TAN SRI ABDULLAH AHMAD
14 JANUARI 2016
TAN SRI ABDULLAH AHMAD
HARI ini genap 40 tahun Tun Razak kembali ke rahmatullah. Setelah Allahyarham dilupakan dari ingatan nasional (national conciousness) tiba-tiba memori dan jasanya dikenang.
Sebelah pagi seminar berkenaan Tun Razak berlangsung, malam ini Astro TV menayangkan filem tentangnya dan juga tahlil untuknya di Masjid Ar-Rahah di sebelah Angkasapuri di Kampung Kerinchi.
Masjid ini dinamakan sempena balu Tun Razak, Tun Rahah Noah dan dibiayai sepenuhnya, saya difahamkan, oleh anak bongsu mereka, Datuk Seri Nazir, bos besar CIMB.
Wajar memperingati Tun Razak: 30 peratus kekayaan negara mesti dimiliki Melayu dan Peribumi serta profesion harus mencerminkan bilangan penduduk. Semua sedar matlamat ini tidak lagi menjadi fokus kerajaan. Sedih!
Di mana pewaris politik Tun Razak? Titah Sultan Perak Nazrin Muizzuddin Shah, relevan dan tepat sebab baginda diplomatik kenyataannya agak lembut.
Jika Melayu Peribumi celik mata dengan terang harta, tanah, rumah dan bisnes terus dikuasai orang dagang dan pihak yang sudah pun dominan.
Sebenarnya neokolonialisme sudah lama berada di Malaysia. Bijaknya Melayu dan Peribumi menang sorak kampung tergadai! Pengemis dan broker di negeri sendiri.
Biasalah bagi bangsa Melayu mudah lupa pada pemimpin yang banyak berbakti apa lagi sebab dia tiada lagi.
Melayu Baru asyik mengangkat dan menyanjung pemimpin yang berkuasa sahaja (walaupun sanjungan itu tidak jujur.) Kita senang lupa sejarah sebab tenggelam dalam kemewahan - benarkah Melayu senang dan mewah? Melayu hanya melihat pada pemimpin yang memegang jawatan.
Hilang jawatan hilanglah hormat mereka kepada pemimpin itu.
Sebab saya berkhidmat dengan Tun Razak dalam pelbagai jawatan dan status tidak putus selama 14 tahun (1962-1976) tatkala saya baru berusia 25 tahun hingga Tun Razak menghembus nafasnya terakhir di London 14 Januari 1976, saya dipohon membuat ucapan dalam bahasa Inggeris, bahasa kedua saya, tentang kenangan dan pengalaman saya dengan Allahyarham, suka dan duka, banyak menggembirakan daripada mendukakan.
Walaupun saya masih tidak sihat, saya gagahkan diri menulis ucapan itu yang akan dibaca oleh isteri atau anak saya dan kolum ini kerana saya sanjung memori arwah dan menghormati balunya, Tun Rahah yang masih hidup dan sihat walafiat.
Tun Razak putera gemilang Melayu dan pemimpin ikonik serta terbilang dalam kurun ke-20 selain daripada Tunku Abdul Rahman Putra. Tun Razaklah orang yang memujuk Tunku mengambil alih kepimpinan Umno daripada Datuk Sir Onn Jaafar yang merajuk pada 1951.
Tunku enggan sebaliknya mencadangkan Tun Razak (waktu itu Datuk dan baru berusia 29 tahun) sebagai Presiden Umno.
Tun Razak bermati-matian mahukan Tunku. Sekarang pemimpin berebut-rebut dan tikam-menikam antara satu dan lain untuk memegang jawatan tanpa kira mereka layak atau berbakat. Kawan jadi lawan. Itulah beda antara Melayu Lama dan Melayu Baru.
Kepimpinan bersama Tunku dan Tun Razak (Timbalan Presiden) berlangsung penuh intim selama 19 tahun, mempercayai dan taat setia antara satu dan lain. Tunku bagai bapa kepada Tun Razak dan Tunku menganggap Tun Razak sebagai anak.
Tunku bertindak dalam perkongsian kuasa ini lebih sebagai penaung daripada presiden dan perdana menteri lantas memberi Tun Razak sepenuh mandat mengendalikan kerajaan dan parti. Ibarat perahu takkan karam sebelah atau telur sesangkar, pecah satu pecah semuanya. Begitulah hebat dan mesra perkongsian dan persahabatan mereka.
Sungguhpun, persahabatan kedua mesra sekali peristiwa Mei 13, 1969 telah meletakkan permuafakatan erat itu. Tun Razak dan Tunku tidak akrab lagi.
Setelah Tun Razak mengambil alih jawatan Perdana Menteri 1970 dan Tunku ke Jeddah dan Makkah sebagai Setiausaha Agung Pertubuhan Persidangan Islam sedunia (OIC) hubungan kedua semakin retak: perkara kecil menjadi besar. Seringkas seperti bisik Speaking: “There was no love lost between them.” Persahabatan juga kasih sayang kalau tidak dipupuk selalu akan pudar- lama-kelamaan padam.
Kejadian 13 Mei melancarkan Tun Razak “as a leader on his own.” Maka terserlah bakat kepimpinannya yang tersendiri. Walaupun tidak karismatik seperti Tunku, Tun Razak disanjung kerana dia mempunyai “a sharp sense of power.”
Sungguhpun Tun Razak telah meninggalkan kita 40 tahun silam, saya sentiasa mengingatinya sebab saya adalah menteenya yang dididik dan diasuh sehingga nafas bercerai dengan badannya.
Apalagi tahun lepas parti DAP telah menjemput saya untuk berucap di seminar yang memperingati kematian Tun Razak yang ke-39 tahun. Sambutan hebat.
Pensyarah utama adalah saya dan Lim Kit Siang. Adakah sambutan 40 tahun ini sedikit sebanyak ada kaitan dengan sambutan yang didahului oleh DAP?
Apa pun saya sangat gembira parti pemerintah dan parti pembangkang utama telah memperingati kehilangan Tun Razak. Saya berharap kesinambungan peringatan hari kematian Tun Razak menjadi acara rutin.
Tun Razak sentiasa mahu bangsanya gemilang. Kalau saya ringkaskan hasratnya lebih kurang seperti isi dan semangat puisi Usman Awang.
Bagaimanakah Melayu abad kedua puluh satu
Masihkah tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan
Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara merdeka.
Hasrat Tun Razak ini dan juga cita-cita bangsa kita tidak akan tercapai. Jika orang Melayu terus berpecah-belah dan orang bukan Melayu terutama bangsa Cina tak payah disuruh-suruh, telah bersatu-padu menentang kerajaan dalam PRU13 dan saya yakin keadaan tidak akan berubah dalam pilihan raya umum akan datang.
Yang menyedihkan masih ada 4,189,754 bakal pengundi yang belum lagi mendaftar dan 43 peratus daripada jumlah itu adalah orang Melayu! Bagaimana kita akan memperkuasakan kedudukan politik kita yang semakin lemah itu?
Pada saya, kalau kita sayangkan Tun Razak dan visinya wajarlah kita pada hari ini terutama kepimpinan Umno yang diterajui oleh anak sulungnya membuat keputusan mendaftarkan muda-mudi Melayu yang belum menjadi pengundi.
Jika tidak, saya bimbang visi Tun Razak untuk gemilangkan bangsa Melayu dan negara Malaysia akan menjadi idaman sahaja.
Saya mohon semua membaca al-Fatihah untuk dihadiahkan kepada Allahyarham Tun Razak semoga rohnya dicucuri nikmat dan rahmat oleh ALLAH SWT.
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 14 JANUARI 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan