Ahad, 30 Ogos 2020

Tanggungjawab besar untuk negara

 AHAD MOMEN PANORAMA

TUNKU Abdul Rahman melaungkan ‘merdeka’ pada Hari Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 31 Ogos 1957.

Tanggungjawab besar untuk negara

Oleh MOHD SHARKAWI LONDING

29 Ogos 2020, 1:06 pmSAAT kaki melangkah masuk ke Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 31 Ogos 1957, perasaan pemuda itu bercampur baur tatkala melihat puluhan ribu rakyat pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama memenuhi ruang demi menanti detik bersejarah pengisytiharan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.

Seawal pukul 7 pagi, Laskar Kelas I (LK I) Mohd. Sharif Kalam lengkap berpakaian istiadat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bersama dua lagi rakan setugas, Allahyarham Bintara Kanan (BK) Awang Salleh dan Laskar Kanan Oliver Cuthbert Samuel berdiri di satu sudut, bersedia dengan taat dan penuh semangat.

Hati tiga sahabat itu berdebar-debar menanti minit yang dinantikan seluruh rakyat ketika itu apabila mereka diamanahkan untuk menaikkan bendera Persekutuan Tanah Melayu.

Raja-raja Melayu dan tetamu-tetamu khas luar negara menjadi saksi detik wakil Queen Elizabeth II, Duke of Gloucester menyerahkan Watikah Perlembagaan kepada Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al- Haj. Ini sekali gus menandakan berakhirnya penjajahan British ke atas Tanah Melayu.

MOHD. SHARIF mengenang memorinya sebagai anggota tentera satu ketika dahulu.


“Merdeka, merdeka, merdeka!”


Tepat pukul 9 pagi, terdengar laungan keramat Tunku Abdul Rahman disambut sahutan merdeka berselang-seli daripada puluhan ribu hadirin.


Usai laungan keramat itu, azan berkumandang penuh syahdu menandakan kesyukuran, malah ada yang bersorak, bertakbir serta tidak kurang juga mengalir air mata.


Selesai azan dilaungkan, tugas tiga sahabat ini pun bermula.


Acara menaikkan bendera Persekutuan Tanah Melayu yang kini dikenali sebagai Jalur Gemilang diiringi lagu Negaraku.


Berkongsi pengalaman manis tersebut, Mohd. Sharif yang kini berusia 64 tahun berkata, dia tidak menyangka yang dirinya terpilih untuk ditugaskan menaikkan bendera negara pada waktu itu.


Jelasnya, dia memulakan kerjaya sebagai tentera laut di Woodlands, Singapura pada tahun 1955.


MOHD. SHARIF (berdiri kiri di baris ketiga) semasa mula berkhidmat dalam TLDM.


“Ketika peristiwa itu umur saya 20 tahun. Diberi kepercayaan oleh ketua unit memang satu tanggungjawab besar yang perlu dilaksanakan dengan amanah.


“Saya memang tak sangka dipilih sebagai petugas yang naikkan bendera ketika negara mengecapi kemerdekaannya. Ini adalah pengalaman terindah sepanjang hayat saya,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Johor Bahru, Johor.


Menurutnya, semasa berkhidmat, dia sering ditugaskan menaikkan panji-panji tentera dan Raja-Raja Melayu apabila ada majlis rasmi.


Anak kelahiran Batu Pahat itu berkata, tugasnya pada 31 Ogos 1957 cukup berbeza kerana dia perlu menaikkan bendera Persekutuan Tanah Melayu secara rasmi buat pertama kali untuk dipersembahkan kepada rakyat.


Katanya, tugas menaikkan bendera yang ketika itu diiringi lagu Negaraku berjaya dilaksanakan bersama dua lagi rakannya, BK Awang dan LK Cuthbert Samuel.


“Tugas menaikkan bendera itu adalah kerja sepasukan. Allahyarham BK Awang sebagai penyelia tugas, LK Oliver memegang talinya dan saya pula memegang bendera untuk dinaikkan.


“Selama tiga hari kami lakukan latihan. Lagu Negaraku yang saya dengar pada masa itu juga sama dengan lagu sekarang,” katanya.


Bersara


Sepanjang 32 tahun berkhidmat dalam dunia ketenteraan memberi peluang kepada dirinya menimba banyak pengalaman sebelum bersara sebagai Leftenan Komander TLDM pada tahun 1987.


“Kita kerja dengan kerajaan ketika itu, ikut orang hantar ke mana sahaja. Kita tidak boleh kata tidak, kita patuh dengan arahan penugasan.


“Saya pernah ditugaskan ke Sabah, Kuala Lumpur dan Pahang sebelum ke Singapura sebagai Pegawai Pelaksana Beret Woodlands TLDM di Singapura,” katanya.


Menurut Mohd. Sharif sebelum negara mencapai kemerdekaan, tentera laut ketika itu dikenali sebagai Tentera Laut Diraja British (Royal British Navy) di Singapura.


“Istiadat menaikkan bendera adalah tugas tentera laut semasa pemerintahan kerajaan British dan mereka mahu kekalkan tradisi itu, sebab itulah mereka memilih kami.


“Sehingga kini istiadat menaikkan bendera Jalur Gemilang setiap kali negara menyambut merdeka itu kekal dan TLDM ditugaskan menyempurnakan upacara rasmi itu,” ujarnya.


Ketika ditanya mengapa memilih kerjaya sebagai tentera laut, dia berkata, pengalaman yang ditempuh sewaktu kecil ketika negara hadapi ancaman komunis dan tentera Jepun membuat dia terpanggil untuk menjadi benteng pertahanan negara.

MOHD. SHARIF menunjukkan pingat-pingat yang diperolehi semasa berkhidmat dengan TLDM.–RAJA JAAFAR ALI


Jelasnya, pada ketika itu ibu bapanya tidak membenarkannya ke Singapura untuk menyertai tentera, namun dia bertekad mahu berbakti kepada negara sebelum akhirnya berjaya menjadi anggota tentera.


Kini, Mohd. Sharif meniti usia senja dengan menumpukan aktiviti keagamaan di surau dan masjid, malah memegang jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Madrasah Al-Quran Sidi Ibrahim Ar-Rashid di Kampung Sinaran Baru Skudai.


Mohd. Sharif masih aktif dan boleh berjalan namun mengalami sedikit masalah pendengaran atas faktor usia.


Dia tinggal bersama anak tunggalnya, Abu Bakar, 50, di Taman Pelangi, Johor Bahru.


Hayati erti kemerdekaan


Dalam pada itu, bersempena ulang tahun kemerdekaan yang akan disambut esok, Mohd. Sharif menegur segelintir rakyat negara ini yang dilihat gagal menjiwai semangat patriotisme.


Katanya, tidak faham sejarah dan kurang memahami kepentingan Jalur Gemilang menyebabkan masyarakat hari ini sanggup menghina dan tidak hormati bendera itu.


“Kita hendak marah budak pun tidak boleh sebabnya kalau kita lihat sendiri di bangunan-bangunan termasuk di premis kerajaan, anda boleh tengok sendiri bendera dibiarkan sampai koyak rabak sampai tali pun sudah tiada.


Mungkin dipasang pada 1 Januari lalu, sampai sekarang tidak ditukarkan. Jika dipasang sekalipun, bukan dilakukan pegawai atau kakitangan, tetapi pengawal keselamatan yang bukan rakyat Malaysia.


“Macam mana kita nak tunjuk kepada generasi muda, kalau kita sendiri gagal tonjolkan semangat dan menjiwai budaya mencintai bendera itu sendiri?” soalnya.SUMBER-KOSMO ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan