Jumaat, 1 Februari 2019

Semangat jihad para sahabat


ARKIB : 01/06/2011
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
PERTEMPURAN di medan Uhud masih tidak ada kesudahannya lagi, kedua-dua belah pihak masih memberikan tentangan yang sengit.

Belum ada pihak yang mengaku kalah lebih-lebih lagi di pihak Islam walaupun pemimpin tentera mereka iaitu Rasulullah sendiri mengalami kecederaan.

Namun tidak dapat dinafikan serangan pihak musuh terhadap tentera Islam memang semakin hebat, terutamanya menumpukan serangan terhadap Rasulullah sendiri.

Mereka begitu mencari Rasulullah di sana sini untuk membunuh baginda.

Seorang sahabat, Nafi bin Jubair berkata: "Aku mendengar seseorang dari kaum Muhajirin berkata: "Aku ikut dalam Perang Uhud. Aku melihat anak panah berterbangan datang dari segala penjuru menuju kepada Rasulullah, namun mujur tidak satu pun dapat mencederakan baginda,"

Semua ini apabila ada kalangan para sahabat sendiri sanggup menjadikan diri perisai hidup agar Rasulullah terselamat.

Tidak akan dapat ditemui dalam mana-mana sejarah perang apabila seorang sahabat seperti Abu Thalhah misalnya, menjadikan dirinya sebagai pagar di hadapan baginda dan memasang dadanya untuk melindungi pemimpin kesayangan umat Islam itu daripada terkena anak panah pihak musuh.

Malah dikatakan Abu Thalhah mampu dan cekap menangkap anak panah yang laju dilepaskan daripada busurnya, lalu terus ditangkap dan dipatah-patahkannya.

Seorang lagi, Abu Dujanah begitu melindungi Rasulullah dengan menjadikan bahagian punggungnya sebagai perisai sehingga dikatakan beberapa anak panah tertancap di punggungnya itu namun beliau tetap mampu bertahan.

Sebenarnya banyak lagi kisah-kisah menarik boleh dikutip di sepanjang berlakunya pertempuran di Medan Uhud ini.

Ini termasuklah semasa perang Uhud ini, Rasulullah juga adalah seorang pemanah yang cekap. Ini sebagaimana yang diceritakan oleh Qatadah bin Nu'man akibat terlalu kuat Rasulullah menarik anak panah dari busurnya, menyebabkan tali busurnya terputus.

Lalu busur panah itu diambil oleh Qatadah kerana busur itu adalah miliknya lalu dipasang semula dengan tali yang baru.

Pada saat itu dikatakan salah satu dari organ mata Qatadah sendiri tersembul keluar akibat terkena serangan dari musuh, lalu Rasulullah sendiri dengan menggunakan tangan baginda 'memasukkan' semula organ itu ke dalam soket mata Qatadah.

Qatadah mengakui selepas dimasukkan organ itu matanya adalah yang terbaik dan paling tajam pandangannya berbanding sebelum ini.

Salah seorang sahabat besar Rasulullah sendiri, iaitu Abdul Rahman bin Auf turut mengalami kecederaan yang agak teruk.

Beliau bertempur melawan musuh sehingga mulutnya cedera yang mengakibatkan sebatang giginya tercabut. Namun seluruh tubuh badannya juga terdapat 20 kesan kecederaan dan begitu juga kakinya tercedera sehingga menyebabkan Abdul Rahman terpaksa berjalan dengan agak pincang selepas itu.

Namun kisah yang paling menakjubkan mengenai seorang lagi sahabat Rasulullah, iaitu Mush'ab bin Umair yang dibunuh oleh Ibnu Qamiah yang disangkanya Mushab itu adalah Rasulullah kerana dikatakan mempunyai wajah yang mirip baginda.

Mush'ab bertanggungjawab untuk membawa dan mengibar bendera atau panji-panji tentera Islam. Sehinggalah tangan kanannya itu terputus akibat ditetak oleh musuh supaya bendera tersebut boleh melemahkan semangat tentera Islam andainya jatuh ke bumi dan tidak mampu dipertahankan oleh sesiapa.

Namun sebelah tangannya masih lagi ada, tidak cedera, lalu Mush'ab mengambil bendera yang jatuh itu dengan tangan kirinya pula.

Namun akibatnya, selepas tangan kirinya itu pula dipenggal sehingga putus, menyebabkan panji Islam jatuh juga ke bumi.

Namun Mush'ab mempunyai semangat yang sangat tinggi dan luar biasa sifatnya. Beliau tetap mempertahankan maruah Islam dengan berusaha untuk mengibarkan panji islam itu walaupun kehilangan kedua-dua belah tangan dan mengalami kecederaan yang teruk.

Beliau membongkok dan cuba mengambil bendera itu dan dikepitkan antara dada dan lehernya. Akhirnya dapatlah juga bendera itu berkibar dengan 'harga' yang paling mahal dan penuh berdarah!

Begitu pun, selagi bendera itu bersamanya, selagi itulah Mush'ab menjadi sasaran serangan pihak musuh yang tiada belas kasihan dan ampun walaupun Mush'ab kini tinggal separuh nyawa untuk mempertahankan panji Islam itu.

Beliau akhirnya mati dibunuh oleh Ibnu Qamiah, lalu gugurlah seorang pahlawan Islam yang kehebatan semangatnya itu untuk mempertahankan Islam itu tiada tolok bandingnya sehingga kini.

Lalu semangat Mush'ab yang seperti itu diteruskan oleh sepupu baginda, Ali bin Abi Talib yang mengambil alih mengibarkan bendera Islam dan dipertahankan sehingga perang tamat.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0601&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5eLa7VPjM
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan