MyMetroAddin
Dr Khairul Asyraf Mohd Nathir
PERISTIWA bulan terbelah adalah satu mukjizat baginda Nabi SAW sebagai bukti kerasulan baginda kepada kaum kafir Quraisy. Peristiwa yang berlaku lima tahun sebelum hijrah Nabi SAW ke Madinah ini digambarkan oleh Allah SWT dalam al-Qur'an: "Telah hampir saat (kedatangan hari kiamat) dan terbelahlah bulan." (Surah al-Qamar ayat 1)Sebab penurunan ayat ini adalah ketika kaum kafir Makkah meminta kepada Rasulullah SAW memperlihatkan tanda-tanda kebesaran Allah SWT serta menguji kebenaran risalah baginda dengan meminta baginda membelah bulan.
"Orang-orang Makkah meminta Nabi SAW untuk mendatangkan sebuah mukjizat. Bulan pun terbelah dua di Makkah. Turunlah firman Allah: 'Telah dekat datangnya saat itu dan telah terbelah bulan.' Sampai firman-Nya '(Ini adalah) sihir yang terus-menerus." Al-Qamar: 1-2] (Hadis Riwayat at-Tirmidzi)
Maka Allah SWT mengabulkan doa baginda hingga pada malam tersebut jelas bulan terbelah menjadi dua bahagian. Satu bahagian Gunung Abu Qubais dan satu bahagian di as-Suwaida.
Dari Abdullah bin Mas'ud RA, ia berkata: "Aku melihat bulan terbelah menjadi dua bahagian sebanyak dua kali. Peristiwa ini terjadi di Makkah sebelum hijrahnya Nabi SAW. Satu potongan di atas Gunung Abu Qubais dan potongan lainnya di atas as-Suwaida. Mereka berkata: 'Bulan telah disihir'. Turunlah firman-Nya: 'Telah dekat datangnya saat itu dan telah terbelah bulan.'" (Hadis Riwayat al-Hakim)Ketika musafir tiba, mereka turut menyaksikan hal yang serupa. Tetapi kaum kafir Makkah tetap mengingkari mukjizat tersebut dan berkata: "…(Ini adalah) sihir yang terus menerus."
Maulana Muhammad Ali mengatakan dalam tafsirnya bahawa peristiwa terbelahnya bulan yang terjadi pada zaman Nabi Muhammad SAW itu tergolong dalam hadis yang masyhur dan disahihkan oleh Imam Bukhari dan Muslim. Ibnu Athir sendiri mengatakan: "Peristiwa terbelahnya bulan itu diriwayatkan dalam hadis mutawatir."
Sebahagian ahli tafsir menafsirkan ayat ini menjelaskan peristiwa terbelahnya bulan bukan sahaja merujuk kepada mukjizat pada zaman Nabi Muhammad SAW, tetapi isyarat kepada hari kiamat semakin dekat. Terdapat ahli tafsir mengatakan kata insyaqqal-qamar bermaksud sesuatu yang menjadi terang. Fakta ini merujuk kepada bangsa Arab yang mengibaratkan perkara yang sudah jelas sebagai bulan iaitu seperti waktu pagi yang diibaratkan falaq, yang membawa maksud merekah atau membelah. Imam ar-Rāghib al-Isfahāniy dalam kitabnya Al-Mufradāt li alfāẓ al-Qur"ān menjelaskan kalimat insyaqqal-qamar mempunyai tiga pengertian: (1) Bulan terbelah pada zaman Nabi SAW. (2) Terbelahnya bulan petanda Hari Kiamat semakin dekat. (3) Sesuatu perkara menjadi terang
Daripada Ibn Mas'ud RA berkata: "Terbelah bulan pada zaman Nabi SAW kepada dua bahagian. Maka sabda Nabi SAW 'lihatlah kamu semua.'" (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Ayat dan hadis tersebut menjelaskan mengenai isyarat kemunculan hari kiamat yang semakin dekat melalui pembelahan bulan pada zaman Nabi SAW. Ibn Kathir menjelaskan, Huzaifah RA telah menyampaikan khutbah di hadapan ramai orang: "Ingatlah, hari kiamat benar-benar sudah dekat. Bukankah bulan telah terbelah? Dan bukankah dunia ini akan hancur lebur? Ingatlah hari ini merupakan saat terakhir dari perbuatan buruk, sedangkan esok adalah saat pecutan dalam hal kebajikan."
Ibn Mas'ud berkata: "Lima pertanda (hari kiamat) yang telah berlalu iaitu runtuhnya kaisar Rom, tragedi penyiksaan, (terbelahnya) bulan dan (munculnya) asap." (Tafsir Ibn Kathir-4/262)
Imam an-Nawawi menjelaskan fakta yang dikemukakan oleh Imam az-Zujaj: "Sebahagian tukang bid'ah mengingkari perkara ini disebabkan hati mereka buta dalam memahami peristiwa ini. Bahkan fakta secara logik juga tidak dapat menolaknya kerana bulan juga makhluk Allah SWT dan kemampuan Allah untuk melakukan apa sahaja untuk makhluknya sama ada menghancurkan atau menghilangkannya."
Penjelasan di atas menunjukkan satu bentuk pemahaman iaitu akal tidak mampu untuk mengingkari peristiwa ini. Pembuktian melalui ilmu pengetahuan semasa turut memperkukuhkan fakta tersebut.
Fakta sains berkaitan pembelahan bulan
Sains khususnya menerusi pandangan ahli kaji bintang menegaskan terdapat pembuktian yang menunjukkan bulan pernah terbelah berdasarkan kewujudan garisan pada permukaan bulan. Walaupun terdapat beberapa fakta yang kuat dikemukakan oleh beberapa ahli aeroangkasa, namun tiada kenyataan rasmi yang dibuat oleh Nasa secara langsung berkaitan peristiwa ini.
Zaghlul Al-Najjar (2008) menjelaskan pembelahan bulan yang berlaku pada zaman Nabi SAW meninggalkan kesan yang dapat dilihat pada hari ini. Kesan tersebut merujuk kepada garisan bulan yang dicantumkan semula selepas proses mukjizat Nabi SAW itu berlaku. Namun, Nasa yang merakamkan gambar bentuk bulan sekitar 1969 terus menafikan garisan rekahan tersebut adalah satu bentuk mukjizat Nabi SAW dan bulan tidak pernah terbelah atau terpecah seperti yang diceritakan. Bailey pada 2010 menjelaskan: "Cadangan saya adalah untuk tidak mempercayai semua yang anda baca di internet. Artikel yang disemak adalah satu-satunya sumber maklumat yang sah secara saintifik di luar sana. Tiada bukti saintifik semasa melaporkan bulan dipisahkan kepada dua (atau lebih) bahagian dan kemudian dipasang semula pada bila-bila masa dahulu."
Merujuk kepada pandangan tersebut, fakta yang dikemukakan Islam bukan melalui sumber artikel yang disebarkan dalam internet seperti yang digambarkan namun keseluruhan kebenaran yang dikemukan melibatkan pembuktian dari kitab suci al-Quran dan hadis Nabi SAW berdasarkan sumber sahih. Justeru, gambaran yang dibuat adalah satu bentuk penafian yang diketahui oleh mereka namun tidak dibuktikan kerana melibatkan hal ehwal Islam yang membolehkan sejumlah besar manusia akan mengikuti agama Islam apabila diketahui kelak.
Oleh itu, sebagai umat Islam, kita wajib mempercayai terbelahnya bulan adalah satu mukjizat Nabi Muhammad SAW dan ia dijadikan Allah SWT adalah untuk memberi peringatan kepada hamba-Nya mengenai hari kiamat yang bakal tiba kelak.Penulis Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2020 @ 9:14 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan