Isnin, 31 Ogos 2020

Menggamit memori 60 tahun dahulu, dari Kelantan ke Stadium Merdeka

MyMetroUtam

WAN Hashim mencipta sejarah mengelilingi semenanjung Malaysia kali keenam bagi meraikan Hari Kemerdekaan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Syaherah Mustafa

am@hmetro.com.my

WARGA emas, Wan Hashim Wan Mahmood mencipta sejarah apabila menerima pengiktirafan The Malaysia Book Records (MBOR) buat kali keenam selepas mengayuh basikal mengelilingi semenanjung Malaysia bagi meraikan Hari Kemerdekaan tahun ini.

Selain menghargai Hari Kemerdekaan, kayuhan terbabit turut menggamit memori Wan Hashim 60 tahun dahulu ketika berusia 14 tahun, dia pernah berbasikal dari Kelantan ke Stadium Merdeka, Kuala Lumpur semata-mata untuk menyambut Kemerdekaan.Hari ini, kayuhan Wan Hashim, 74, yang bermula 8 Ogos lalu berakhir di pekarangan rumahnya di Jalan Telipot, Kota Bharu selepas 23 hari mengelilingi seluruh semenanjung.

Menurut Wan Hashim, selum mencapai kejayaan keenam itu, dia pernah melakukan misi sama pada 2014, 2015, 2017, 2018 dan 2019 yang turut menerima pengiktirafan MBOR.

Dia yang juga bapa kepada enam orang cahaya mata berkata, meskipun sekadar mengulangi misi yang sama, setiap pengalaman dan cabaran yang ditempuhi berbeza saban tahun."Pada awalnya, niat melakukan misi ini dihalang keluarga susulan penularan wabak Covid-19, namun semangat dalam diri membuatkan saya tekad meneruskannya dengan memastikan keselamatan diri terjaga.

"Untuk misi kali ini, paling mencabar ketika menawan Banjaran Titiwangsa dalam masa sehari selama 11 jam dengan mendaki bukit sejauh 80 kilometer (KM), biasanya, pengayuh perlu mengambil masa sekurang-kurangnya dua hari," katanya ketika ditemui selepas berjaya menyelesaikan misi itu, hari ini.


Selepas menamatkan kayuhan hari ini, Wan Hashim menerima sijil Penghargaan dan pengiktirafan MBOR yang diserahkan wakil MBOR, Wan Takwa Nazi.


gWAKIL MBOR, Wan Takwa Nazi (kanan) menyampaikan sijil Penghargaan MBOR kepada WAN Hashim. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

gWAKIL MBOR, Wan Takwa Nazi (kanan) menyampaikan sijil Penghargaan MBOR kepada WAN Hashim. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Bercerita lanjut, berbeza ketika berbasikal ke Stadium Merdeka 60 tahun lalu, Wan Hashim mengakui kudratnya tidaklah seperti usianya yang muda ketika itu.


Kini, katanya, dia sudah bergelar warga emas, namun bersyukur masih dapat menamatkan misi terbabit.


"Ini adalah cara saya menzahirkan rasa dan semangat kemerdekaan yang ada dalam diri, memandangkan usia yang sudah lanjut, mungkin apa yang saya lakukan berbeza dengan generasi baru masa kini meraikannya.


"Bagi saya, penting untuk kita menunjukkan rasa cinta pada negara dan meraikan kemerdekaan ini dengan apa cara sekali pun agar semangat patriotik terus membara dalam diri, sekali gus mengekalkan kemerdekaan yang kita kecapi hari ini," katanya.


Wan Hashim sebelum ini pernah membuat kayuhan berbasikal ke Vietnam, Kemboja, Thailand, Singapura dan Riau, Indonesia.


WAN Hashim menamatkan misi kayuhan yang bermula pada 8 Ogos dan berakhir hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

WAN Hashim menamatkan misi kayuhan yang bermula pada 8 Ogos dan berakhir hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Ogos 2020 @ 1:15 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan