SKUAD Olimpik 1980 negara yang mencatat sejarah layak ke sukan berprestij
itu. MINGGUAN/AZMAN ASMAYATIM
KU SYAFIQ KU FOZI
31 Mac 2019 3:00 AM
Olimpik Moscow. Itu kali kedua pasukan bola sepak Malaysia layak ke Sukan
Olimpik. Kali pertama, pasukan negara beraksi penuh megah di Munich, Jerman
(ketika itu Jerman Barat) pada 1972 walaupun terkandas di peringkat kumpulan.
Misi layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980 penuh emosi dan sentimen. Empat
tahun sebelum itu, misi layak ke Sukan Olimpik Montreal gagal apabila Malaysia
tewas kepada Indonesia dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan.
Malaysia hanya perlu seri dengan Indonesia untuk menempah tempat ke
perlawanan akhir menentang Korea Utara namun sorakan gamat 100,000 penyokong
Indonesia di Stadium Gelora Senayan terlalu gagah untuk ditumbangkan. Malaysia
tewas 2-1 dan Indonesia layak ke perlawanan akhir sebelum tewas dengan Korea
Utara.
Malaysia membariskan pasukan terkuatnya untuk menghadapi kelayakan Sukan
Olimpik Moscow 1980 walaupun tiada kelibat bintang utama negara, Mokhtar
Dahari. Mokhtar ketika itu bersara sementara daripada pasukan kebangsaan.
Berbeza dengan hari ini, pasukan Malaysia ketika itu dibarisi pemain
daripada pelbagai kaum. Diketuai Soh Chin Aun, maruah Malaysia ketika itu turut
digalas beberapa bintang seperti Santokh Singh, R. Arumugam, James Wong, Hassan
Sani dan Bakri Ibni .
Mingguan Malaysia 6 April 1980 memaparkan gambar kesemua 11 pemain utama
Malaysia dan Korea Selatan. Akhbar itu turut mendapatkan ramalan pengurus dan
jurulatih negara-negara yang bertanding dan kebanyakannya menilik Malaysia akan
menang berdasarkan prestasi pasukan yang cemerlang di peringkat kumpulan.
Ramalan-ramalan itu benar belaka. Malaysia menundukkan Korea Selatan dengan
jaringan 2-1. Seluruh Malaysia berpesta meraikan kejayaan itu.
Pasti ramai yang pernah menonton rakaman jaringan akhir James ketika
perlawanan akhir kelayakan menentang Korea Selatan. Ulasan bertenaga Zulkarnain
Hassan yang ikonik mengiringi kepantasan larian Hassan yang menewaskan dua
pertahanan Korea Selatan sebelum bola dilorongkan ke kaki James.
“Dapat kepada Hassan....masih lagi Hassan....cucuk Hassan!” ulas Zulkarnain
dengan penuh teruja.
Dalam detik yang getir dan mendebarkan itu, bukan mudah untuk menjadi
James. Gemuruh boleh memerangkapnya bila-bila masa kerana ketika itu kedudukan
terikat 1-1.
Di hadapan James ada dua pemain Korea Selatan, seorang pertahanan dan
seorang penjaga gol. Ketenangannya mendebarkan penonton, namun James tahu apa
yang dia sedang lakukan.
Dia tidak terus menyepak ke arah gol sebaliknya membuat gelecekan yang
mengelirukan kedua-dua pertahanan dan penjaga gol Korea Selatan. Gawang sebelah
kirinya terbuka luas dan dengan tenang, James melorong bola memasuki gawang.
Seluruh Stadium Merdeka bergema dengan sorakan. Zulkarnain menjerit di
bilik pengulas.
“Gol!... Gol....” Zulkarnain terdiam. Detik membanggakan itu dinikmati
sepenuhnya. Di tengah padang, pemain Malaysia berpelukan. Sinar obor Olimpik
mula kelihatan dalam minda. Alhamdulillah, sejarah 1972 berulang.
Namun, langit tidak selalunya cerah. Obor juga boleh terpadam. Harapan
pasukan Malaysia dirobek keputusan kerajaan untuk memboikot Sukan Olimpik
Moscow kerana membantah pencerobohan Kesatuan Soviet ke atas Afghanistan.
Walaupun sudah layak, Malaysia gagal beraksi di Sukan Olimpik.
Tempat Malaysia diambil alih pasukan Iraq. Pingat emas temasya itu
dirangkul pasukan Czechoslovakia manakala Jerman Timur meraih perak dan pasukan
tuan rumah, Kesatuan Soviet berpuas hati dengan gangsa.
Untuk mengubati duka, kerajaan menyediakan program gantian untuk skuad
Malaysia. Mereka diterbangkan ke Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah
untuk mengikuti latihan serta perlawanan persahabatan.
Skuad kelayakan Sukan Olimpik 1980 boleh dianggap sebagai generasi emas
bola sepak negara. Tanpa umpan gaji mewah, mereka tetap menumpahkan seluruh
usaha dan semangat untuk menjulang nama negara. Perbezaan bangsa dan agama juga
tidak menjadi halangan.
Pujian perlu diberikan kepada arkitek kejayaan negara pada masa itu,
mendiang Karl Heinz Weigang. Dikenali sebagai seorang yang teliti dan tegas,
strategi latihan jurulatih dari Jerman itu menghasilkan keputusan yang
menakjubkan.
Kisah manis itu diabadikan dalam filem Ola Bola (2016). Walaupun tidak
sepenuhnya tepat, kisah kejayaan pasukan negara layak ke Sukan Olimpik seperti
yang ditampilkan dalam filem itu berjaya menghidupkan kembali memori dan
memberi inspirasi kepada ramai lagi anak muda untuk mengulangi kejayaan silam.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/80-tahun-utusan/sejarah-utusan/skuad-olimpik-1980-generasi-emas-bola-sepak-malaysia-1.873182#ixzz5jhsYyauH
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan