Isnin, 21 September 2020

Pahlawan negara Awang Raweng selamat disemadikan

MyMetroMutakhir



Melvin Joni

am@hmetro.com.my

Kuching: Jasad mendiang pahlawan negara, Datuk Sarjan Awang Raweng selamat disemadikan di Makam Pahlawan, Taman Budaya di sini.

Pengebumian mendiang dilaksanakan dengan penuh penghormatan menggunakan peraturan pengebumian negeri dan juga protokol ketenteraan.

Upacara bermula dengan tiupan trompet "Last Post" diikuti dengan dua minit berkabung, kemudian disusuli tiupan trompet "Rouse" dan bacaan doa oleh Reverend Canon Roanni Cannindy.

Bendera Malaysia dan bendera Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diletakkan pada keranda mendiang.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas mewakili Kerajaan Sarawak menyerahkan bendera Malaysia kepada anak mendiang, Panggau Awang diikuti penyerahan bendera ATM oleh Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Zakari Yadi kepada Doris Awang.

Ahli keluarga serta hadirin kenamaan yang lain turut memberikan penghormatan terakhir serta meletakkan bunga pada pusara mendiang.

Beliau selamat disemadikan pada 11.35 pagi.

Terdahulu, jasad mendiang ditempatkan di Dewan Suarah Kuching sejak semalam untuk diberi penghormatan terakhir oleh orang kenamaan dan awam.


JASAD mendiang Awang Raweng dibawa ke Makam Pahlawan selepas ditempatkan di Dewan Suarah untuk diberi penghormatan terakhir. FOTO Melvin Joni

JASAD mendiang Awang Raweng dibawa ke Makam Pahlawan selepas ditempatkan di Dewan Suarah untuk diberi penghormatan terakhir. FOTO Melvin Joni

Awang Raweng meninggal dunia pada usia 104 tahun sekitar jam 2.15 petang Jumaat lalu di kediamannya di Jalan Padri, Sri Aman disebabkan uzur.

Beliau adalah satu-satunya rakyat Malaysia yang menerima pingat George Cross daripada kerajaan British dan diundang setiap dua tahun ke London untuk menghadiri sambutan hari lahir Ratu Elizabeth II.

Selain pingat George Cross, beliau turut dianugerahkan Panglima Setia Bintang Sarawak oleh Kerajaan Sarawak pada 2018, Pingat Jasa Malaysia 2011 dan terdahulu Queen Elizabeth II Diamond Jubilee Medal 2012, Queen Elizabeth II Golden Jubilee Medal 2002, Queen Elizabeth II Silver Jubilee Medal 1977 dan Queen Elizabeth II Coronation Medal 1953.

Malah, beliau juga anugerahkan Ijazah (Kehormat) Sarjana Pengajian Strategik oleh Universiti Pertahanan Nasional Malaysia pada 27 Oktober 2015.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2020 @ 5:21 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan