Pada hari ini dalam tahun 1982, Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Dr. Mahathir bin Mohamad, telah meletakkan batu asas bangunan Ibu Pejabat Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH) di Jalan Pekeliling, Kuala Lumpur. Di dalam ucapannya YAB Perdana Menteri, menyatakan bahawa dengan pembinaan bangunan ini, menandakan satu kemajuan yang telah dicapai oleh LUTH sejak penubuhannya pada awal tahun 60-an serta menjadi lambang kepada ketelitian dan kededikasian pengurusan LUTH sehingga dapat membawa institusi ini ke satu tahap yang boleh dibanggakan. Bangunan yang mendapat sentuhan arkitek terkenal Hijaz Kasturi ini telah dibina di kawasan seluas 600 000 kaki persegi dengan konsep binaan bangunan yang bulat tinggi dan tirus di bahagian tengah serta berbentuk kembang ke bawah. Binaan ini bertujuan mendapatkan ruang yang lebih untuk melicinkan pergerakan kenderaan, sementara binaan kembang di bahagian atas pula adalah untuk mengimbangi seluruh bentuk bangunan di samping menimbulkan kehebatan binaannya. Bangunan ini telah dirasmikan pembukaannya pada 19 September 1985 oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Iskandar Alhaj Ibni Almarhum Sultan Sir Ismail.
Sumber-http://hids.arkib.gov.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan