Susunan SITI AINIZA KAMSARI
Nabi Muhammad SAW dan kaum Muslimin menyertai
pasukan tentera Islam berangkat menuju ke medan Uhud pada awal pagi Sabtu, 11
Syawal tahun 3 Hijrah. Pada hari yang sama, iaitu disebelah petang mereka
kembali semula ke Kota Madinah.
Ia selepas selesai menguburkan jenazah-jenazah
tentera Islam yang terkorban dan setelah yakin tentera-tentera Quraisy yang
telah meninggalkan medan Uhud itu tidak akan kembali menyerang tentera Islam.
Baginda berangkat pulang bersama-sama dengan para
anggota tentera lain. Ada antara mereka yang mengalami kecederaan dengan
dibantu rakan-rakan.
Ketika menghampiri kota, baginda didatangi penduduk
Madinah terutama para wanita yang bertanyakan nasib saudara-saudara lelaki
mereka yang berjuang di Medan Uhud.
Baginda memberitahu dan menjelaskan kepada mereka
apa yang telah berlaku sepanjang perang itu. Jika ada pengkhabaran yang
menyedihkan, baginda meminta mereka bersabar dan tidak meratapi kematian para
syuhada. Sebabnya, para arwah saat itu telah kembali menemui Allah dan menghuni
syurga.
Namun, tetap ada kalangan wanita itu yang meraung
dan menangis tanpa henti kerana kehilangan orang yang disayangi terutama bapa
kepada anak-anak mereka. Ini menyebabkan si ibu bimbang masa depan mereka.
Baginda lalu berdoa agar Allah anugerahkan kebaikan
kepada keluarga para pejuang yang syahid itu.
Akhirnya baginda selamat tiba di rumahnya dan
sambil melepaskan lelah, baginda dan menantunya, Saidina Ali bin Abi Talib
menyerahkan kedua-dua pedang perang mereka yang masih dibasahi darah kepada
puteri baginda, Fatimah Az Zahra untuk dibersihkan.
Begitu pun pada malam Ahad, iaitu 8 Syawal tahun 3
Hijrah itu, seluruh umat Islam di Madinah masih dalam keadaan berjaga-jaga.
Walaupun kalangan anggota tentera Islam itu sendiri belum pulih daripada
kecederaan dan masih letih, mereka tetap mengambil langkah berjaga-jaga
mengawal ketat seluruh kota Madinah.
Lebih-lebih lagi kediaman Nabi dikawal ketat bagi
menghadapi apa juga kemungkinan terutama jika pihak Quraisy melancarkan serangan
mengejut ke atas Madinah di saat umat Islam berduka cita dan keletihan akibat
berjuang dalam perang itu.
Baginda sendiri tidak dapat melelapkan mata kerana
memikirkan pelbagai aspek terutama kemungkinan pihak Quraisy menyerang kembali
secara tiba-tiba.
Kemungkinan itu ada kerana tentu ada perasaan tidak
puas hati di kalangan puak Quraisy kerana mereka tidak mencapai kemenangan
besar.
Tentera musuh juga tidak dapat membawa pulang
sebarang harta rampasan, tawanan perang apatah lagi menumpaskan musuh ketat
mereka, iaitu Rasulullah sendiri.
"Adakah mereka benar-benar kembali ke Mekah,
atau cuba merancang sesuatu," tanya Rasulullah sendirian.
Pasti mereka dalam keadaan yang menyesal dan ingin
berpatah balik untuk melancarkan serangan terhadap umat Islam.
Lalu baginda terpaksa membuat keputusan dan ia
tentunya sangat berat untuk dilaksanakan. Namun, kerana tiada pilihan yang
lebih baik, baginda tetap akan meneruskan satu rancangan.
Keesokan hari, iaitu pada hari ketiga selepas
Perang Uhud, hanya selepas sehari mereka berehat, baginda menyeru umat Islam
keluar menyerang tentera musuh, sebelum musuh sempat menyerang umat Islam di
Madinah.
Baginda sebenarnya hanya ingin menjejaki musuh,
andai benar pihak musuh hendak menyerang maka baginda dan pasukannya telah
bersedia menghadapi sebarang tentangan dan serangan.
Sebaliknya, jika pihak musuh tidak menunjukkan
tanda-tanda untuk menyerang kembali, maka barulah umat Islam dikatakan benar-benar
selamat daripada apa juga ancaman.
"Jangan keluar bersama kami kecuali mereka
yang terlibat dalam peperangan sahaja (Perang Uhud). Mereka yang lain
dikehendaki menjaga soal keselamatan Madinah terutama ancaman musuh-musuh dalam
selimut," ujar baginda.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0622&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5eRnyWd2U
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan