Jumaat, 4 November 2016

Wanita pertama berpangkat Kolonel

ARKIB : 09/10/1998
KUALA LUMPUR 8 Okt. - Dr. Roshidah Ishak, pakar pergigian (periondontologi) dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), hari ini mencipta sejarah sebagai pegawai wanita pertama dinaikkan ke pangkat Kolonel.

Upacara pemakaian pangkat Dr. Roshidah disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Mohd. Zahidi Zainuddin di Wisma Pertahanan, dekat sini.

Dr. Roshidah sebelum ini berpangkat Leftenan Kolonel, dan memiliki kelulusan peringkat ijazah kepakaran lanjutan (pakar gigi dan gusi) yang diperolehi dari United Kingdom pada tahun 1990.

Beliau yang melahirkan perasaan gembira dan bangga, menganggap kenaikan pangkat ini sebagai penghargaan yang tidak ternilai dari Tentera Darat Malaysia (TDM) dan ATM.

''Saya bangga dan terharu dengan penghargaan yang diberi.

''Tetapi saya selalu mengingatkan diri bahawa dengan kenaikan pangkat ini bermakna tanggungjawab saya akan lebih berat,'' katanya ketika ditemui selepas upacara pemakaian pangkat di Wisma Pertahanan hari ini.

Menurut beliau yang telah berkhidmat dalam ATM selama 17 tahun, suaminya, Leftenan Kolonel (Udara) Ahmad Zulkifli Mohd. Zain serta lima anaknya, adalah pendorong utama dalam kerjaya sebagai seorang doktor.

Ditanya mengenai perkembangan perubatan pergigian dalam ATM beliau menjelaskan, teknologi yang sedia ada begitu canggih dan mempercepatkan serta memudahkan proses rawatan.

Bagaimanapun katanya, ada beberapa kes yang begitu sukar dan kronik seperti menanam platinum dalam gusi memerlukan kos yang tinggi, sehingga RM2,000 untuk menanam sebatang gigi.

Kata Roshidah, rawatan gigi penting dan jika seseorang itu mengalami sakit gigi mereka tidak dapat menumpukan perhatian pada kerjanya dan berjumpa doktor gigi adalah jalan penyelesaian terbaik.

Tambahnya, beliau merawat anggota tentera dari pangkat biasa sehinggalah pegawai tertinggi dan pernah memberi rawatan gigi kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Syed Hamid Albar.

''Saya berbangga dengan kerjaya saya dan akan berkhidmat dalam ATM selagi diperlukan. Terima kasih kepada pegawai atasan dan rakan-rakan yang menyokong saya selama ini,'' katanya.

Turut menerima kenaikan pangkat pada upacara tersebut ialah lima pegawai Tentera Darat iaitu tiga daripadanya ialah pegawai simpanan sukarela yang dinaikkan ke pangkat Kolonel manakala dua pegawai tetap sebagai Leftenan Kolonel.

Mereka yang dinaikkan ke pangkat Kolonel ialah Leftenan Kolonel Profesor Madya Dr. Idris Abdol sebagai Komander 502 Askar Wataniah (AW), Leftenan Kolonel Jonathan Chan (Komander Rejimen 515 AW) dan Leftenan Kolonel Ahmad Fuad Haron (Komander Rejimen 513 AW).

Dua lagi yang dinaikkan ke pangkat Leftenan Kolonel ialah, Mejar Ir. Chapiti Redzuan dan dilantik ke jawatan Pegawai Staf I, Penyelaras 'B' Jabatan Perumahan dan Pembinaan, dan Mejar Roslan Abdul Ghani Yahya (Pegawai Memerintah 21 Komando).

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1009&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_03.htm#ixzz4P5eak2xm © Utusan Melayu (M) Bhd

SPMV dimansuhkan -- IT mata pelajaran baru dalam sistem terbuka SPM

ARKIB : 09/10/1998
KUALA LUMPUR 8 Okt. - Kementerian Pendidikan hari ini mengumumkan bahawa Sijil Pelajaran Malaysia Vokasional (SPMV) akan dimansuhkan mulai tahun depan, seiring dengan pelaksanaan sistem pensijilan terbuka Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2000.

Menterinya Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ekoran pemansuhan tersebut, mata pelajaran dalam pendidikan vokasional ini akan diserapkan ke dalam senarai 12 pakej yang ditawarkan dalam sijil terbuka SPM.

Di bawah sistem sijil terbuka, sijil SPM tidak lagi menggunakan perkiraan agregat dan pangkat, sebaliknya gred pencapaian akan ditunjukkan bagi mata pelajaran yang lulus sahaja.

Salah satu daripada mata pelajaran yang ditawarkan dalam pakej tersebut termasuklah mata pelajaran baru iaitu Teknologi Maklumat (IT).

Kata Najib, pemansuhan SPMV tidak bererti sekolah vokasional dihapuskan.

''Perubahan penting dalam pelaksanaan sistem pensijilan terbuka ialah menyepadukan peperiksaan SPMV di bawah satu payung sistem peperiksaan penamat iaitu SPM.

''SPMV dimansuhkan dan semua mata pelajaran vokasional dimasukkan dalam senarai pakej SPM sepertimana bagi mata pelajaran aliran agama dan teknikal,'' katanya ketika menyampaikan ucap utama mengenai sistem baru itu di Seminar Pensijilan Terbuka SPM, anjuran Lembaga Peperiksaan Malaysia di sini, hari ini.

Kini terdapat 69 buah sekolah vokasional di seluruh negara ini. Pendidikan vokasional diwujudkan antara lain untuk menghasilkan pelajar yang mempunyai kemahiran dan pengetahuan asas dalam bidang teknikal.

Menjelaskan mengenai sistem baru itu Najib berkata, pelajar yang menduduki tingkatan empat mulai tahun depan akan ditawarkan 12 pakej gabungan mata pelajaran.

Melalui sistem baru itu, calon perlu memilih satu pakej yang terdiri daripada enam mata pelajaran teras dan bebas mengambil mata pelajaran elektif mengikut minat dan kemampuan masing-masing.

Enam mata pelajaran teras itu ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Agama Islam atau Pendidikan Moral, Sejarah, Matematik dan Sains.

Najib menambah, pada prinsipnya semua pakej boleh ditawarkan di semua sekolah tetapi penawarannya bergantung kepada keupayaan sesebuah sekolah itu.

''Skop kombinasi pakej yang luas disediakan bagi memberi banyak pilihan kepada pelajar dengan mengambil kira minat dan kebolehan mereka,'' katanya.

Melalui sistem baru itu juga katanya, syarat minimum pemberian sijil ialah lulus Bahasa Melayu.

Sebelum cadangan pensijilan terbuka SPM, sistem yang hampir sama telah diperkenalkan bagi peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) pada tahun 1982 dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada 1993.

Najib berkata, perubahan secara revolusi kepada sistem peperiksaan itu merupakan persediaan negara menghadapi abad ke-21 dan sebagai asas kepada pembentukan masyarakat berilmu dan berbudaya saintifik.

Sejajar dengan sasaran menentukan nisbah pelajar sains dan teknologi mencapai 60 peratus, penawaran pakej ke sekolah akan ditentukan berdasarkan kemampuan dan matlamat sesebuah sekolah didirikan.

Katanya, sekolah-sekolah berasrama penuh boleh menawarkan pakej sains tulen, teknologi maklumat dan sains teknikal manakala sekolah biasa boleh menawarkan pakej sains tulen, sastera ikhtisas, sains tambahan, kemanusiaan, sains teknikal dan sains-sastera ikhtisas.

''Sistem pensijilan terbuka itu mempunyai ciri-ciri positif kerana ia lebih fleksibel, tidak terlalu membebankan pelajar lemah dan boleh memberi rangsangan kepada pelajar yang pandai dan bermotivasi tinggi,'' katanya.

Pensijilan terbuka juga memberi peluang pelajar membaiki keputusan mata pelajaran tertentu melalui kaedah tampalan (patching) iaitu mengulang hanya bahagian mata pelajaran yang gagal tanpa perlu mengambil semula keseluruhan mata pelajaran itu.

Sebagai contoh pelajar yang gagal ujian lisan mata pelajaran bahasa Melayu hanya perlu mengulang ujian lisan dan bukan keseluruhan mata pelajaran itu.

Najib memberi jaminan sistem baru itu tidak akan menurunkan taraf sijil SPM di peringkat antarabangsa kerana perubahan hanya melibatkan pelaporan agregat dan pangkat keseluruhan.

''Kurikulum, sukatan pelajaran, kertas ujian, taraf penyoalan serta penentuan piawai mata pelajaran masih dikekalkan,'' jelasnya.

Oleh: MARHAINI KAMARUDDIN

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1009&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=fp_01.htm#ixzz4P5Li71mq © Utusan Melayu (M) Bhd

Soalan bocor kaji semula prosedur pelantikan guru pengawas

ARKIB : 08/10/1998
''Dahulu pengawas peperiksaan ditawarkan kepada guru berminat. Ramai guru baru, termasuk guru kelas tuisyen yang tidak berpengalaman, menawarkan diri menjadi pengawas.

''Kebanyakan guru baru pula tidak sedar pentingnya menjaga rahsia. Sikap tamak pula mencetuskan masalah apabila ada di kalangan mereka sanggup membocorkan soalan peperiksaan apabila dijanjikan habuan lumayan,'' katanya kepada Pendidikan.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Chan Fong Onn, baru-baru ini mengenai langkah LPM yang akan menggunakan sistem baru bagi memperkemaskan prosedur kawalan kertas peperiksaan awam berikutan kes soalan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bocor pada tahun lalu.

Di samping itu, tambah Abu Bakar, masalah kebocoran ini juga boleh dielakkan dengan pemberian keutamaan kepada aspek kemanusiaan dalam memilih ketua dan pengawas peperiksaan awam.

Keutamaan pada aspek itu penting kerana menurutnya pengendalian dan perjalanan peperiksaan awam dilakukan oleh para petugas yang terdiri daripada guru.

''Sikap tamak yang menguasai diri boleh mengaburi mata mereka untuk membocorkan soalan peperiksaan apabila dijanjikan habuan lumayan,'' jelasnya.

Justeru itu, kata Abu Bakar, langkah paling baik yang boleh diambil oleh LPM ialah melantik ketua dan pengawas peperiksaan dari kalangan guru kanan seperti pengetua dan penolong pengetua dalam sistem baru.

Ini kerana menurutnya, guru kanan lebih berpengalaman dan bertanggungjawab bagi menyelia pusat peperiksaan di seluruh negara.

Bagaimanapun beliau mengalu-alukan langkah LPM memperkenalkan sistem baru mengemaskan prosedur kawalan kertas soalan peperiksaan awam.

''Saya yakin langkah itu dapat mengelakkan kebocoran kertas-kertas soalan peperiksaan awam,'' katanya.

Selain itu, Abu Bakar berkata, KPPK akan memberi kerjasama kepada LPM seperti tahun-tahun lalu bagi memastikan perjalanan peperiksaan awam tahun ini lancar.

Beliau sudah pun meminta dan mengarahkan ahli KPPK membuat laporan kepada pihak berkuasa jika ada kes kebocoran soalan berlaku di pusat peperiksaan mereka.

Tahun lepas, sekumpulan pelajar Sekolah Menengah Seafield di Subang Jaya, Selangor mendakwa kebanyakan kertas soalan peperiksaan SPM 1997 bocor berikutan kegiatan sindiket yang menjualnya kepada pelajar pada harga antara RM1,500 dan RM5,000 bagi setiap mata pelajaran.

Berikutan itu, tiga laporan polis dibuat berhubung dakwaan berkenaan dan polis turut menahan empat pelajar dan dua guru bagi membantu siasatan.

Oleh: ROHANA MAN

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1008&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_02.htm#ixzz4P5HT94Fs © Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 2 November 2016

Asal Orang Melayu dari Atlantis!

HAFIZAHRI L HAMID  |  30 Oktober 2016 6:00 PM
Benua SUNDA 14,000 - 30,000 tahun dahulu semasa zaman ais.
Benua SUNDA 14,000 - 30,000 tahun dahulu semasa zaman ais.
BENUA SUNDA 14,000 - 30,000 tahun dahulu semasa zaman ais.
TIADA perkataan yang lebih tepat untuk kita memahami siapa dan apa itu Melayu selain memahami bait-bait puisi bertajuk "Melayu" yang dikarang oleh Sasterawan Negara tersohor, Usman Awang.
Sememangnya apa yang diungkap oleh Usman dalam puisinya itu sangat bertepatan dan sinonim dengan ciri-ciri dan sifat orang Melayu itu sendiri.
Apatah lagi apa yang cuba disampaikan beliau melalui puisinya itu begitu menggamit kebenaran selain membuktikan kehebatan bangsa ini berdiri di atas kakinya dalam menyelusuri dan mencipta sejarah bangsanya.
Antara bait puisinya yang begitu terkesan bagi mereka yang bernama Melayu;
Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah
zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala
kehilangan
Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara
Namun kini agak malang bagi orang Melayu itu sendiri yang sehingga kini masih terdapat mereka yang alpa malah lebih menyedihkan ada juga yang malu tentang asal usul bangsanya.
Apatah lagi terdapat beberapa teori menyatakan bahawa bangsa Melayu itu bukan bangsa teras dan berasal dari China khususnya Yunnan atau New Guinea. Dengan itu ada antara orang Melayu itu sendiri berasa malu dan terasing dengan dirinya sebagai Melayu.
Namun hakikatnya, asal usul orang Melayu memang seringkali menimbulkan polemik serta perdebatan dalam kalangan ahli akademik dunia. Ada pelbagai teori mengenai asal usul orang Melayu. Sehingga kini dikatakan ada tiga teori utama yang telah diketahui umum mengenai asal usul orang Melayu.
Teori pertama mengenai asal usul orang Melayu adalah berdasarkan teori penghijrahan beramai-ramai orang Melayu yang menggunakan sampan dari daerah Yunnan di selatan China dan keluar melalui Sungai Mekong ke Laut Cina Selatan. Ia dikenali sebagai "Teori Keluar Dari Yunnan" dan dikemukakan pada tahun 1890.
Teori kedua, yang dikemukakan pada tahun 1965, mengatakan orang Melayu seorang pelayar yang unggul, yang bekerja sebagai kelasi kapal dan buruh untuk para pedagang antarabangsa yang terdiri daripada orang Arab, China dan India selama lebih 2,000 tahun yang lalu. Teori ini yang digelar "Keluar Dari New Guinea", dikemukakan pada tahun 1965.
Akibat interaksi dan perkahwinan campur dengan bangsa India, China dan Arab, mereka selepas itu menjadi maju lalu menubuhkan sebuah bangsa baharu yang dikenali sebagai bangsa Melayu. Teori ini dilihat paling menghina orang Melayu kerana kekurangan bukti dan kajian saintifik mengenainya selain hanya sekadar mampu menjadi hamba dan buruh bagi bangsa lain.
Teori ketiga dan paling popular dalam kalangan orang ramai, ialah "Teori Keluar dari Taiwan" yang berdasarkan teori lingustik dan bukti arkeologi. Teori ini mengatakan bahawa orang Melayu-Polynesian atau Astronesian atau rumpun Melayu berasal daripada Taiwan. Teori ini yang turut dikenali "Teori Kereta Api Ekpress ke Polynesia", mengatakan orang Melayu, telah keluar daripada Taiwan sejak 6,000 tahun dahulu, dan kemudiannya mereka bertebaran ke serata dunia.
Mereka dikatakan merantau dari Pulau Madagascar di Timur sehinggakan ke Pulau Easter di Barat, dan dari Jepun di utara sehinggakan ke New Zealand di selatan. Teori ini dipelopori oleh Peter Bellwood, seorang pakar lingustik dan disokong bukti arkeologi oleh Eusibio Dizon. Teori ini dikemukakan kepada dunia pada tahun 1997, dengan terbitnya buku The Austronesian oleh Peter Bellwood dan Eusibio Dizon.
Namun terdapat satu lagi teori yang telah dikemukakan 20 tahun lalu oleh pakar antropologi Profesor Wan Hashim Wan Teh dan pakar arkeologi Profesor Nik Hassan Suhaimi Nik Abdul Rahman.
Bangsa teras
Menjadikan kajian ini lebih kukuh dan diterima sebagai paling tepat tentang asal usul Melayu ialah apabila beberapa sarjana Barat turut menyokong dapatan tersebut.
Dr. Steven Oppenheimer, pakar Paleontologi Wilhelm G. Solheim dan Professor Arysio Nunes dos Santos telah mengambil bukti-bukti geologi dan mitologi, dan digabungkan dengan bukti arkeologi, genetik dan linguistik bersetuju untuk mengatakan, orang Melayu sebenarnya berasal dari sebuah tamadun yang hilang, yang dinamakan Benua Melayu Sunda atau Tamadun Sunda. Bangsa ini hakikatnya telah wujud sejak 15,000 tahun Sebelum Masihi berdasarkan kajian mereka.
Lebih membanggakan orang Melayu itu bukan sahaja bangsa teras malah dikatakan Benua Sunda Melayu itu juga adalah benua tamadun Atlantis yang hilang.
Perkara ini telah dinyatakan oleh Oppenheimer dalam bukunya bertajuk, Eden in the East, The Drowned Continent of Southeast Asia keluaran tahun 1999. Beliau yang juga tenaga pengajar di Universiti Oxford turut mengemukakan teori bahawa migrasi moyang kepada rumpun Melayu dari kabilah Negrito, Asli Semang dan Senoi adalah secara terus menerus dari benua Afrika melalui Timur Tengah ke benua Melayu Sunda.
Berdasarkan kajian yang dibuat oleh Prof. Wan Hashim, Prof. Nik Hassan dan Zaharah Sulaiman dalam bukunya; Sejarah Tamadun Melayu, Asal Usul Melayu, Induknya di Benua Sunda, kedudukan Asia Tenggara kuno ketika Zaman Ais bukan seperti yang ada sekarang.
Malah Asia Tenggara kuno disatukan oleh Pentas Sunda yang menghubungkan Sumatera, Semenanjung Tanah Melayu, Jawa, Borneo dan Filipina. Asia Tenggara ketika itu bercantum sebagai satu benua dengan tanah besar Asia dan Pentas Sahul yang menghubungkan Australia.
Dengan perairannya yang cetek dan mudah dilalui telah mewujudkan beberapa laluan penghijrahan bebas untuk manusia dan haiwan di tanah besar Asia atau apa yang dikenali pada hari ini sebagai Gugusan Kepulauan Melayu Nusantara.
Keluasan gugusan ini atau Benua Sunda dihitung dua kali lebih besar daripada Benua India. Laut Champa, Teluk Siam dan Laut Jawa ketika itu kering kontang menjadi dataran pelantar bagi menghubungkan beberapa bahagian benua tersebut.
Menurut Oppenheimer, di Benua Sunda inilah bermulanya tamadun manusia yang menyuburkan budaya-budaya hebat di China, India, Mesopotamia, Mesir dan Kepulauan Crete (Greek) kira-kira lebih 6,000 tahun lampau. Malah menurut Prof. Wan Hashim yang dipetik daripada kajian Da Silva, bangsa Melayu itu sudah wujud dan terbentuk pada 15,000 tahun Sebelum Masihi.
Maka di sini jelaslah bahawa bangsa Melayu itu bukan baharu tertubuh setelah penjajahan Barat. Atau bangsa Melayu itu hanya berpusat di Selat Melaka seperti yang didakwa oleh Anthony Reid yang sekali gus menolak "Teori Keluar Dari Taiwan" dan "Teori Dari New Guinea" yang menolak sama sekali kewujudan bangsa Melayu sebagai bangsa teras dan hanya sekadar bangsa 'menempel'.
Kajian ini turut menyimpulkan bahawa Benua Sunda Melayu ini terpisah akibat fenomena kejadian banjir magnitud besar. Akibat kejadian ini maka wujudlah kedudukan yang terdapat kini di Asia Tenggara. Malah menurut kajian Oppenheimer lagi kejadian banjir besar ini mencadangkan bahawa legenda purba Bandar Atlantis yang tenggelam itu adalah tinggalan Benua Melayu Sunda.
Apatah lagi tamadun awal di benua Sunda ini diibaratkan Eden in the East. Hal ini telah pertama kali dinyatakan oleh ahli falsafah terkenal Yunani, Plato dalam bukunya Timaeus and Critias. Beliau menyebut para penduduknya dianggap sebagai dewa atau superior tetapi telah lenyap dalam masa satu hari yang malang.
Beliau menyatakan bahawa telah berlaku berbagai kejadian letupan gunung berapi, gempa, banjir besar, pencairan ais yang menyebabkan permukaan bumi tenggelam. Dan bahagian bumi yang hilang ini disebut sebagai Atlantis. Antara lokasi yang dinyatakan sebagai Atlantis adalah di Laut Champa, utara Indonesia dan Laut Jawa.
Yang menjadi permasalahan utama adalah banyak penulisan tentang sejarah dan asal usul Melayu diterbitkan oleh bangsa asing. Mereka ini hanya menjalankan kajian berdasarkan pemahaman dari jauh dan rambang. Kemudian diberi kesimpulan dan spekulasi mengkategorikan Melayu yang berbilang suku kaum ini sebagai etnik berasingan tanpa fakta kukuh dan tiada kewajaran hipotesis dalam banyak hal.
Hakikatnya, sama ada mahu menerima realiti atau tidak kesemua mereka ini adalah sebangsa dari latar belakang rumpun yang tidak jauh beza. Dalam erti kata lain, Jawa itu Melayu, Siam itu Melayu, Moro itu Melayu, Minang itu Melayu, Dusun itu Melayu, Iban itu Melayu, Filipina itu Melayu dan Dayak itu Melayu.
Suku kaum kepada etnik bangsa Melayu adalah sebaka dan serumpun. Maka kita boleh simpulkan kesemua Melayu Asli (orang asal) ini sebenarnya tidak berasal dari Yunnan atau Taiwan. Sebaliknya orang Taiwan dan Yunnan itu sebahagian besarnya adalah berasal dari Asia Tenggara.
Akhir kata orang Melayu tidak perlu lagi malu dan berasa terasing dengan sejarahnya kerana telah terbukti kita adalah teras dan serumpun. Hanya orang luar yang memutarbelitkan sejarah.

- Sumber: http://www.utusan.com.my/rencana/asal-orang-melayu-dari-atlantis-1.401264#sthash.jKUni7LU.dpuf

Selasa, 1 November 2016

PERASMIAN LEBUHRAYA BARU LEMBAH KELANG

Tarikh Peristiwa: 11-01-1993
Pada hari  ini  dalam  tahun  1993, Perdana  Menteri  YAB Dato’  Seri  Dr.  Mahathir bin Mohamad   telah  merasmikan  Lebuhraya Baru Lembah  Klang  (LBLK)  bertempat  di  Plaza  Tol  Jalan  Duta Kuala  Lumpur.  Turut  serta  pada  majlis  perasmian  tersebut  ialah  Menteri  Kerja  Raya,  YB Dato’  Leo  Moggie  dan  Pegawai-pegawai  Kanan  Kerajaan.  LBLK  bernilai $400  juta   ini,  panjangnya  ialah   34  KM  bermula  dari  Kawasan  Perindustrian  Bukit  Raja  di  Klang  dan  berakhir  di  Jalan  Duta,  Kuala  Lumpur  dengan  merentasi  24  buah  jambatan  termasuklah  sebuah   daripadanya  sepanjang  360  Meter  dan   setinggi  47  Meter.  Lebuhraya  dua  hala  yang  mempunyai  tiga  lorong bagi  setiap  hala  ini,   telah  mula  dibina pada  November  1988  dan  telah  disiapkan  serta  dibuka  secara  berperingkat-peringkat.  Ketika  berucap  pada  majlis  tersebut  Perdana  Menteri  menyatakan bahawa  pembukaan  LBLK  ini  merupakan  satu  peristiwa  penting  dalam  perkembangan  penswastaan  lebuhraya  di  negara  ini  serta  mencerminkan  sebahagian  daripada  hasrat  kerajaan  untuk  menyediakan  rangkaian  jalan raya  yang  baik  kepada  pengguna-pengguna  jalan raya  di  negara  ini. Sesungguhnya, rangkaian lebuhraya yang baik adalah faktor penting yang akan membantu menjadikan Malaysia sebagai sebuah pusat pelaburan dan pelancongan utama di rantau ini.

http://www2.arkib.gov.my/hids

Program Optometrik UKM ranking kedua dunia

ARKIB : 05/10/1998
PERSATUAN Optometri Dunia mengiktiraf program optometri Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam ranking kedua dunia, setanding dengan United Kingdom, Australia dan New Zealand.

Program optometri UKM merupakan salah satu program di bawah Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu (FSKB).

Lain-lain program di bawah FSKB ialah Sains Perubatan, Dietetik, Sains Bioperubatan, Pemakanan, Audiologi, Sains Pertuturan dan Farmasi.

Kata Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Anuwar Ali, setakat ini, FSKB berjaya mengeluarkan 225 siswazah Optometri bagi mengisi keperluan negara.

Selain Optometri program Sains Bioperubatan juga mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa melalui Institute of Biomedical Science, United Kingdom.

Dr. Anuwar berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara FSKB dengan Majlis Sukan Negeri Selangor Holding Bhd. di Shah Alam Selangor, baru-baru ini.

Melalui MoU itu, atlet di Selangor akan memperoleh perundingan profesional daripada pakar-pakar FSKB.

Kepakaran itu meliputi pengawasan dietatik, pemakanan, farmasi, audiologi, optometri selain sains bioperubatan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Abu Hassan Omar hadir menyaksikan majlis menandatangani MoU itu.

Dua perjanjian tersebut ialah mendapatkan perkhidmatan dalam bidang kepakaran sains sukan dan kesihatan, serta perundingan infrastruktur gimnasium menerusi FSKB UKM.

Pada majlis itu, UKM diwakili Pengarah Biro Rundingan, Prof. Madya Dr. Sharifah Mastura Syed Abdullah sementara MSNS Sports Care Holding Bhd oleh pengerusinya, Datuk Zainal Dahalan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1005&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_04.htm#ixzz4OkmDpLLk © Utusan Melayu (M) Bhd

Zahid letak jawatan -- Keputusan muktamad dan tiada desakan mana-mana pihak

ARKIB : 03/10/1998

AHMAD Zahid Hamidi pada sidang akhbar bagi mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 2 Okt. - Datuk Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, tiga hari selepas dibebaskan daripada tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Beliau menegaskan, peletakan jawatan itu adalah muktamad dan tiada kena mengena dengan desakan mana-mana pihak, sama ada daripada kalangan ahli Exco Pemuda atau Ketua-Ketua Pemuda di peringkat negeri mahupun bahagian.

Kata Zahid, beliau telah menulis dua pucuk surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad selaku Presiden UMNO bagi menyatakan hasratnya itu.

''Saya telah menghantar surat permohonan untuk meletakkan jawatan sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO dan surat itu bertarikh 29 September lalu.

''Saya juga telah menghantar surat pengesahan peletakan jawatan yang kedua, pada 1 Oktober iaitu semalam dan menyatakan keputusan saya meletakkan jawatan adalah muktamad,'' katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat UMNO di sini.

Hadir sama pada sidang akhbar itu ialah beberapa ahli Exco Pemuda termasuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir dan Nordin Mohd. Nor.

Pengumuman mengenai peletakan jawatan itu juga agak mengejutkan kerana semalam pada pertemuan dengan Utusan, Zahid menegaskan, beliau tidak akan meletakkan jawatan sebaliknya akan bersama-sama meneruskan agenda perjuangan dan perpaduan parti.

Sebelum mengumumkan peletakan jawatan tersebut, Zahid memulakan sidang akhbar itu dengan menceritakan pengalaman beliau sewaktu dalam tahanan.

Beliau memberitahu, peletakan jawatan tersebut adalah sesuatu yang perlu dilakukan walaupun beliau yakin bahawa proses demokrasi harus menjadi tonggak utama dalam menentukan kedudukannya.

''Peletakan jawatan ini saya buat atas kesedaran untuk menjaga kepentingan Pemuda keseluruhannya. Ini adalah bentuk pengorbanan terakhir yang dapat saya lakukan sebagai Ketua Pergerakan Pemuda,'' ujarnya.

Ahli Parlimen Bagan Datoh itu ditahan di bawah ISA pada 21 September lalu di Sabah dan dibebaskan tanpa syarat pada 30 September lalu.

Ekoran daripada penahanan itu, pada 24 September lalu, barisan Exco Pemuda menyerahkan memorandum kepada Majlis Tertinggi (MT) melalui Setiausaha Agung UMNO, Datuk Sabbaruddin Chik, bagi menyatakan bahawa mereka sudah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Zahid.

Memorandum itu sepatutnya dibincangkan pada mesyuarat MT 6 Oktober ini.

Pada sidang akhbar ringkas yang dihadiri lebih 30 pemberita termasuk wakil media asing, Zahid juga memberitahu beliau ditahan ketika mengadakan mesyuarat lembaga pengarah syarikatnya di Kota Kinabalu.

Sepanjang tempoh tahanan termasuk dua malam di lokap Kota Kinabalu, beliau mendapat layanan yang cukup baik, katanya.

''Pertanyaan-pertanyaan yang diajukan oleh pihak polis adalah cukup profesional dan tidak ada sebarang kekerasan sama ada secara lisan atau fizikal,'' jelasnya sambil mengucapkan terima kasih kepada polis atas tahap profesionalisme mereka.

Penahanan itu, menurut beliau, dibuat mengikut perkara 73(1) bagi mengetahui sama ada beliau menggerakkan Pemuda bagi melaksanakan aktiviti-aktiviti yang bertentangan.

''Saya telah menyatakan bahawa saya tidak pernah terlibat dan tidak akan terlibat dalam gerakan reformasi yang digembar-gemburkan dan saya juga tidak pernah melibatkan dari dalam mana-mana 'roadshow' atau rusuhan,'' katanya.

Zahid yang enggan menjawab sebarang soalan terutama mengenai sebab peletakan jawatannya memberitahu, beliau akan terus bekerja sebagai ahli parti, termasuk menjelajah ke seluruh negara, bagi memberikan penjelasan kepada ahli-ahli tentang apa yang sebenarnya berlaku selama ini.

''Saya akan tetap berada dalam UMNO untuk meneruskan usaha dan kerja-kerja saya dan insya-Allah saya akan membantu untuk menjelaskan duduk perkara sebenar,'' katanya.

Menurut beliau, ia dilakukan demi kepentingan parti UMNO, kepentingan orang Melayu dan rakyat keseluruhannya.

''Selepas peletakan jawatan ini saya harap rakan-rakan Exco, Ketua Pemuda negeri, bahagian dan seluruh ahli Pemuda di semua peringkat sudi memberikan kemaafan kepada saya.

''Saya harap sokongan yang telah diberikan kepada saya hendaklah diberikan kepada Datuk Hishammuddin (Tun Hussein) apabila beliau memangku jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia,'' ujarnya.

Hishammuddin juga, katanya, akan menggantikan tempat beliau dalam mesyuarat MT pada minggu depan.

Pada masa yang sama beliau berharap aktiviti-aktiviti yang telah dirancang akan diterima pakai dan dilaksanakan sebagai aktiviti Pemuda tanpa diubah atau diketepikan.

''Saya harap keputusan yang dibuat selama ini dihormati oleh semua pihak,'' katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pihak media massa terutama yang hadir pada sidang akhbar itu.

''Terima kasih kepada rakan media massa yang masih sudi bersama dengan saya walaupun ada yang rasa terkejut kenapa saya keluar awal. Mungkin ada yang mengharapkan saya kena dua tahun (di bawah ISA),'' katanya.

Beliau menamatkan sidang akhbar dengan berjenaka: ''Tetapi orang baik macam saya ni keluar awallah.''

Selepas itu beliau terus berlalu tanpa memberi peluang kepada pemberita untuk bertanya soalan.

Sebaik sahaja sidang akhbar itu tamat, beberapa orang pengikut Zahid telah mengemaskan pejabat beliau yang terletak di Tingkat 37 Menara Dato' Onn, PWTC. Ia termasuk menurunkan gambar serta menanggalkan nama beliau yang dilekatkan pada pintu bilik.

Oleh: AZNAN BAKAR

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1003&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=fp_01.htm#ixzz4OkKIu5l3 © Utusan Melayu (M) Bhd