16 Januari 2016 6:26 PM
AZHAR MAD AROS
BENAR atau tidak? Kebanyakan
masyarakat lebih banyak melihat gambaran watak Hang Tuah menerusi filem
berbanding mengenalinya menerusi dokumen penting yang menyebut nama pahlawan
terunggul itu berulang kali.
Kecenderungan mereka untuk
menonton filem daripada membaca bahan berkenaan bagaimanapun telah mendorong
segelintir penggiat bidang itu menghasilkan karya mengikut selera umum tanpa
membuat kajian mendalam mengenai watak Hang Tuah yang menjadi lambang kegagahan
masyarakat Melayu Melaka.
Lebih mengecewakan apabila
terdapat sesetengah pihak yang bertindak memutar belit fakta sebenar Hang Tuah
dan menokok tambah serta mereka cerita sehingga membuatkan Hang Tuah dilihat
sebagai watak fiksyen dan kisah perjalanan hidupnya dianggap mitos atau legenda
semata-mata.
Wal hal terdapat banyak sumber
yang menceritakan kewujudan pahlawan itu sama ada dalam bentuk hikayat,
manuskrip mahupun catatan sejarah. Antaranya Sulalatu’s-Salatin atau Sejarah
Melayu, Tuhfat Al-nafis dan Hikayat Hang Tuah.
Meskipun, dokumen-dokumen
berkenaan dicatat hanya selepas abad ke-15 dan bukan sezaman dengan Hang Tuah,
namun data yang diperolehi dari catatan itu diterima pakai sebagai sumber
sekunder.
Bahkan, bukti yang menjadi
warisan berharga itu turut diiktiraf dunia menerusi Pertubuhan Pendidikan,
Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).
Terbaru, surat tulisan
Laksamana Hang Tuah kepada kerajaan Ryukyu di Jepun pada abad ke-15 yang
ditemui dalam dokumen rasmi Rekidai Hoan membuktikan tokoh itu wujud dan bukan
sekadar mitos semata-mata.
Surat berkenaan ditemui melalui
kajian yang dilakukan Profesor di Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden
dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Emeritus Dr. Hashim Musa
bersama Pensyarah Kanan fakulti itu, Dr. Rohaidah Kamaruddin di Ryukyu atau
kini dikenali sebagai Okinawa baru-baru ini.
Dalam pada itu Pensyarah
Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Dr. Azhar
Mad Aros (gambar) percaya selain dokumen itu, terdapat lebih banyak lagi bukti
lain yang masih tersimpan dan belum ditemui di Okinawa.
“Mungkin lebih banyak lagi
dokumen terdapat di sana yang perlu diselongkar, digarap dan dikaji bagi
menambah nilai kajian dalam usaha membuktikan kewujudan laksamana itu adalah
benar.
“Namun, usaha ini memerlukan
peruntukan besar dari kerajaan bagi memudahkan proses pemerolehan dokumen yang
dilihat penting di dalam membantu mengukuhkan lagi bukti kewujudan pahlawan
yang menjadi lambang semangat jati diri masyarakat Melayu,” katanya.
Tambahnya, kewujudan Hang Tuah
sebagai pahlawan terunggul di zaman pemerintahan Kesultanan Melaka perlu
dipertahankan memandangkan ketokohan laksamana itu sudah sebati dalam pemikiran
dan kehidupan masyarakat Melayu.
“Hang Tuah telah menunjukkan
kehebatan, keberanian, kehandalan, kebijaksanaan dan taat setianya sebagai wira
nasional yang mewakili masyarakat Melayu bukan sahaja pada zaman Kesultanan
Melayu Melaka malah pada hari ini dan generasi seterusnya,” katanya.
Selain itu, Hang Tuah
dipercayai turut dicatat dalam pelbagai lipatan sejarah negara-negara lain,
namun masih belum dibongkar termasuklah seperti yang pernah diungkapkan oleh
pelukis tersohor, Leonardo da Vinci yang hidup sezaman dengan Hang Tuah.
- Sumber: http://www.utusan.com.my/rencana/banyak-bukti-perlu-diselongkar-1.180011#sthash.MNJG85dW.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan