Jumaat, 18 Oktober 2019

Zam wartawan pertama dilantik jadi Senator


ARKIB : 03/03/1998
ZAINUDDIN MAIDIN


KUALA LUMPUR 2 Mac - Bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu, Datuk Zainuddin Maidin, yang lebih dikenali sebagai Zam, dilantik menjadi Senator mulai 25 Februari lalu bagi tempoh tiga tahun.
Setiausaha Dewan Negara, Abdullah Wahab memberitahu, Zam, 58, anak kelahiran Kota Kuala Muda, Kedah akan mengangkat sumpah pada 9 Mac ini.
Inilah pertama kali dalam sejarah, seorang wartawan dilantik sebagai Senator, satu penghormatan yang Zam sifatkan sebagai pengiktirafan terhadap bidang kewartawanan di negara ini.
''Pelantikan saya sebagai Senator bukan saja sebagai tanda penghormatan negara terhadap diri saya sendiri, tetapi apa yang lebih bermakna, ia merupakan pengiktirafan negara kepada seluruh wartawan yang menjadi suara sederhana dalam usaha pembentukan budaya toleransi dalam masyarakat berbilang kaum di negara ini,'' kata Zam ketika ditemubual di pejabatnya hari ini.
Zam menegaskan, sumbangan para wartawan inilah yang telah banyak menjayakan proses sosialisasi yang membentuk pemikiran dan sikap rakyat agar bijak memberikan penilaian dan penghargaan tentang betapa pentingnya keharmonian, perpaduan dan juga kestabilan sesebuah negara, terutamanya dalam saat-saat genting dan mencabar.
''Sikap inilah juga yang telah membolehkan kita sampai kepada peringkat yang ada sekarang iaitu untuk memperkukuhkan budaya toleransi yang kita bina itu.
''Inilah budaya kita yang paling penting dan lebih penting dari segala-galanya terutama bagi menghadapi cabaran-cabaran alaf baru yang datang bersama masyarakat maklumat yang tidak bertebing,'' ujar beliau.
Menurut Zam, kewartawanan merupakan satu bidang yang mencabar kerana ia banyak mengajar seseorang tentang keyakinan diri, meluaskan pengetahuan melalui desakan membaca di samping belajar menyesuaikan diri pada setiap keadaan.
Zam menganggap Utusan Melayu sebagai sebuah universiti baginya kerana Utusan Melayu telah memberikannya peluang menjalani proses pembelajaran berterusan sebagai seorang wartawan memandangkan beliau tidak berpendidikan tinggi.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa melancarkan bukunya yang berjudul Mahathir Di Sebalik Tabir empat tahun lepas memberitahu bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan Zam sebagai 'kawan rapatnya, tetapi yang menyusahkan'.
Anwar menganggap kata-kata tersebut sebagai satu pujian kerana sebagai penulis, Zam tidak selalunya bersetuju serta mempertahankan pendirian kerajaan, UMNO atau Perdana Menteri dan sambil berseloroh, Anwar berkata ''demikian juga sikap Zam terhadap saya''.
Zam memulakan kariernya ketika usianya baru menjangkau 19 tahun (sekitar akhir tahun 50-an) sebagai pemberita sambilan di Alor Setar sebelum menjadi wakil Utusan Melayu di Kedah dan Perlis.
Beliau kemudian telah diberikan kepercayaan menyandang jawatan Ketua Pemberita, Pengarang Berita, wakil Utusan Melayu pertama di London, dan Pengarang Utusan Malaysia sehinggalah beliau dilantik menjadi Ketua Pengarang pada 1982.
Zam juga pernah menerima latihan kewartawanan di Institut Kewartawanan di Berlin pada tahun 1969 selama tiga bulan dan pada tahun 1981, beliau mendapat fellowship kewartawanan dari Universiti of Michigan, Amerika Syarikat selama sembilan bulan.
Zam yang mendapat pendidikan di Maktab Mahmud, Alor Setar bertanggungjawab membawa Kumpulan Utusan menjuarai penentangan terhadap ekstremisme agama dan ajaran-ajaran karut di negara ini terutama sekali Al-Arqam sehingga akhirnya pertubuhan itu diharamkan.
Di bawah pimpinannya juga, Utusan Melayu telah berjaya mengutip derma sebanyak RM4.9 juta untuk Tabung Bosnia selain berjaya mengutip lebih RM1 juta untuk Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) yang disampaikannya sendiri kepada Presiden Palestin, Yasser Arafat di Wisma Putra di sini beberapa tahun lalu.
Selain itu, dengan kerjasama Penerbangan Malaysia (MAS), Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Utusan Malaysia, beliau telah menghidupkan kembali sukan sepak takraw sebagai permainan kebangsaan yang Lakhirnya diiktiraf hingga ke peringkat antarabangsa.
Selain dari buku Mahathir Di Sebalik Tabir, Zam juga telah mengambil masa selama dua tahun untuk menyiapkan sebuah biografi bergambar mengenai bekas Perdana Mentri, Tun Abdul Razak bertajuk Tun Abdul Razak: Jejak Bertapak Seorang Patriot yang dilancarkan oleh Dr. Mahathir di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada tahun lepas.
Sebelum itu, buku pertamanya Yang Pertama dan Terakhir mengandungi sebahagian daripada pengalamannya selama tiga dekad sebagai wartawan manakala Yang Terbaik Daripada Awang Selamat merupakan pilihan pojoknya dalam Mingguan Malaysia meliputi bidang sosial, politik dan agama yang menggambarkan dasar dan sikap Kumpulan Utusan.
Zam kini menjadi Pengerusi Utusan Publications & Distributors (UP&D) Sdn. Bhd. serta menganggotai lembaga pengarah Kumpulan Utusan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan