OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
Sejarah pendidikan tinggi Islam
di negara ini semakin nyata apabila tertubuhnya Universiti Islam Antarabangsa
(UIA) di negara ini. Selain daripada pengambilan pelajar-pelajar tempatan,
universiti ini juga mengambil pelajar daripada luar negara, Universiti Islam
Antarabangsa telah ditubuhkan secara rasmi pada 21 Mei 1983, apabila Yang
di-Pertuan Agong menandatangani persetujuan penubuhannya. Dalam usaha
memantapkan pentadbiran Universiti ini, pada hari ini 22 Julai 1983, Yang
di-Pertuan Agong telah melantik Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah sebagai
Ketua Pelembagaan UIA. Pada masa yang sama Ketua Perlembagaan telah melantik
bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Hussein Onn, sebagai Presiden UIA yang pertama.
Pengumuman ini telah dibuat oleh Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Sulaiman Daud
sewaktu melawat Kampus Sementara di Maktab Perguruan Islam, Petaling Jaya,
Selangor. Selain daripada pelantikan dua jawatan tertinggi di atas, pelantikan
pegawai-pegawai kanan akademik telah dilakukan. Bagi bidang akademik iaitu
Prof. Datuk Ahmad Ibrahim sebagai Kuliyah Undang-undang, Prof. Dr.Mohd Kamal
Hassan sebagai Syeikh Markaz Ilmu Teras dan Prof. Madya Syed Othman Syed
Hussain Al-Habshi sebagai Penyelaras Program Ekonomi dan Pengajian
Perniagaan. Universiti Islam
Antarabangsa akan memulakan sesi pengajian buat pertama kali pada 18 Julai
1983, dengan pengambilan 180 orang pelajar daripada dalam dan luar negeri iaitu
130 daripada negara ini dan 50 daripada luar negara. Buat permulaan dua program
asas yang diperkenalkan ialah program Undang-undang dan Ekonomi. Dengan
pengumuman yang dibuat oleh Menteri Pelajaran ini, usaha-usaha mempercepatkan
kemajuan Universiti Islam yang pertama di negara ini akan dapat berjalan dengan
lebih lancar lagi.[1]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan