Sabtu, 9 Mac 2019

Jelaskan sumbangan al-Ghazali dalam bidang falsafah.20m

Nama sebenar Imam al-Ghazali ialah Muhammad al-Thusi al-Imam Abu Hamid al-Ghazali. Beliau dilahirkan di Thus pada tahun 1058M. Antara guru yang pernah mengajar beliau ialah Imam al-Radzakani, Imam al-Abi Nash al-Ismaili, dan Imam al-Haramain Abu Ma’ali al-Juwaini.
       Sebagai individu yang tekun menuntut dan ilmu pengetahuan, beliau telah berjaya menguasai pelbagai cabang ilmu seperti usuluddin, usul fiqh, mantik, membaca hikmah dan yang
paling terkenal ialah falsafah. Kelebihan tersebut membolehkan beliau menulis dan menyusun kitab-kitab daripada pelbagai aspek ilmu yang telah dipelajarinya.

      Imam al-Ghazali membahagikan golongan yang membahaskan falsafah kepada tiga, iaitu ateis,natural. dan teologi. Golongan pertama, iaitu ateis ialah golongan yang mengingkari wujudnya pencipta yang mentadbir seluruh alam ini. Golongan kedua, iaitu natural ialah golongan ilmuwan yang banyak mengkaji berkaitan dengan tabiat, kejadian dan anatomi manusia, tumbuhan serta haiwan. Golongan ketiga ahli teologi, iaitu ahli yang membincangkan soal-soal ketuhanan seperti Plato, Aristotle, dan Socrates. Golongan ini membahaskan perkara-perkara berkaitan tuhan dengan bersumberkan akal.

      Imam al-Ghazali merupakan orang pertama yang mengklasifikasikan semula ilmu falsafah kepada enam bahagian, iaitu matematik, mantik, fizik, ketuhanan, siasah, dan akhlak.Matematik menurut Imam al-Ghazali adalah berkaitan dengan ilmu hisab dan kejuruteraan. Ia tidak berkaitan dengan perbahasan dari sudut agama.

      Mantik pula ialah ilmu yang berkaitan dengan logik akal dan bagaimana akal sebagai agen penyusun hujah-hujah yang dikemukakan.Ilmu fizik pula berkaitan dengan kajian alam, langit, bintang, air, udara, dan alam seluruhnya.

      Ilmu ketuhanan dalam falsafah mengkaji aspek ketuhanan daripada perspektif akal. Ilmu ketuhanan ini didasari perbincangan mantik dan logik. Ilmu ini menurut Imam al-Ghazali tersimpang daripada falsafah ketuhanan yang sebenar.

     Siasah menurut Imam al-Ghazali adalah perkara yang berkaitan dengan unsur-unsur keduniaan yang membantu manusia menjalani kehidupan seharian dengan lebih baik.Ilmu yang terakhir dalam falsafah menurut beliau ialah akhlak. Akhlak merupakan ilmu yang berkaitan cara seseorang menjalani kehidupan seharian dengan sikap dan peribadi yang mulia.

     Metodologi yang diasaskan oleh Imam al-Ghazali adalah lebih jelas dan terperinci. Antara
penulisan beliau yang terkenal dalam bidang falsafah ialah Maqasid al-falasifuh, al-Munqiz min aldhalal, dan Tahafut al-falasifah.

      Imam al-Ghazali memainkan peranan yang penting dalam perkembangan ilmu falsafah Islam.Beliau dapat menyelamatkan akidah umat Islam daripada terus direntap oleh fahaman falsafah ketuhanan Yunani yang tidak bertauhid kepada agama yang suci, iaitu Islam. Imam al-Ghazali berjaya mempertahankan kemurnian Islam sekali gus mengelak amalan mengagung-agungkan falsafah Yunani tanpa menyedari ia bertentangan dengan akidah Islam.

Kesimpulannya,kemampuan Imam al-Ghazali memanfaatkan ilmu yang dipelajari daripada tokoh-tokoh ulama serta kebijaksanaan beliau berhujah dengan mengemukakan pandangan-pandangan yang bernas menyebabkan beliau disanjung tinggi oleh umat Islam.Gelaran hujjatul Islam yang diberikan kepada beliau sememangnya amat tepat berdasarkan sumbangan yang telah diberikan oleh beliau.
Sumber rujukan-Mohd Zaki Ahmad,Score in STPM Penggal 2 Sejarah Islam (500-1918) Kertas2 940/4 Kertas Model, (Shah Alam: Oxford Fajar.2013)  ,76-77.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan