oleh -AHMAD BIN YAAKOB
Khalifah Harun al-Rasyid lahir di Rayy (Iran) pada tahun 763/149 H dan meninggal dunia pada tahun 809 di Thus, Khurasan.Baginda merupakan seorang yang mempunyai sifat-sifat seperti gagah, berani, menyukai hal-hal agama, bijak berpolitik dan cinta akan ilmu pengetahuan.Baginda telah dilantik sebagai putera mahkota pada tahun 782/166 H dan menjadi khalifah Abbasiyah kelima pada tahun 786-809/170-193 H.Pemerintahan baginda dianggap sebagai zaman keemasan Islam kerana Baghdad pada ketika itu menjadi pusat perdagangan dan pusat ilmu serta peradaban Islam yang terulung.[1]
Sumbangan Khalifah Harun al-Rasyid
a) Dasar pemerintahan dan pentadbiran
b) Hubungan diplomatik
c) Memajukan bidang pendidikan dan intelektual seperti membina Baitul Hikmah, menjadikan Baghdad sebagai pusat perkembangan ilmu, menggalakkan kegiatan penulisan dan penterjemahan.
d) Memperkukuhkan angkatan tentera
e) Memajukan bidang ekonomi khasnya perdagangan.[2]
SUMBANGAN KHALIFAH HARUN al-RASYID
a) Dasar pemerintahan dan pentadbiran
Harun al-Rasyid telah melantik wazir yang bijak daripada keluarga Barmaki dalam pemerintahan beliau. Salah seorang daripada keluarga Barmaki, iaitu Yahya bin Khalid dilantik sebagai menterinya.Yahya telah memberikan khidmat yang cemerlang kepada kerajaan Harun al-Rasyid. Anak-anak beliau iaitu Jaafar, Al-Fadhl, Muhammad, dan Musa juga dilibatkan dalam urusan pentadbiran negara. Namun, prestasi mereka yang cemerlang telah menimbulkan perasaan dengki pegawai-pegawai yang lain terhadap mereka.Ekoran daripada itu, fltnah dilemparkan kepada keluarga Barmaki sebagai golongan yang lebih condong kepada fahaman Syiah dan membelakangkan ahli Sunnah.
Mereka dikatakan membina istana yang sama taraf dengan istana-istana khalifah Mereka juga dituduh menggunakan wang negara dan sering juga membekukan wang negara.Lantaran itu, khalifah Harun al-Rasyid bertindak keras menghapuskan keluargaBarmaki dari kerajaannya.Pada tahun 803 Masihi/187 Hijrah, Khalifah Harun bertindak memberkas tokoh tokoh Barmaki termasuk Yahya bin Khalid, Jaafar, dan Fadhl bin Yahya. Jaafar telah dihukum bunuh sementara Fadhl dipenjarakan seumur hidup. Dengan itu lenyaplah peranan keluarga Barmaki dalam kerajaan Abbasiyah.[3]
Selain menghapuskan keluarga Barmaki, Khalifah Harun telah dapat membanteras segala kekacauan dan pemberontakan di dalam negaranya dengan berhikmah tanpa pertumpahan darah.Salah satu tindakan yang beliau lakukan untuk mengekalkan kestabilan negara adalah dengan menyusun semula pasukan tenteranya agar menjadi sebuah pasukan tentera yang berdisiplin dan teratur. Beliau amat mengambil berat terhadap kredibiliti tentera-tenteranya dan memberi perlindungan serta keselamatan untuk
kesejahteraan rakyatnya.[4]
b) Hubungan diplomatik
Dalam bidang politik pula, baginda telah mengadakan hubungan yang baik dengan kuasa-kuasa asing. Pada ketika itu, selain kerajaanAbbasiyah di Baghdad, terdapat tiga buah kerajaan besar lain, iaitu:
(a) kerajaan Byzantine di Constantinople.
(b) kerajaan Umayyah di Andalus.
(c) Perancis di Eropah.[5]
Hubungan kerajaan Harun al-Rasyid dengan kerajaan perancis adalah baik dan beliau tidak menghadapi banyak masalah berurusan dengan negara perancis.Malah, Khalifah Harun dan rajanya, Raja charlemenge dikatakan sering bertukar bingkisan dan baginda pernah membantu Khalifah Harun menghadapi Kerajaan Byzantine.
Demikian juga dengan kerajaan Umaiyah kerana mereka mengamalkan dasar berbaik-baik dengan kerajaan Harun al Rasyid.Namun, ancaman yang sebenar datang dari negara Byzantine. Hal ini tercetus akibat Maharaja Nivephoras I yang menaiki takhta selepas Maharani Irena telah membatalkan perjanjian taat setia dengan kerajaan Harun ar-Rasyid.Sebelum ini, raja Byzantine, Ratu Irene meneruskan bayaran ufti kepada kerajaan Abbasiyah tetapi apabila Rom diperintah oleh Nivephoras I, beliau telah membatalkan ufti tersebut. Hal ini menyebabkan Khalifah Harun menghantar tentera menyerang Byzantine.Justeru, tercetuslah peperangan antara angkatan tentera yang dipimpin oleh Harun al-Rasyid sendiri dengan kekuatan Rom yang menyaksikan kejayaan berpihak kepada tentera Islam.Kemenangan tersebut memaksa Maharaja Rom berdamai dan sanggup untuk berada di bawah naungan kerajaan Abbasiyah.[6]
Selain itu, pembukaan wilayah-wilayah baharu diteruskan oleh Khalifah Harun di benua Asia Kecil. Di Laut Mediterranean, pulau Rhodes, dan Cyprus telah digempur dan kemudiannya ditawan pada 805 dan 807 Masihi.Selain itu, Kerajaan Abbasiyah turut menjalinkan hubungan dengan Maharaja china. Bagi menjaga hubungan baik, mereka saling bertukar bingkisan.[7]
c) Memajukan bidang pendidikan dan intelektual
Khalifah Harun al-Rasyid memainkan peranan yang besar dalam mengembangkan ilmu pengetahuan. Perkembangan dan kegiatan intelektualisme ini berlaku dalam beberapa peringkat, iaitu pembukuan, penyusunan semula ilmu pengetahuan dan penterjemahan.
Baitul Hikmah (Perpustakaan Agung) telah diasaskan sebagai institusi kebudayaan dan pusat keilmuan yang kemudiannya berkembang dan mencapai zaman kegemilangannya semasa pemerintahan Khalifah al-Makmun. Melalui penubuhan Baitul Hikmah sebagai institusi penterjemahan, kerja-kerja penterjemahan menjadi lebih sistematik. Banyak karya-karya asing dalam bahasa Sanskrit, Suriani dan khususnya ilmu falsafah dan sains Yunani
telah diterjemahkan bagi dimanfaatkan oleh para cendekiawan Islam.[8]
Bagi menyebarkan ilmu pengetahuan kepada rakyat, baginda telah mendirikan pusat pengajian seperti sekolah, maktab dan universiti. Keadaan ini juga menyebabkan kegiatan penyelidikan dapat dipertingkatkan. Contohnya, sumbangan al-Khwarizmi dalam bidang matematik dan astronomi. Sesungguhnya, hasil kajian sarjana-sarjana Islam ini kemudiannya telah tersebar ke Eropah sekali gus memberi sumbangan yang besar kepada perkembangan
keilmuan hingga melahirkan zaman Renaisans di Eropah.[9]
Kegiatan pembukuan
Pada peringkat awal, ilmu pengetahuan dikumpulkan dalam bentuk lisan, hafalan, dan ingatan individu.llmu itu akan hilang jika individu tersebut meninggal dunia. Untuk mengelakkan perkara itu berlaku, penulisan dan catatan dilakukan pada kulit binatang dan kayu. Penyebaran ilmu pengetahuan turut berlaku secara lisan. Khalifah Harun al-Rasyid telah melakukan satu pembaharuan, iaitu menggalakkan ilmu pengetahuan dibukukan untuk kegunaan generasi pada masa itu dan akan datang.
Pada zaman pemerintahan Khalifah Harun al-Rasyid, munculnya ulama yang membukukan ilmu pengetahuan berkenaan dengan sejarah (tarikh), kesusasteraan, lughah, hadis, fiqah, tafsir, dan lain-lain. Antara ulama yang terkemuka ialah Imam Malik (menyusun buku al-Muwatta'), Ibn Ishaq (menyusun buku al-Sirah), dan Abu Hanifah (menyusun buku Fiqah). Melalui proses pembukuan ini, ilmu pengetahuan dapat berkembang luas dalam pemerintahan Bani Abbasiyah.[x]
Penyusunan ilmu pengetahuan Islam
Perkembangan dan kegiatan penyusunan semula ilmu pengetahuan Islam yang berhubung dengan hukum-hakam telah bermula sejak pemerintahan Khalifah Abu
Jaafar al-Mansur 754 - 775 M. (1236 -158 H.).Apabila Khalifah Harun al-Rasyid memerintah negara dan umat Islam 786 - 809 M. (170 - 193 H.), beliau menumpukan perhatian yang lebih terhadap perkembangan ilmu pengetahuan Islam. Untuk tujuan itu, penyusunan ilmu tersebut sangat diperlukan supaya tidak terkeluar daripada konsep al-Quran dan Hadis. Penumpuan dibuat kepada ilmu tafsir, hadis, faraid, usuluddin, syariah, tauhid, dan fiqah.
Kegiatan terjemahan
Bagi memperkayakan dan memperbanyakkan sumber bacaan dan khazanah ilmu pengetahuan, Khalifah Harun al-Rasyid menggalakkan pakar bahasa menterjemahkan buku-buku asing seperti dari China, India, Yunani, dan Parsi. Penumpuan diberi kepada menterjemahkan buku-buku berkenaan ilmu perubatan, falsafah, kesenian dan menterjemahkan bukubuku agama dalam bahasa Arab kepada bahasa asing untuk menyebarkan ilmu tersebut di luar tanah Arab. Contohnya Jurjis bin Bakhitislu menterjemahkan buku Pancatanra, Mahabhrata dan Sindhanta.
Untuk melicinkan kegiatan penterjemahan, Khalifah Harun al-Rasyid telah melantik Yuhama bin Musaiwaih sebagai Setiausaha Institut Terjemahan dan golongan penterjemah dikenali sebagai intelektualisme Islam.Prof. Dr. Ahmad Shalaby dalam Sejarah Kebudayaan Islam menyatakan bagi menyebarkan ilmu pengetahuan berkenaan agama Islam, Khalifah Harun al-Rasyid mendirikan institusi pengajian seperti masjid, maktab, dan sekolah. Ini menjadikan Kota Baghdad dikenali sebagai gedung ilmu pengetahuan dan
dikunjungi oleh umat Islam dari seluruh dunia.[10]
d)Memajukan bidang ekonomi
Dalam bidang ekonomi, Khalifah Harun al-Rasyid telah menjadikan kota Baghdad sebagai pusat perdagangan Timur dan Barat yang terbesar dan tersibuk di dunia. Banyak aktiviti perdagangan dijalankan di situ dan ini menarik kedatangan ramai pedagang asing untuk berdagang di kota tersebut. Contohnya - pedagang dari India membawa kain dan rempah-ratus, pedagang dari China pula membawa teh dan sutera serta pelbagai barangan dagangan lain seperti dari Mesir, Turki, Afrika dan Syria.Selain kegiatan perdagangan, pertanian juga diutamakan. Untuk itu, baginda membuka banyak tanah-tanah pertanian yang baharu serta memberikan benih tanaman kepada para petani.[11]
[1]Mahayudin Hj. Yahya et. Al., Ace Ahead Teks STPM Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2 Edisi Kemaskini,56.
[2]Institusi Khalifah”, dalam Modul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah, (Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia,2013),18.
[4] Ibid.
[5] Mahayudin Hj. Yahya et. Al., Ace Ahead Teks STPM Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2 Edisi Kemaskini,57.
[7] Ibid.
[viii]Mahayudin Hj. Yahya et. Al., Ace Ahead Teks STPM Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2 Edisi Kemaskini,56.
[9] Mahdi Shuid, Sazlina Othman dan Arjuna @ Mohd. Noor Yunus, Teks STPM Pra U Sejarah Islam Penggal 2,102.
[10] ibid
[11] Mahayudin Hj. Yahya et. Al., Ace Ahead Teks STPM Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2 Edisi Kemaskini, 57.