Isnin, 4 Februari 2019

Nicol rangkul kejuaraan ke-7


ARKIB : 24/07/2011
Oleh Norzie Mohd. Khasbi
norzie.khasbi@utusan.com.my
 
PASTI ada perkara lucu daripada Jenny Duncalf (England) sehingga Nicol David ketawa pada majlis penyampaian hadiah Kejohanan Skuasy CIMB Terbuka Malaysia 2011 di The Curve Damansara, Petaling Jaya, semalam. - MINGGUAN/ZAINI HUSIN

KUALA LUMPUR - Keunggulan Datuk Nicol David pada Kejohanan CIMB Terbuka Malaysia terus tidak mampu dibendung apabila beliau berjaya mempertahankan kejuaraan buat kali ketujuh berturut-turut di The Curve, Mutiara Damansara semalam.

Selepas merangkul kejuaraan pertama pada 2005, Nicol tidak pernah melepaskan gelaran, dan semalam beliau meneruskan dominasi dengan menundukkan pemain No. 2 dunia, Jenny Duncalf dari England 11-6, 12-10, 11-5 dalam masa 42 minit.

Kemenangan kali ini lebih bermakna buat juara dunia lima kali itu kerana ini adalah kali pertama Terbuka Malaysia disenaraikan dalam kalendar Siri Dunia, malah dia kini sudah memenangi dua kejuaraan Siri Dunia pada 2011 selepas turut menundukkan Duncalf pada perlawanan akhir Cayman Islands, April lalu.

Bagi Duncalf, 28, ini adalah kegagalan kedua berturut-turut dalam usahanya menumbangkan Nicol di depan peminatnya sendiri, selepas turut tumpas pada final Terbuka Malaysia tahun lalu.

Malah, kekalahan ini membolehkan Nicol melebarkan rekod kemenangan kepada 20-2 ke atas jaguh England itu dan membawa pulang hadiah lumayan AS$$11,400 (RM34,000), Duncalf pula meraih AS$$7,800 (RM23,200).

Ia juga adalah kejuaraan Jelajah WISPA (Persatuan Pemain Profesional Wanita Antarabangsa) ketiga buat jaguh negara itu tahun ini dan yang ke-52 keseluruhan.

Malah, ini merupakan final kesembilan berturut-turut buat Nicol di Terbuka Malaysia selepas muncul naib juara 2003 dan 2004.

"Saya sangat gembira dengan permainan saya hari ini, dengan cara saya mengawal permainan meskipun diberi tentangan sengit di set kedua. Kemenangan ini lebih bermakna kerana ini kali pertama Terbuka Malaysia disenarai dalam kalendar Siri Dunia, ia kejuaraan Siri Dunia kedua saya tahun ini.

"Sokongan yang diberikan penyokong di sini sentiasa membuatkan saya bersemangat untuk mencari kemenangan," kata Nicol.

Sementara itu, dalam saingan lelaki, Gregory Gaultier mengesahkan reputasinya sebagai pilihan pertama apabila menundukkan Aamir Atlas Khan dari Pakistan untuk muncul juara hanya dalam penampilan sulung di Malaysia.


sumber
Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0724&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5ebKwMLwU
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan