ARKIB : 17/08/2006
KATAKANLAH (wahai Muhammad): Sesungguhnya
aku hanyalah seorang manusia seperti kamu; diwahikan kepadaku bahawa Tuhan kamu
hanyalah Tuhan yang Satu; maka hendaklah kamu tetap teguh di atas jalan yang
betul lurus (yang membawa kepada mencapai keredaan-Nya) serta pohonlah
kepada-Nya mengampuni (dosa-dosa kamu yang telah lalu). Dan (ingatlah),
kecelakaan besar bagi orang-orang yang mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu yang
lain). (Fussilat: 6).
HURAIAN
Nabi Muhammad merupakan rasul
terakhir yang diutuskan oleh Allah s.w.t. kepada seluruh umat manusia di muka
bumi ini bertujuan menyebarkan ajaran Islam dengan menyeru mereka mengesakan
Allah s.w.t., tiada tuhan yang layak disembah melainkan-Nya. Manusia diseru
supaya mematuhi segala suruhan-Nya dan meninggalkan apa yang dilarang oleh-Nya.
Sebagaimana nabi-nabi dan
rasul-rasul yang diutuskan sebelum ini, baginda juga adalah dalam kalangan
manusia. Walaupun baginda seorang yang ummi (tidak tahu membaca) tetapi baginda
dapat mempelajari dan mendalami al-Quran dengan sebaiknya dengan dibantu oleh
malaikat Jibril a.s.
Baginda juga terkenal dengan
akhlak terpuji dan budi pekerti yang tinggi sehingga menjadi idola dan contoh
tauladan kepada manusia sejagat di sepanjang zaman.
Setelah melalui pelbagai
rintangan ketika mengembangkan agama Allah s.w.t., baginda dapat melembutkan
hati-hati yang keras agar memeluk Islam dengan menggesa mereka agar bertaubat
terhadap kesalahan dan dosa yang lampau. Mereka juga diberi peringatan bahawa
sesiapa yang mempersekutukan Allah s.w.t. dengan sesuatu yang lain akan
mendapat balasan azab di akhirat kelak. Akhirnya, jadilah mereka orang yang
sanggup berkorban dan mempertahankan Islam hingga ke titisan darah yang
terakhir.
KESIMPULAN
Kejayaan Rasulullah s.a.w.
menyebarkan agama Allah s.w.t. sungguh mengkagumkan. Sehingga kini kita masih
mampu merasai kemanisan iman yang dibawa oleh baginda. Sebagai generasi Islam
masa kini, kita hendaklah meneruskan dakwah Islamiah bagi memperjuang dan
menyambung usaha baginda dalam menegak dan mengembangkan syiar Islam di serata
dunia.
- Disediakan oleh Jabatan
Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)
SUMBER-Artikel
Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0817&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm#ixzz4mFQvFbbN
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan