OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
Pada hari ini 29.07.1886,
Maharaja Abu Bakar telah ditabalkan sebagai Sultan Johor. Upacara pertabalan
berlangsung di Istana Besar Johor Bahru dengan cara yang sederhana tetapi penuh
istiadat. Sultan Abu Bakar telah dilantik menjadi Temenggong Johor menggantikan
ayahandanya Tun Ibrahim pada 1862. Baginda mendapat gelaran Maharaja pada tahun
1868. Sungguhpun baginda telah menaiki takhta Kerajaan Johor pada 1877, setelah
kemangkatan Sultan Ali, tetapi upacara pertabalan hanya berlangsung 9 tahun
kemudian iaitu pada hari ini dalam tahun 1886. Sebagai seorang Sultan yang
memerintah, baginda amat disayangi dan disanjung tinggi oleh rakyat. Ini adalah
kerana jasa-jasa dan usaha gigih baginda membangun dan memodenkan negeri Johor
dalam segala bidang termasuk sosial, ekonomi dan politik. Dalam bidang sosial
baginda memainkan peranan penting dengan usaha menubuhkan perkhidmatan
perubatan, pelajaran, pos dan kemudahan awam. Manakala dalam bidang ekonomi
pula, sebagai seorang yang berminat dengan perniagaan baginda telah
menggalakkan kemasukan buruh-buruh asing menetap di Johor bagi memajukan
perusahaan lada hitam dan gambir. Di samping itu baginda juga telah
mengusahakan penubuhan pejabat kastam bagi memudah pemasaran hasil-hasil
tersebut. Memandangkan kegigihan baginda memaju dan memodenkan Johor, sudah
sewajarnya baginda digelar 'Bapa Johor Moden' dan menjadi Sultan yang paling
masyhur hingga keluar negara. Ini adalah kerana sikap dan kegemaran baginda
menjelajah dan mendampingi orang kenamaan termasuk Queen Victoria dan King
George V. Dengan itu tidak hairanlah kemasyhuran baginda kekal hingga ke hari
ini walaupun baginda telah mangkat pada 4 Jun 1895.[1]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan