Ahad, 31 Januari 2016

Pentadbiran wilayah zaman Khulafah al-Rasyidin

Oleh-AHMAD BIN YAAKOB
Pemerintahan dan pentadbiran pada peringkat wilayah wujud ekoran daripada kejayaan-kejayaan yang dicapai dalam ekspedisi ketenteraan.Kerajaan wilayah ialah kerajaan yang terletak di bawah pemerintahan kerajaan Islam secara langsung. Pada peringkat awal kerajaan ini bukanlah kerajaan Islam, akan tetapi atas sebab-sebab tertentu kerajaan tersebut menjadi sebahagian kerajaan Islam. Contohnya kejatuhan Kota Makkah kepada tentera Islam Madinah menyebabkan Kota Makkah menjadi kerajaan wilayah yang berpusat di Madinah. Pada zaman Khulafa al-Rasyidin kerajaan wilayah ialah Makkah, Baghdad dan Damssyik.[1]

2. Pada zaman pemerintahan Khalifah Abu Bakar al-Siddiq, negara Islam telah dibahagikan kepada l0 buah daerah, iaitu Makkah,Ta'if, Yaman, Hadhramaut, Khawlan, al-Jund, Najran, Zabid, Bahrain dan Jarsh.
3. Pentadbiran pada peringkat wilayah seterusnya diperkemas pada zaman pemerintahan Khalifah Umar bin al-Khattab berikutan kejayaan kempen peluasan kuasa.
4. Negara Islam dibahagikan kepada lapan buah wilayah utama, iaitu Madinah, Makkah, Syam, Mesopotamia, han, Iraq, Mesir dan Palestin. Setiap wilayah berkenaan mempunyai ibu negeri/pusat pentadbiran masing-masing. Bagi memastikan urusan pentadbiran berjalan lancar, Khalifah Umar bin al-Khattab telah membentuk sistem birokrasi yang sistematik.
5. Setiap wilayah akan diketuai oleh Gabenor yang akan dibantu oleh pegawai-pegawai lain seperti setiausaha dan pegawai tertentu di beberapa buah jabatan seperti Setiausaha Tentera, Pegawai Cukai (Sahib al-Kharaj), Pegawai Polis (Saftib al-Syurtah), Pegawai Perbendaharaan Negara (Sahib Bait al-Mal) dan seorang kadi.
6. Individu yang dilantik memegang jawatan berkenaan wajib melaporkan harta sebelum dan setelah selesai menjalankan tanggungjawab serta diperjelaskan mengikut bidang kuasa mereka agar tidak timbul kekeliruan kelak.
7. Di setiap wilayah, didirikan pula cawangan baitulmal bagi memudahkan urusan pendapatan dan perbelanjaan negara.[2]




[1] Mahdi Shuid, Sazlina Othman dan Arjuna @ Mohd. Noor Yunus, Teks STPM Pra U Sejarah  Islam Penggal 2, (Bandar Baru Bangi: Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd, 2015), 104.
[2]“Bentuk  Pemerintahan”, dalam  Modul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah,21.

Tun Razak bangunkan negara walaupun hidap leukimia

13 JANUARI 2016
Tun Razak bangunkan negara walaupun hidap leukimia
 Tun Razak bangunkan negara walaupun hidap leukimia Tun Razak

WALAUPUN didiagnosis menghidap penyakit leukemia pada 1969, bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein telah mengabadikan hidupnya dengan bekerja sekeras yang mungkin untuk negara, kata anak kedua Allahyarham.

Datuk Ahmad Johari, 62, berkata, walaupun doktor meramalkan bapanya hanya mampu bertahan selama dua tahun selepas disahkan menghidap penyakit tersebut, bapanya tetap tabah, malah hidup lebih lama demi menjaga kesejahteraan rakyat.

Tun Abdul Razak yang memegang jawatan Perdana Menteri sejak 22 September 1970 selepas Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, meninggal dunia pada 14 Januari 1976.

"Allahyarham bapa saya ingin benar untuk hidup lebih lama. Masih banyak yang beliau perlu lakukan.

"Menjadi perdana menteri dan menjaga kepentingan rakyat ketika menghidap penyakit pasti sukar untuk beliau menanggungnya. Allahyarham ketika itu pasti mempunyai semangat luar biasa untuk menghadapinya," katanya kepada Bernama.

Ahmad Johari yang lembut tutur bahasanya berkelulusan undang-undang seperti bapanya dan merupakan rakan kongsi kanan di sebuah firma guaman utama di Kuala Lumpur.

Beliau berkata antara tugas yang ingin dilakukan Allahyarham bapanya ialah melancarkan rancangan ekonomi negara ketiga, menghadiri Sidang Kemuncak Asean di Bali, menyelesaikan konflik politik berikutan pendakwaan Datuk Harun Idris (bekas Menteri Besar Selangor) dan juga menangani pemberontakan komunis.

Ahmad Johari yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari University of Kent, United Kingdom, mengimbas kembali detik-detik terakhir bersama Allahyarham bapanya apabila Tun Razak berangkat ke London pada Disember 1975 dan kemudian dimasukkan ke hospital di negara itu pada Januari 1976.

Pada masa itu, beliau berusia 21 tahun dan berada dalam tahun akhir untuk menghadapi peperiksaan undang-undang.

Ahmad Johari berkata perbualan terakhirnya dengan Allahyarham Tun Razak ialah antara 12 dan 13 Jan di hospital itu apabila bapanya meminta beliau untuk membeli sut baharu.

Allahyarham Tun Razak meminta anaknya itu mengambil beg bimbitnya lalu memberikan 40 pound.

Ahmad Johari berkata, beliau menggunakan wang itu untuk membeli sut baharu sebulan kemudian dan memakainya pada acara-acara penting sehinggalah sut itu tidak muat untuk dipakainya lagi.

"Ia merupakan hadiah terakhir Allahyarham kepada saya," katanya dan menambah bahawa beliau masih merindukan bapanya.

Ahmad Johari bersyukur Allahyarham bapanya dapat menikmati hidup sepenuhnya dan berjaya melaksanakan dasar-dasar yang membawa banyak manfaat kepada rakyat.

Allahyarham yang dilahirkan 94 tahun lalu, dikenali sebagai 'Bapa Pembangunan' atas sumbangannya membawa pembangunan kepada negara termasuk pembangunan luar bandar dengan menubuhkan Felda.

Selepas rusuhan kaum pada 1969, atau Tragedi 13 Mei, Allahyarham Tun Razak juga mencetuskan idea penubuhan  BN bagi menggantikan 'Perikatan' supaya semua parti politik mewakili semua etnik di Malaysia bersatu di bawah satu gabungan, justeru membolehkan mereka fokus kepada usaha membangunkan negara dan mengurangkan politiking.

Allahyarham meninggal dunia pada usia 53 tahun dan beliau baru memasuki tahun kelima pelaksanaan dasar-dasar utama yang diperkenalkan pasca 1969, seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang membawa kepada penukaran bahasa pengantar daripada bahasa Inggeris kepada bahasa Malaysia di sekolah-sekolah kebangsaan.

Di peringkat antarabangsa, Allahyarham memainkan peranan penting dalam menjalin hubungan diplomatik dengan China pada 1974 dan Malaysia ialah negara anggota Asean yang pertama berbuat demikian.

Allahyarham Tun Razak dan isteri Tun Rahah Mohammad Noah dikurniakan lima orang anak lelaki dan yang sulung merupakan Perdana Menteri sekarang, Datuk Seri Najib. – Bernama

Sumber-Sinar Harian online 13 JANUARI 2016

Struktur Pemerintahan Pusat Zaman Khulafa al-Rasyidin

 Oleh –AHMAD BIN YAAKOB
a) Madinah  sebagai  pusat pemerintahan.
b) Masjid  Nabawi  sebagai  pusat pentadbiran  negara,pusat ibadat  dan kegiatan  dakwah  Islamiah.
c) Khalifah  sebagai  ketuabadan eksekutif, legislatif dan kehakiman.
d) Khalifah paling berkuasa tetapi  kekuasaan tidak berbentuk mutlak  dan terikat  dengan al-Quran dan sunnah  yang mengawal segala tindakan khalifah.
e) Sesuatu  dasar diputuskan melalui majlis syura (badan penasihat Khalifah).
f)  Majlis Syura secara rasmi dibentuk pada  zaman pemerintahan  khalifah Umar bin al-Khattab
g) Penubuhan Baitul Mal -perbendaharaan negara untuk menguruskan  harta rakyat dan negara.[1
Pentadbiran  pusat zaman Khulafa al-Rasyidin  :
Pada zaman Khalifah Abu Bakar al-Siddiq tidak banyak berbeza dengan zaman Rasulullah SAW kerana tempoh pemerintahannya yang singkat. Tambahan pula beliau sibuk memerangi gerakan murtad secara besar-besaran dan golongan yang enggan membayar zakat selepas sahaja kewafatan Rasulullah SAW. Pentadbiran Khalifah Abu Bakar berpusat di Madinah.
Pentadbiran  wilayah  zaman Khulafa  al-Rasyidin  :
a) Semasa pemerintahan  khalifah Abu Bakar,pemerintahan  wilayah  dibahagikan kepada  10
wilayah - Makkah,  Taif, Yaman, Hadhramaut, Khawlan, al-Jund, Nazran, Zabid, Bahrain dan Jarsh.
b)Pentadbiran perigkat wilayah telah diperkemaskan  Pada zaman pemerintahan khalifah Umar bin al-Khattab berikutan kejayaan kempen perluasan kuasa.
c) Negara Islam dibahagikan  kepada  8 wilayah utama  iaitu Madinah,Mekah, Syam, Mesopotamia, Iraan, Iraq, Mesir dan Palestin.[2]
d) Setiap wilayah mempunyai  ibu negeri dan pusat pentadbiran masing-masing.
e) Khalifah Umar bin al-Khattab  telah membentuk sistem birokrasi yang sistematik.
f)  Setiap wilayah diketuai  oleh gabenor (amil) dan dibantu oleh setiausaha  dan pegawai lain seperti :setiausaha  tentera, pegawai cukai (Sahib al-Kharaj)' pegawai polis (Sahib al- Syurtah), pegawai perbendaharan  (Sahib  Bait al-Mal)  dan kadi'
g) Setiap wilayah didirikan  sebuah  Baitul Mal untuk menguruskan  pendapatan  dan perbelanjaan negara.[3]



[1]“Bentuk  Pemerintahan”, dalam  Modul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah, (Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia,2013),20.
[2]Mahayudin Hj. Yahya et. Al., Ace Ahead Teks STPM Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2 Edisi Kemaskini,61.
[3]“Bentuk  Pemerintahan”, dalam  Modul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah,20.

Unit 1.6 Bentuk Pemerintahan.

1.6.1Pemerintahan pusat dan wilayah .
HP-Membincangkan struktur pemerintahan pusat dan wilayah.
Oleh –AHMAD BIN YAAKOB
Kerajaan Khulafah al-Rasyidin terbentuk secara rasmi pada tahun 632, iaitu apabila Abu Bakar al-Siddiq dipilih oleh umat Islam sebagai khalifah pertama. Kerajaan Khulafah al-Rasyidin diperintah oleh empat orang sahabat Nabi Muhammad s.a.w, iaitu:
(a) Khalifah Abu Bakar al-Siddiq.
(b) Khalifah Umar bin al-Khattab.
(c) Khalifah Uthman bin Affan.
(d) Khalifah AIi bin Abi Talib.
Gelaran Khulafah al-Rasyidin digunakan kerana mereka meneruskan dasar kepimpinan Nabi Muhammad s.a.w.
Struktur Pemerintahan Khulafa al-Rasyidin  :
a) Madinah  sebagai  pusat pemerintahan.
b) Masjid  Nabawi  sebagai  pusat pentadbiran  negara,pusat ibadat  dan kegiatan  dakwah  Islamiah.
c) Khalifah  sebagai  ketuabadan eksekutif, legislatif dan kehakiman.
d) Khalifah paling berkuasa tetapi  kekuasaan tidak berbentuk mutlak  dan terikat  dengan al-Quran dan sunnah  yang mengawal segala tindakan khalifah.
e) Sesuatu  dasar diputuskan melalui majlis syura (badan penasihat Khalifah).
f)  Majlis Syura secara rasmi dibentuk pada  zaman pemerintahan  khalifah Umar bin al-Khattab
g) Penubuhan Baitul Mal -perbendaharaan negara untuk menguruskan  harta rakyat dan negara.[1]



[1]“Bentuk  Pemerintahan”, dalam  Modul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah, (Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia,2013),20.

Sabtu, 30 Januari 2016

Sumbangan Khalifah Umar Abdul Aziz


1.5.2 Sumbangan khalifah/tokoh Khalifah al-Rasyidin, Umayyah abad ke-7-8 Abbasiyah  abad ke-8-9.
OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
c)menilai sumbangan khalifah/ tokoh.
Khalifah Umar Abdul Aziz 683-720M
Khalifah Umar bin Abdul Aziz dilahirkan pada tahun 682/63 H di Madinah. Umar bin Abdul Aziz mempunyai pertalian darah keturunan Khalifah Umar bin al-Khattab melalui sebelah ibunya.Baginda meninggal dunia pada tahun720/l0l H.Baginda terkenal sebagai seorang yang warak dan patuh kepada ajaran agama Islam. Oleh itu, baginda berusaha melaksanakan dasar pemerintahan Islam seperti yang dilakukan oleh datuknya. Khalifah Umar bin al-Khattab.Umar dilantik menjadi pemerintah Umayyah kelapan pada tahun 717 hingga720M.[1]

Sumbangan Khalifah Umar Abdul Aziz
Oleh-AHMAD BIN YAAKOB
Pentadbiran berdasarkan al-Quran dan Hadis.
Beberapa perubahan berkaitan dasar pemeintahan kerajaan Umayah telah berlaku semasa pentadbiran beliau, terutama yang berkaitan  dengan pelaksanaan undang-undang Islam. Dasar pemerintahan beliau adalah bedasarkan al-Quran dan sunnah.Dasar pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz banyak dipengaruhi sifat beliau yang warak .Beliau juga tidak mengutamakan kemewahan duniawi. Pemerintahan beliau yang cemerlang disifatkan setanding dengan pemeintahan Khalifah Uma al-Khattab.Beliau dianggap oleh ahli-ahli sejarah sebagai Khulafa’ al-Rasyidin yang kelima.

      Dasar pemerintahan Umar Abdul Aziz dikatakan hampi sama dengan dasar pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab, iaitu sangat mementingkan keadilan tanpa membezakan antara orang Arab dan bukan Arab. Semasa pemeintahan beliau kehidupan rakyat aman damai serta tidak ada pertelingkahan kaum yang terjadi seperti pada awal pemeintahan kerajaan Umayyah. [2]

Menghidupkan kembali amalan syura dalam pentadbiran.
Khalifah Umar Abdul Aziz menghidupkan kembali amalan syura dalam pentadbiran. Melalui konsep syura, beliau mengadakan mesyurat dalam membuat sesuatu keputusan. Khalifah Umar Abdul Aziz terlalu teliti dalam menguruskan  penjalanan pentadbiran agar tidak terpesong daripada konsep al-Quran dan Hadis. Segala keputusan dilakukan melalui mesyurat yang dihadiri oleh pegawai dan kakitangan kerajaan dan para sahabat.[3]

Dasar pelantikan gabenor dan pegawai kerajaan
Khalifah Umar Abdul Aziz berusaha menghapuskan segala bentuk kezaliman dalam pemerintahan Bani Umayyah. Contohnya mengambil semua harta rampasan perang yang dikuasai oleh keluarga Bani Umayyah dan dijadikan hak milik kerajaan. Beliau memecat pegawai dan kakitangan kerajaan yang zalim yang memerintah tidak mengikut al-Quan dan Hadis. Contohnya   Usman bin Zaid al-Tabikhi, Gabeno Mesir, Yazid bin Muslim, Gabenor Afrika Utara, Saleh Abdul Rahman Gabenor Iraq dan al-Harith bin Abdul Rahman, Gabenor Sepanyol.

Mengemaskini dasar luar negara dan polisi perluasan wilayah.
Sebaik sahaja Khalifah Umar dilantik sebagai khalifah, beliau telah mengarahkan supaya semua kegiatan peperangan dan penaklukan dihentikan. Tentera-tentera kerajaan yang sedang mengepung kota Constantinople diarahkan pulang. Begitu juga dengan tentera yang berada di kawasan bekas jajahan Byzantine. Dasar penarikan tentera dari medan peperangan dan memberhentikan peperangan serta penaklukan ini amat berbeza dengan dasar pemerintahan khalifah Umayyah sebelumnya.
Antara tujuan Khalifah Umar bertindak demikian adalah;untuk mewujudkan keamanan serta memberi peluang kepada tentera kerajaan berehat dan pulang ke pangkuan keluarga mereka.[4]

Pembaharuan ekonomi.
Beberapa dasar ekonomi baharu yang dijalankan oleh baginda juga telah berjaya memakmurkan masyarakat Islam pada zamannya. Pertama, melalui cukai tanah (kharaj). Tanah yang diperoleh melalui penaklukan akan menjadi hak milik bersama orang Islam. Hasil tanamannya pula akan dikenakan cukai oleh kerajaan.

Kedua, membezakan antara cukai jizyah dengan kharaj. Sebelum ini, seseorang individu perlu membayar kedua-dua cukai tersebut, namun semasa Khalifah Umar, cukai jizyah hanya
dikenakan ke atas orang bukan Islam manakala kharaj dikenakan kepada sesiapa yang memiliki tanah. Ketiga, memansuhkan semua jenis perayaan, upacara rasmi kerajaan, hadiah serta perbelanjaan lain yang membazir. Pelaksanaan dasar ekonomi baharu ini telah menjadikan kedudukan kewangan negara semakin kukuh.[5]

Mengadakan projek kebajikan untuk rakyat.
Khalifah Umar Abdul Aziz telah menyediakan kemudahan tertentu untuk rakyat seperti tali air, jalan raya, rumah rehat, rumah tumpangan, hospital dan rumah orang tua.Beliau berusaha menamkan sifat tolong-menolong dan kerjasama dalam kalangan umat Islam tanpa mengira status manusia. Semua kemudahan kerajaan tidak bolehdipergunakan untuk kegunaan peribadi atau keluarga, kecuali untuk rakyat.[6]  

Menghapuskan cacian terhadap Saidina Ali bin Abi Talib dalam khutbah Jumaat.
Bagi mewujudkan hubungan baik dan perpaduan antara Bani Umayyah dengan keluaga Nabi Muhammad SAW dan golongan Shiah, Khalifah Umar Abdul Aziz menghapuskan cacian terhadap Khalifah Ali yang bermula sejak pemeintahan KhalifahMuawiyah bin Abu Sufyan. Cacian tersebut dibuat dalam khutbah Jumaat di masjid-masjid. Cacian ini sangat memalukan dan menjatuhkan martabat keluarga Nabi Muhammad SAW dan golongan Syiah.Kesannya golongan Shiah tidak berputus asa untuk menggulingkan pemerintahan Bani Umayyah. Perbuatan saling mencaci merupakan perbuatan keji yang ditegah oleh Islam kerana boleh memecah-belahkan perpaduan ummah Dengan penghapusan cacian tersebut, hubungan baik terjalin antara keluaga Nabi Muhammad SAW dengan Bani Umayyah dan penentangan  daripada golongan Syiah mulai berkuangan.[7]
k)Menghapuskan jawatan pengawal peribadi khalifah.
Pada zaman Rasulullah SAW dan Khulafa’ al-Rasyidin tidak terdapat pengawal peribadi yang bertugas menjaga keselamatan mereka. Keadaan membuka peluang kepada orang ramai untuk menemui mereka di mana-mana sahaja. Semasa pemerintahan Muawiyah, beliau telah mewujudkan pengawal peribadi untuk menjaga keselamatan pemimpin. Namun pada zaman Umar Abdul Aziz penggunaan perkhidmatan tersebut telah dimansuhkan. Oleh itu rakyat boleh menemuinya pada bila-bila masa.[8]
l)Perkembangan ilmu pengetahuan.
Khalifah Umar Abdul Aziz amat menekankan dan mementingkan ilmu pengetahuan dalam kehidupan. Selain itu beliau memberi penghormatan kepada golongan ilmuan. Beliau mengarahkan aga masjid dijadikan pusat penyebaan ilmu. Di sini beliau sering mengadakan majlis ilmu dan pertemuan dengan golongan ilmuan untuk mendapatkan pandangan dari mereka. Beliau turut mengarahkan pegawai-pegawainya supaya meluangkan masa bersama ulamak dan majlis-majlis ilmu yang dianjurkan.

      Bagi misi dakwah beliau menghantar 10 pakar perundangan Islam ke Afrika Utaa bagi mengajarkan ilmu Islam dan menyebarkan dakwah Islam di sana. Sebagai contoh Ismail bin Ubaidullah dihantar ke Afrika. Usaha dakwahnya berjaya dan berjalan dengan lancar apabila beliau dapat mengislamkan kaum Barbar.

      Beliau mengarahkan ahli bijak pandai supaya menterjemah ilmu-ilmu daripada bahasa Greek, Siryani dan latin ke dalam bahasa Arab.Beliau juga menggalakkan rakyat menuntut ilmu. Beliau memberi bantuan biasiswa kepada sesiapa yang ingin mendalami ilmu dan menyambung pelajaan meeka. Beliau mengarahkan para gabenor memberikan biasiswa kepada rakyat bagi menghidupkan budaya ilmu. Beliau kahlifah pertama yang meminta supaya hadis-hadis Rasulullah ditulis dan dibukukan sehingga lahir tokoh sepeti Urwah Ibn az-Zubair dalam bidang ilmu Hadis.[9]
m)Menggalakkan asimilasi perkahwinan antara Arab dan bukan Arab.[10]
Beliau juga menggalakkan asimilasi perkahwinan antara orang Arab dengan bukan Arab. Tujuannya adalah untuk memastikan masyarakat berada dalam keadaan aman dan stabil. Ini kerana, sebelum ini kedua-dua golongan sering bermusuhan akibat daripada dasar perkauman kerajaan Umayyah.[11]




[1] Mahayudin Hj.Yahya et.al.,Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,Edisi Kemaskini,55..
[2] Mahayudin Hj.Yahya et.al.,Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,53.
[3] Mahdi Shuid. Et.al, Teks STPM Sejarah Islam Penggal 2, (Bandar Baru Bangi :Penerbitan Pelangi Sdn.Bhd,2013),92..
[4] Ibid,55.
[5] Mahayudin Hj.Yahya et.al.,Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,Edisi Kemaskini,55.
[6 Mahdi Shuid. Et.al, Teks STPM Sejarah Islam Penggal 2,94
[7] Ibid,94.
[8]Mohd Sukki Othman dan Wan Muhammad  Wan Sulong ,Teks Pra U STPM Sejarah Penggal 2,87. 
[9] Ibid,,87.
[10] “Sumbangan Khalifah/Tokoh”, dalam  Modul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah, (Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia,2013),17.
[11Mahayudin Hj.Yahya et.al.,Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,Edisi Kemaskini,55..

Seni bina Masjid Kapitan Keling

Sumbangan masyarakat Chulia Pulau Pinang
OLEH ROS MAHWATI AHMAD ZAKARIA  |  29 Januari 2016 4:10 PM
FOTO terawal Masjid Kapitan Keling, Pulau Pinang.

PULAU Pinang merupakan antara sebuah negeri yang terkenal pada awal abad ke-20 Masihi dalam kalangan masyarakat Islam tempatan kerana ia merupakan sebuah pusat perdagangan dan pelabuhan yang membawa jemaah haji Malaysia ke Mekah dengan kapal laut. Sebagai sebuah lokasi yang penting dalam laluan laut, ia berjaya menarik perhatian pelbagai golongan imigran yang berminat untuk datang dan menetap di pulau tersebut. Antara yang berjaya bertapak dan menyumbang kepada kemajuan Pulau Pinang ialah masyarakat Chulia.
Masyarakat Chulia ialah masyarakat Islam Tamil berasal dari selatan India yang datang ke Pulau Pinang dalam abad ke-19 Masihi. Mereka merupakan antara pedagang yang menguasai perdagangan kain pelikat dan rempah pada abad tersebut. Selain Pulau Pinang, mereka turut bertumpu di negeri-negeri Selat lain seperti Melaka dan Singapura.
ASIMILASI
Masyarakat Chulia telah berasimilasi dengan budaya dan cara hidup Islam tempatan yang diamalkan dalam kalangan masyarakat Melayu melalui hubungan yang rapat seperti perkahwinan dan interaksi sosial. Mereka memainkan peranan yang penting dalam perkembangan Islam di Pulau Pinang dalam pelbagai aspek seperti ekonomi, politik dan kebudayaan.
Salah satu sumbangan mereka yang menjadi mercu tanda Islam di Pulau Pinang pada hari ini ialah Masjid Kapitan Keling yang dibina pada tahun 1801. Rumah Allah itu dibina oleh seorang ketua masyarakat Chulia di Pulau Piang yang diberi gelaran Kapitan sama seperti yang diberikan kepada ketua masyarakat Cina di Tanah Melayu. Kapitan Keling Cauder Mohudden yang mempunyai rangkaian perniagaan dan kapal yang bernama Marakkayar telah mengasaskan pembinaan masjid tersebut di sebuah tempat yang dikenali sebagai Lebuh Pitt.
Bangunan masjid ini didirikan di atas sebidang tanah seluas 7.2 hektar yang diberikan oleh kerajaan British. Pelan asal bangunan masjid ini merupakan sebuah bangunan setingkat berbentuk segi empat dan mempunyai empat buah menara di setiap penjuru. Bangunan masjid asal menggunakan atap atau bumbung rabung pecah empat setingkat yang memayungi keseluruhan bangunan masjid.
ELEMEN SENI BINA ISLAM INDIA
Menara empat tingkat berbentuk bulat diletakkan di setiap penjuru bangunan masjid Kapitan Keling. Di setiap sisi atap diletakkan hiasan seperti mahkota yang mempunyai hiasan jali iaitu satu elemen seni bina Islam di India. Ia juga mempunyai sebuah kolam air di bahagian luar bangunan masjid untuk para jemaah berwuduk.
Namun begitu, bangunan masjid ini telah mengalami beberapa peringkat perubahan yang melibatkan penambahan bangunan dan pengubahsuaian fizikal dari tahun 1893 hingga 1916. Penambahan dan pembesaran masjid telah menjadikan bangunan asal Masjid Kapitan Keling tidak dapat dilihat lagi pada hari ini.
Penambahan dan pengubahsuaian masjid Kapitan Keling telah menzahirkan satu lagi bangunan masjid yang mempunyai seni bina yang agak berlainan di mana gaya bumbung rabung pecah empat telah ditukar dan ditinggikan bahagian bumbung utama iaitu di kawasan dewan sembahyang untuk diletakkan sebuah kubah. Pintu masuk juga dibesarkan dan diubah kepada bentuk segi empat sama menegak yang mempunyai hiasan menara kecil di sisinya dan kubah-kubah kecil di atasnya.
Masjid masyarakat Chulia juga turut boleh ditemukan di Singapura dan di Melaka. Sebuah pameran fotografi tentang masyarakat Chulia Pulau Pinang dibuka di Muzium Kesenian Islam Malaysia dari 28 Januari sehingga 28 Mac 2016.

- SUMBER: http://www.utusan.com.my/rencana/agama/seni-bina-masjid-kapitan-keling-1.184757#sthash.bdNmsQKX.dpuf

Khamis, 28 Januari 2016

Huraikan konsep khalifah dan kaedah pemilihan khalifah al-Rasidin. [20m]

 Pemerintahan Khalifah al-Rasyidin bermula setelah kewafatan Nabi Muhammad SAW, iaitu
pada tahun 632 M. dan berlanjutan sehingga tahun 661 M.. Dalam tempoh ini, kerajaan Islam yang berpusat di Madinah diperintah oleh empat orang khalifah, iaitu Khalifah Abu Bakar al-Siddiq, Khalifah Umar al-Khattab, Khalifah Uthman bin Affan, dan Khalifah Ali bin Abi Talib. Selepas kewafatanNabi Muhammad SAW, masyarakat Islam hampir berpecah-belah kerana ingin memegang jawatan khalifah sebagai pemimpin negara dan umat Islam. Masalah ini dapat diselesaikan oleh Saidina Abu Bakar. Ketokohan beliau mendorong masyarakat Islam memilih beliau sebagai khalifah yang pertama.

      Menurut Mahayudin Hj. Yahya dalam buku Tamadun Islam menyatakan perkataan khalifah berasal daripada perkataan khulafa, iaitu pengganti. Khalifah ialah satu jawatan untuk menggantikan Nabi Muhammad SAW selepas kewafatan baginda. Khalifah merupakan pemimpin negara yang menguruskan pemerintahan dan pentadbiran. Tugas dan tanggungjawab khalifah sama seperti seorang rasul tetapi tidak menerima wahyu. Tugas khalifah ialah memelihara dan menegakkan agama Islam  serta mentadbir dunia selaras dengan hukum syarak.
Pelaksanaan institusi pemerintahan oleh khalifah mestilah berdasarkan ajaran al-Quran dan hadis.

      Sebagai seorang pemimpin negara, khalifah mesti memenuhi beberapa kriteria. Antaranya ialah ilmu. Seorang khalifah mestilah memiliki ilmu agama dan ilmu duniawi supaya dapat membuat satu hukum atau keputusan yang tepat. Beliau juga mestilah mempunyai unsur keadilan dalam semua aspek dengan berpaksikan al-Quran dan sunah. Seorang khalifah juga mestilah mempunyai kredibiliti dan keupayaan sebagai pemimpin. Beliau perlu mempunyai pancaindera dan fizlkal yang sempuma. Status dan personaliti tokoh juga diambil kira.

      Kaedah pemilihan khalifah boleh dibahagikan kepada dua, iaitu syura dan baiah. Terdapat pelbagai kaedah dilaksanakan dalam pemilihan khalifah. Kaedah pertama ialah perundingan secara beramai ramai. Perundingan dan persetujuan diadakan tanpa ditetapkan calon terlebih dahulu. Rasulullah SAW tidak meninggalkan wasiat kepada sesiapa untuk dijadikan khalifah. Baginda memberikan kebebasan kepada umat Islam untuk memilih pemimpin mereka. Selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW, umat Islam berkumpul di Dewan Bani Saadah untuk berbincang dan melantik khalifah pertama. Untuk mengelakkan permusuhan antara golongan Muhajirin dan Ansar, Saidina Umar al-Khattab mencalonkan Saidina Abu Bakar. Cadangan ini disokong oleh majoriti umat Islam dan Saidina Abu Bakar al-Siddiq terus dibaiahkan dalam syura.

      Kaedah kedua ialah mengusulkan seorang calon oleh khalifah yang sebelumnya terlebih dahulu. Nama khalifah itu kemudian diputuskan dalam Majlis Syura. Perlantikan Khalifah Umar
al-Khattab sebagai khalifah kedua adalah dengan cara ini. Semasa Khalifah Abu Bakar sedang sakit, beliau mencadangkan Saidina Umar al-Khattab sebagai penggantinya bagi mengelakkan kemunculan golongan al-Riddah. Pencalonan ini dipersetujui oleh paru sahabat dan umat Islam. Selepas kewafatan Khalifah Abu Bakar, Saidina Umar al-Khattab dilantik melalui musyawarah dan menerima baiah daripada umat lslam.

      Kaedah ketiga ialah pengusulan sekumpulan calon. Khalifah sebelumnya akan mengusulkan beberapa orang calon dalam kalangan para sahabat. Kaedah ini digunakan dalam pemilihan Saidina Uthman bin Affan sebagai khalifah ketiga. Khalifah Umar mengemukakan nama enam orang calon, iaitu Saidina Uthman bin Affan, Saidina Ali bin Abu Talib, Abdul Rahman bin Auf, Talhah bin Ubaidillah, Saad bin Abi Waqas dan Zubair al-Awwam. Pemilihan calon diadakan selepas kewafatan Khalifah Umar. Saidina Uthman dipilih kerana kelebihan undi. Beliau terus dibaiahkan dan dilantik sebagai khalifah ketiga.

      Kaedah keempat ialah pengusulan oleh sekumpulan masyarakat. Melalui cara ini, masyarakat
Islam mencadangkan keturunannya menjadi khalifah yang seterusnya. Cara ini digunakan dalam pemilihan Khalifah Ali bin Abu Talib. Selepas kewafatan Khalifah Uthman, berlaku pergolakan
dalam menentukan bakal khalifah. Penduduk Mesir mencadangkan Saidina Ali, penduduk Basrah mencadangkan Talhah bin Ubaidillah, manakala penduduk Kufah pula mencadangZlbair al- Awwam sebagai khalifah. Pemilihan dan musyawarah diadakan untuk menentukan khalifah. Saidina Ali Abu Talib dipilih dalam musyawarah dan Khalifah Ali menerima jawatan ini atas desakan para sahabat.


      Kesimpulannya, perlantikan khalifah pada zaman ini menunjukkan amalan demokrasi. Pemilihan dibuat dalam Majlis Syura dan kemudian dibaiah oleh umat Islam. Pada zaman kerajaan Bani Umaiyah sistem ini diubah dan jawatan khalifah menjadi warisan keluarga Bani Umayyah.  

Rabu, 27 Januari 2016

SUMBANGAN KHALIFAH HARUN AL-RASHID 786-809M

Oleh-AHMAD BIN YAAKOB
Hp-Menilai sumbangan Khalifah Harun al-Rashid 786-809M
Khalifah Harun al-Rasyid lahir di Rayy (Iran) pada tahun 763/149 H dan meninggal dunia pada tahun 809 di Thus, Khurasan.Baginda merupakan seorang yang mempunyai sifat-sifat seperti gagah, berani, menyukai hal-hal agama, bijak berpolitik dan cinta akan ilmu pengetahuan.Baginda telah dilantik sebagai putera mahkota pada tahun 782/166 H dan menjadi khalifah Abbasiyah kelima pada tahun 786-809/170-193 H.Pemerintahan baginda dianggap sebagai zaman keemasan Islam kerana Baghdad pada ketika itu menjadi pusat perdagangan dan pusat ilmu serta peradaban Islam yang terulung.[1]
Sumbangan Khalifah Harun al-Rashid 786-890M/170-193H
Dalam jangka masa 23 tahun Khalifah Harun al-Rashid memeintah negara dan umat Islam, perbagai dasar pemeintahan dan pembahauan telah dirancang. Pembaharuan Khalifah Harun meliputi aspek politik, ekonomi dan sosial.
a)Dasar pemerintahan dan pentadbiran
Siasah dalam negeri
Harun al-Rashid melantik wazir yang bijak daipada keluaga Barmaki dalam pemerintahan beliau. Yahya bin Khalid dilantik sebagai menterinya. Yahya telah memberi khidmat yang cemerlang kepada kerajaan Harun al-Rashid.Yahya telah diberikan kuasa eksekutif dan mentadbir kerajaan Abbasiyah selama 17 tahun dengan penuh ikhlas dan jujur. Anak-anak beliau Jaafar, Al-Fadhl, Muhammad dan Musa juga terlibat dalam urusan pentadbiran negara. Pentadbiran yang dijalankan membawa kekayaan kepada perbendahraan, tetapi tidak kepada rakyat.[2] Namun prestasi mereka yang cemerlang telah menimbulkan perasaan dengki pegawai-pegawai lain tehadap mereka.Fitnah dilembarkan kepada keluaga Barmaki sebagai golongan yang lebih condong kepada fahaman syiah dan membelakangkan ahli sunnah. Mereka dikatakan membina istana yang sama taraf dengan istana khalifah.Mereka dituduh menggunakan wang negara dan membekukan wang negara.

      Lantaran itu, Khalifah Harun bertindak keras memberkas tokoh-tokoh al-Barmaki termasuk Yahya bin Khalid, Jaafar dan Fadhli bin Yahya. Jaafar telah dihukum bunuh sementara Fadhl dipenjara seumur hidup.Dengan itu lenyaplah peranan keluaga al-Barmaki dalam kerajaan Abbasiyah.Khalifah Harun juga membanteras segala kekacauan dan pemberontakan  di dalam negara dengan berhikmah tanpa pertumpahan darah.[3] Antara perubahan yang dilakukan semasa peringkat kedua pentadbirannya ialah memindahkan kuasa daripada orang Parsi kepada orang Arab dan mengekalkan dasar permusuhan dengan golongan Syiah.[4]  
b)Hubungan diplomatik.
Dalam bidang politik pula, baginda telah mengadakan hubungan yang baik dengan kuasa-kuasa asing. Pada ketika itu, selain kerajaanAbbasiyah di Baghdad, terdapat tiga buah kerajaan besar lain, iaitu kerajaan Byzantine di Constantinople,kerajaan Umayyah di Andalus. Dan Perancis di Eropah.
Hubungan dengan Byzantine pada amnya adalah tidak baik dan semakin buruk semasa pemerintahan Khalifah Harun al-Rasyid.
Hal ini berbeza dengan Perancis. Hubungan antara baginda dengan Raja Charlamagne (raja Perancis) adalah baik. Ini mungkin disebabkan mereka mempunyai musuh yang sama, iaitu kerajaan Umayyah di Andalus. Hubungan baik ini terbukti apabila kedua-dua kerajaan sering bertukar-tukar duta serta cenderamata.[5]

c)Memajukan bidang pendidikan dan intelektual.
      Khalifah Harun al-Rasyid memainkan peranan yang besar dalam mengembangkan ilmu pengetahuan. Perkembangan dan kegiatan intelektualisme ini berlaku dalam beberapa peringkat, iaitu pembukuan, penyusunan semula ilmu pengetahuan dan penterjemahan.

      Baitul Hikmah (Perpustakaan Agung) telah diasaskan sebagai institusi kebudayaan dan pusat keilmuan yang kemudiannya berkembang dan mencapai zaman kegemilangannya semasa pemerintahan Khalifah al-Makmun. Melalui penubuhan Baitul Hikmah sebagai institusi penterjemahan, kerja-kerja penterjemahan menjadi lebih sistematik. Banyak karya-karya asing dalam bahasa Sanskrit, Suriani dan khususnya ilmu falsafah dan sains Yunani
telah diterjemahkan bagi dimanfaatkan oleh para cendekiawan Islam.

      Bagi menyebarkan ilmu pengetahuan kepada rakyat, baginda telah mendirikan pusat pengajian seperti sekolah, maktab dan universiti. Keadaan ini juga menyebabkan kegiatan penyelidikan dapat dipertingkatkan. Contohnya, sumbangan al-Khwarizmi dalam bidang matematik dan astronomi. Sesungguhnya, hasil kajian sarjana-sarjana Islam ini kemudiannya telah tersebar ke Eropah sekali gus memberi sumbangan yang besar kepada perkembangan keilmuan hingga melahirkan zaman Renaisans di Eropah.[6]

d)Memperkukuhkan angkatan tentera.
Untuk mengekalkan kestabilan negara, Khalifah Harun al-Rashid menyusun semula pasukan tenteranya agar menjadi sebuah pasukan tentera yang berdiplin dan teratur. Beliau amat mengambil berat terhadap kredibiliti tentera-tenteranya dan memberi perlindungan serta keselamatan untuk kesejahteraan rakyatnya.[7] Pasukan tentera disusun semula dan membuat kawalan rapi di laut dan pelabuhan bagi menjamin keselamatan kapal-kapal dagang yang berlabuh di Pelabuhan Basrah.

e)Memajukan bidang ekonomi khasnya perdagangan.[8]
Dalam bidang ekonomi, Khalifah Harun al-Rasyid telah menjadikan kota Baghdad sebagai pusat perdagangan Timur dan Barat yang terbesar dan tersibuk di dunia. Banyak aktiviti perdagangan dijalankan di situ dan ini menarik kedatangan ramai pedagang asing untuk berdagang di kota tersebut. Contohnya - pedagang dari India membawa kain dan rempah-ratus, pedagang dari China pula membawa teh dan sutera serta pelbagai barangan dagangan lain seperti dari Mesir, Turki, Afrika dan Syria.

      Selain kegiatan perdagangan, pertanian juga diutamakan. Untuk itu, baginda membuka banyak tanah-tanah pertanian yang baharu serta memberikan benih tanaman kepada para petani.[9]Khalifah Haun al-Rasyid membahagikan tanah kerajaan dan ampasan perang kepada tentera yang bersara. Dan oang miskin untuk diusahakan dengan kegiatan pertanian.[10]




[1]Ibid,56.
[2] Mahayudin Hj.Yahya et.al.,Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,55.
[3] Mohd Sukki Othman dan Wan Muhammad  Wan Sulong ,Teks Pra U STPM Sejarah Penggal 2,90.
[4]Mahayudin Hj.Yahya et.al.,Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,55.
[5] Ibid,55.
[6] Mahayudin Hj.Yahya et.al.,Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,Edisi Kemaskini,56.
[7] Mohd Sukki Othman dan Wan Muhammad  Wan Sulong ,Teks Pra U STPM Sejarah Penggal 2,91.
[8] “Sumbangan Khalifah/Tokoh”, dalam  Modul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah, (Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia,2013),18.
[9] Mahayudin Hj.Yahya et.al.,Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,Edisi Kemaskini,57.
[10]Mahdi Shuid. Et.al, Teks STPM Sejarah Islam Penggal 2,100.