ARKIB : 09/04/1990
PAK Utih lelaki separuh umur, mempunyai lima anak dan seorang isteri.
Tinggalnya di teratak usang dan mempunyai sebidang tanah yang tandus untuk
berhuma. Pak Utih berperang dengan kemiskinan dan malaria.
Sementara di kota, para pemimpin bersorak gembira. Kemerdekaan kononnya
kemakmuran kepada rakyat. Mereka menjanjikan ''jambatan emas kemakmuran sampai
ke akhirat''.
Demikianlah kalau diprosa puisi Pak Utih yang ditulis oleh Sasterawan Negara
Datuk Dr. Usman Awang pada 1954.
Minggu lalu dalam satu majlis deklamasi puisi penghormatan kepada Usman di
sebuah galeri di Bangsar, puisi Pak Utih diperdengarkan menerusi rakaman pita.
Usman difahamkan tidak dapat hadir kerana masalah kesihatan.
Pak Utih terus segar dan relevan dengan sosiopolitik, sikap dan memaknakan
semula perjuangan dalam konteks semasa. Rakyat seperti Pak Utih banyak yang
terpinggir daripada agenda politik sesetengah pemimpin kerana Pak Utih telah
menandatangani kebenaran untuk mereka mewah tanpa sempadan.
Sekalipun sudah 44 tahun berlalu, puisi ini tetap sinis seperti dulu.
Kehadirannya masih relevan dalam ketidakadilan sosial hari ini.
Pertanyaan Usman pada bait akhir puisi itu, ''Pak Utih menanti dengan doa,
bapak-bapak pergi ke mana dengan mobil besar?'' masih belum terjawab.
''Bapak-bapak'' dirujuk daripada puisi Pak Utih adalah pemimpin yang
mencapai kejayaan hasil suara rakyat seperti lelaki tua bernama Pak Utih ini.
Harus diingat, puisi ini ditulis tiga tahun sebelum negara mencapai
kemerdekaan. Tiga tahun sebelum segenting kera ini dipimpin oleh anak watan.
Puisi Pak Utih adalah mengenai gelagat pemimpin politik yang terlupa
tanggungjawab kepada rakyat.
''Di mana-mana jamuan dan pesta makan, ayam panggang yang enak di depan,
datangnya dari desa yang dijanjikan kemakmuran.'' (petikan Pak Utih).
Usman yang mengguris emosi menerusi Gadis Di
Kuburan dan Ke Makam Bonda antara penyair ASAS 50 yang komited
dengan perjuangan kemanusiaan, keamanan dan sentiasa membakar semangat supaya
tidak ''berjiwa kecil''.
Banyak yang menganggap puisi-puisi Usman berunsur
melankolik, barangkali kerana struktur bahasanya seperti Gadis Di
Kuburan dan Ke Makam Bonda.
Tetapi puisi Usman yang menyentuh dunia politik dan
isu sosial mempunyai substance sebagai mewakili suara golongan seniman.
Siapa kata seniman tidak prihatin dengan segala
pergulatan sosial yang berlaku di sekeliling mereka? Siapa kata seniman hanya
menunggu ilham yang datang waktu bulan mengambang atau memencilkan diri? Dan
siapa kata seniman tidak berjasa kepada negaranya?
Ketika dunia politik menjanjikan kemewahan dan kuasa,
puisi Pak Utih memberi kesedaran kepada rakyat dan pemimpin. Puisi
ini mungkin kurang disenangi tetapi yang penting Pak Utih boleh dijadikan
cermin untuk menyuluh diri.
Sama seperti kebanyakan puisi Usman yang lain, Pak
Utih dibina dengan struktur puisi tradisional yang mempunyai rima pada
akhirannya. Tetapi melihat Pak Uith dalam konteks semasa bukan sahaja pada
strukturnya tetapi keprihatinan Usman terhadap kepentingan rakyat.
Ini antara beberapa puisi Usman yang menjentik
kesedaran sekali gus meletakkan Usman di tengah-tengah masyarakat. Pendiriannya
tentang isu sosial tidak pernah berubah malah menjadi suara keamanan sejagat
menerusi Merpati Putih Jelajahilah Dunia Ini.
Ketika politik beralih dari landasan perjuangannya,
tentu ada kewajarannya untuk menelaah kembali makna yang disuarakan oleh Usman
tiga tahun sebelum menjelang merdeka.
Sebenarnya Pak Utih relevan dengan semua zaman selagi
demokrasi dan politik tidak diletakkan pada landasan yang betul. Seperti kata
Usman dalam Pak Utih, ''Ketika kemenangan bersinar gemilang, pemimpin
di atas mobil maju ke depan, dadanya terbuka, ah...rakyat tercinta melambaikan
tangan mereka.''
Puisi Pak Utih ada sequelnya.
Puisi Pak Utih II (1974) 20 tahun selepas Pak Utih dengan humanya
yang tandus. Usman menulis tentang kegawatan ekonomi dan kebuluran di negara
yang makmur.
Di luar puisi, 1974 adalah zaman gerhana, kebuluran di
Baling dan demonstrasi pelajar di beberapa institusi pengajian tinggi sehingga
membawa ke Masjid Negara.
Ini antara peristiwa yang cuba dipadamkan dari sejarah
dan peristiwa hitam masyarakat pelajar yang dikembiri keberanian bersuara.
Dalam Pak Utih II tersingkap semuanya.
Oleh: KU SEMAN KU HUSEIN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan