Sabtu, 16 Mac 2019

SUMBANGAN IBN BATTUTAH

OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
      Ibn Battutah atau nama sebenarnya Muhammad bin Abd Allah al-Lawati dilahirkan pada 1304 di Tanger, Maghribi. Sejarah pengembaraannya bermula ketika usianya baru mencecah 21 tahun. Beliau meninggalkan kampung halamannya untuk mengerjakan ibadat haji di Makkah dan mendalami ilmu pengetahuan khususnya yang berkaitan dengan hal ehwal agama Islam. Sepanjang pengembaraan sulunnya, beliau melalui kawasan-kawasan seperti Maghribi, Palestin, Mesir, Syam dan Madinah.[1]

      Dari segi peribadi, beliau dikatakan seorang yang mempunyai keperibadian yang mulia, berwibawa, pandai berdiplomasi, berpendirian tegas, gigih dan mahir berkomunikasi dengan menggunakan bahasa asing seperti bahasa Parsi dan Turki. Sumbangan terpenting Ibn Battutah dalam bidang pelayaran ialah kemampuannya menghasilkan karya yang berjudul Tuhfat al-Nazar atau lebih dikenali sebagai al-Rihlah. Sarjana atau orientalis Barat menyifatkan beliau sebagai The Prince of Muslim Travellers.[2]  

Pengembaraan Ibn Battutah.
a. Peringkat pertama
b. Peringkat kedua
c. Peringkat ketiga
d. Peringkat keempat.[3]
Pelayaran lbn Battutah dapat dibahagikan kepada empat tahap
(a) Tahap pertama pelayaran beliau ialah perjalanan dari Maghribi ke kota Makkah yang merentasi bahagian utara Afrika seperti Mesir, Libya dan Algeria. Dalam perjalanan tersebut, beliau telah mencatatkan pengalamannya di tempat bersejarah seperti Baitulmuqaddis. Di Syam, beliau membuat pemerhatian tentang tinggalan kerajaan Umayyah sehinggalah tercapai hasratnya untuk menunaikan haji di Makkah.
(b) Peringkat kedua pelayaran Ibn Battutah ialah perjalanan pulang dari kota Makkah, lokasi awal yang ditujuinya ialah selatan Iraq. Dalam perjalanan ini, beliau telah menempuh pelbagai cabaran ketika menyeberangi Sungai Furat dan Dajlah. Setelah tiba ditempat yang ditujui,beliau kembali semula ke kota Makkah.
(c) Tahap ketiga pelayarannya ialah perjalanan yang bermula dari Makkah ke Yaman, diikuti Afrika Timur, Oman, Bahrain, Sudan, Mesir lJtara,Turki hinggalah sampai ke constantinople. Di Turki, beliau telah mengiringi rombongan yang dihantar oleh Uzbek Khan untuk menemui Kaisar Byzantine dan beliau turut diberikan penghormatan oleh pemerintah kota tersebut.
(d) Peringkat keempat pelayarannya bermula dari Turki ke India melalui Bukhara, Samarkand, Khurasan dan Afghanistan. Di India, beliau telah dilantik sebagai kadi sewaktu pemerintahan kerajaan Tuhgluq dan sempat meninjau pelbagai adat resam dan kebudayaan masyarakat India. Pengembaraan ke benua Asia diteruskan ke china. Dalam perjalanan ke negara tersebut, beliau telah singgah di Sumatera dan Jawa.[4]

Di Pasai, beliau telah diberikan penghormatan oleh sultan kerajaan tersebut, iaitu Malik al-Zahir serta menyediakan kelengkapan untuknya bagi belayar ke China.

      Setelah pulang mengembara dari China dan tiba di Maghribi, beliau sekali lagi memulakan perjalanan merentasi Laut Mediterranean menuju ke Andalus dan balik semula ke Maghribi sebelum menjelajah sekali lagi merentasi gurun Sahara untuk sampai ke Sudan dan beberapa buah negeri di Afrika.[5]



[1] Mahayudin Hj.Yahya et.al.,Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,Edisi Ketiga (Shah Alam:Oxford Fajar,2017),175.
[2] Mahayudin Hj.Yahya et.al.,Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,(Shah Alam:Oxford Fajar,2013),144.
[3] “Penerokaan”,dalam Modul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah,(Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia,2013), 96.
[4] Mahayudin Hj.Yahya et.al.,Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,Edisi Kemaskini(Shah Alam:Oxford Fajar,2014),155.
[5] Ibid,156.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan