Ahad, 30 Ogos 2020

Penemuan tapak dinosour di Kelantan.

 ANALISIS SEMASA

Penemuan tapak dinosour di Kelantan.

Hargai usaha UMK jejak fosil dinosaur

Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA

26 Ogos 2020, 8:46 pm

WARTAWAN EKSEKUTIF, MUHAMMAD AYMAN GHAFFA

BARU-BARU ini, negara digemparkan dengan penemuan tujuh fosil tapak kaki dinosaur spesies Sauropod berusia 65 hingga 160 juta tahun di Bukit Panau, Tanah Merah, Kelantan.Penemuan tersebut menjadi bualan ramai terutamanya warga netizen di sosial media sehingga carian menerusi berita tersebut dipercayai naik secara mendadak.

Bagaimanapun, ada pihak yang ragu-ragu, malah tidak kurang pula yang memperlekeh­kan penemuan bersejarah itu.Bermacam-macam kata-kata sindiran dilontar warga netizen menerusi hantaran di Facebook terutamanya di laman portal be­rita tempatan.

Tidak hanya warga maya, kebanyakan masyarakat yang tinggal di sekitar Bukit Panau dan Tanah Merah juga mengakui tidak mengetahui bahawa kampung halaman mereka itu pernah menjadi habitat kepada dinosaur berkenaan.


Menurut wartawan sambilan Kosmo! di Tanah Merah, Bahruddin Hatta, tinjauannya dengan menemui beberapa penduduk di daerah itu mendapati, mereka tidak mengetahui bahawa ketulan seperti bentuk batu itu merupakan fosil dinosaur.


Katanya, sebelum ini kawasan tersebut menjadi tumpuan para pendaki untuk mendaki bukit setinggi 255 meter itu.


Pensyarah Fakulti Sains Bumi (FSB) Universiti Malaysia Kelatan (UMK), Arham Muchtar Achmad Bahar yang mengetuai projek tersebut berkata, penemuan fosil itu berdasarkan morfologi tapak kaki dan kesan trek yang dijum­pai sebelum mendapat pengesahan daripada pakar Dinosaur Dunia dari Jepun.


Katanya, ia membuktikan bahawa dinosaur itu pernah hidup di Tanah Merah antara 66 juta hingga 160 juta tahun lalu.


“Berdasarkan keadaan struktur muka bumi dan geologi di kawasan Bukit Panau, kami mendapati bahawa Saurapod ini telah hidup pada persekitaran daratan khususnya di sekitar sungai berliku.


“Sehingga kini kami belum dapat menentukan spesies Sauropod ini kerana data yang diperlukan masih belum mencukupi. Ini adalah salah satu penemuan daripada banyak penemuan lain hasil aktiviti eksplorasi dan penyelidikan yang kami laksanakan di Kelantan,” katanya.


Lebih menunjukkan kesunguhan warga UMK, mereka telah menjalankan aktiviti dan penyelidikan pada Mei 2017 dan telah menghabiskan masa selama lebih 10,000 jam menyiasat dan menjejak dinosaur di Kelantan.


Atas inisiatif agar penemuan tersebut dapat dikongsi kepada dunia, UMK telah menerbitkan jurnal ilmiah bertajuk The Saurapod Dinosaur Trackways from Tanah Merah bersempena dengan penganjuran Persidangan Sumber Tropika dan Sains Lestari (CTRESS) 2.0 secara dalam talian pada 10 dan 11 Ogos lalu.


Sementara itu, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah menyifatkan kajian fosil dinosaur spesies Sauropod itu merupakan satu pe­nemuan yang besar buat negeri Kelantan khasnya dan Malaysia secara amnya.


Beliau juga berharap, pihak UMK dapat tampil memberi laporan rasmi kepada kerajaan negeri bagi memudahkan tindakan susulan diambil termasuk mengawasi kawasan terbabit daripada diganggu pihak lain.


“Tempat itu mempunyai potensi yang baik. Ia mungkin boleh dijadikan destinasi pelancongan kerana penemuan fosil dinosaur ini merupakan satu perkara yang besar,” katanya selepas menghadiri mesyuarat exco kerajaan negeri minggu lalu.sumber=kosmo online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan