ARKIB : 18/08/2006
Kisah Al Quran (Siri 3)
SESUNGGUHNYA Kami telah
mengutuskan Nabi Nuh kepada kaumnya, lalu berkatalah ia: Wahai kaumku!
Sembahlah kamu akan Allah (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain
daripada-Nya. Sesungguhnya aku bimbang kamu akan ditimpa azab pada hari yang
besar (hari kiamat). Ketua-ketua daripada kaumnya berkata: Sesungguhnya kami
melihatmu (Wahai Nuh) berada di dalam kesesatan yang nyata. (al-Araaf: 59-60)
KAUM Nabi Nuh merupakan kaum
yang pertama menyembah berhala. Apabila melihat keadaan itu, Allah mengutuskan
Nabi Nuh untuk memberi peringatan kepada mereka. Nabi Nuh pun menyeru kaumnya
tanpa mengira waktu.
Baginda menyeru dan berdakwah
kepada kaumnya supaya meninggalkan perbuatan syirik itu. Baginda mengajak
mereka supaya menyembah Allah Yang Esa. Baginda menggunakan pelbagai cara untuk
membawa mereka ke jalan yang benar. Namun, mereka tetap ingkar. Hanya sedikit
yang mendengar dakwah dan seruan Nabi Nuh itu.
Apabila Nabi Nuh mengajak
mereka menyembah Allah, mereka mengejek-ejek Nabi Nuh. Malah ada yang sanggup
mencederakan baginda.
Mereka tidak percaya bahawa
Nabi Nuh adalah utusan Allah. Setiap kali Nabi Nuh mengajak mereka supaya
tunduk kepada Allah, mereka menuduh Nabi Nuh gila. Mereka juga menuduh Nabi Nuh
seorang penipu dan pendusta.
Namun, Nabi Nuh tetap bersabar
terhadap tuduhan mereka. Pada suatu hari, orang kaya-kaya dalam kalangan kaum
Nabi Nuh berkata, Wahai Nuh, jika kamu mahu kami mengikutmu, maka usirlah
golongan miskin dan biasa itu. Kami tidak mahu bergaul dengan mereka.
Pada waktu itu, pengikut Nabi
Nuh terdiri daripada golongan miskin dan biasa sahaja. Lalu Nabi Nuh menjawab, Aku
tidak akan mengusir orang-orang beriman. Allah tidak melihat harta dan pangkat
di kalangan hamba-hamba-Nya. Hanya keimanan dan ketakwaan kepada Allah yang
membezakan setiap insan.
Oleh kerana Nabi Nuh enggan
mengusir orang biasa dan miskin daripada menjadi pengikutnya, golongan kaya
tidak mahu mengikut Nabi Nuh.
Kaum Nabi Nuh tetap degil dan
keras hati. Mereka tidak mahu beriman kepada Allah. Pelbagai alasan dikemukakan
mereka apabila diajak supaya menyembah Allah.
Ada di antara mereka yang
menutup telinga dengan jari kerana tidak mahu mendengar kata-kata Nabi Nuh. Ada
juga yang menutup muka dengan baju kerana tidak mahu melihat wajah baginda.
Mereka terus sombong dan ingkar.
Kaum Nabi Nuh dengan berani
menolak agama yang dibawa oleh Nabi Nuh. Malah mereka mencabar Nabi Nuh dengan
berkata, Wahai Nuh, jika engkau benar, maka datangkanlah azab yang telah
engkau katakan kepada kami.
Baginda menjawab dengan sabar, Wahai
kaumku, sesungguhnya aku tidak mampu berbuat demikian kerana aku ini hanya
insan biasa. Aku hanya nabi Allah yang diutuskan untuk memberi peringatan.
Hanya Allah yang mampu menimpakan azab ke atas sesiapa yang Dia kehendaki.
Nabi Nuh terus berdakwah dengan
sabar dan memberi peringatan tentang azab Allah kepada mereka yang ingkar.
Baginda tidak pernah berputus
asa dalam berdakwah kepada kaumnya yang degil itu.
Allah pun memberikan balasan
yang dahsyat kepada kaum tersebut kerana keingkaran mereka. Mereka telah
ditenggelami oleh banjir yang besar.
Hanya orang yang beriman sahaja
yang terselamat kerana mereka menaiki bahtera yang dibina oleh Nabi Nuh.
- Petikan daripada Untaian 366
kisah daripada al-Quran,Edusystem Sdn. Bhd.
Tel: 03-6137 9220/8396/7834
atau Emel: edusb@streamyx.com
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0818&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_05.htm#ixzz4mFXuELzK
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan