OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
Pada bulan April 1511 Alfonso de
Albuquerque telah meninggalkan Goa di India dengan menaiki kapal perangnya Flor
de la Mar untuk menyerang Melaka. Beliau
tiba di pelabohan Melaka pada 1 Julai 1511. Kedatangan beliau adalah ekoran
daripada peristiwa yang telah dialami oleh Panglima Perangnya Lopez de Sequeira
semasa rombongan tersebut yang datang ke Melaka pada 1509. Dalam peristiwa tersebut rombongan Lopez de
Sequeira telah diserang dan sebilangan askarnya ditahan oleh Bendahara Melaka. Keadaan ini terjadi di atas hasutan
pedagang-pedagang Arab dan India yang menaruh curiga dan iri hati terhadap
perdagangan yang akan dijalankan oleh saudagar-saudagar Eropah itu. Pada hari
ini 25 Julai 1511, Alfonso de Albuqueque telah mula menyerang bandar dan
pelabuhan Melaka selepas beberapa rundingan dengan pemerintah Melaka menemui
jalan buntu. Sultan Mahmud dan anakanda baginda Raja Ahmad berserta dengan
pasukan tenteranya telah bermati-matian mempertahankan Melaka daripada serangan
ganas Portugis itu. Pihak Portugis pula
mempunyai maksud yang lebih besar iaitu selain dari ingin menguasai pelabuhan
yang kaya itu mereka juga membawa misi keagamaan tersendiri iaitu meneruskan
perang salib ke atas orang-orang Islam seluruh dunia. Askar Portugis telah
melancarkan serangan pada waktu Subuh pada hari ini dengan kekuatan tentera
seramai 800 orang Portugis, dan 200 orang askar Malabar yang lengkap
bersenjata. Mereka mendarat di bahagian
utara dan selatan bandar Melaka. Sultan Mahmud dan Raja Ahmad telah bertempur
hebat dengan tentera Portugis selama beberapa jam yang mengakibatkan ramai
askar daripada kedua-dua belah pihak terbunuh. Banyak rumah, harta benda dan
istana Sultan sendiri telah musnah dalam serangan ini. Saki baki askar-askar
Portugis pula yang merasakan kekalahan telah lari semula ke kapal perang mereka
di laut. Ramai diantara mereka mati
terkena tembakan meriam, tombak dan sumpitan beracun orang-orang Melayu.
Orang-orang Melayu Melaka telah dapat
mempertahankan tanah air mereka dari pencerobohan Portugis dalam serangan kali
pertama ini. Mereka telah dapat mempertahankan Melaka daripada kuasa besar yang
mempunyai tujuan untuk menguasai perdagangan dan menghapuskan perkembangan
Islam. Kekalahan Portugis itu kemudiannya telah ditebus kembali pada 10 Ogos
1511, apabila Alfonso de Albuquerque sekali lagi menyerang bandar Melaka. Dengan tipu helah yang dijalankan oleh
Alfonso de Albuquerque dan sikap saudagar-saudagar India di dalam bandar Melaka
yang membantu Portugis serta bantuan daripada jong-jong saudagar China di laut
telah memberikan kejayaan kepada Portugis menguasai bandar dan Pelabohan Melaka
yang kaya raya itu. Portugis terus
bertapak di Melaka hinggalah kalah di tangan askar-askar Belanda pada 1641.[i]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan