahim sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah.

Terdahulu, rombongan membawa Hajiji tiba di pintu utama Istana Negeri pada 10 pagi.

Hajiji mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri selepas Gabungan Rakyat Sabah (GRS) semalam sebulat suara menamakannya sebagai calon Ketua Menteri Sabah yang baharu.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2020 @ 11:27 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan