ARKIB : 11/05/1998
HANYA dua tahun lagi kita akan
memasuki milenium ketiga. Apakah impak abad ke-20 terhadap dunia dan kita?
Di peringkat dunia, beberapa
peristiwa yang amat berkesan telah berlaku, antaranya: Bom atom dan nuklear
telah diciptakan sebagai senjata yang paling pemusnah (most destructive), kapal
terbang terlaju dibina, telefon bimbit, Israel terbentuk, komunisme lahir dan
hancur, penjajahan British tamat, sebuah negara Islam - Bosnia - lahir di
Eropah, Websites, Internet dan CNN!
Di peringkat kebangsaan pula:
Kita bebas daripada pengabdian British, bumiputera jadi doktor, peguam,
saintis, juruterbang jet pejuang, pamandu kapal terbang terkini dan tercanggih
- Super Ranger Boeing 777, buat kereta, mendirikan belasan universiti, bank dan
menjelma dari satu bangsa tani kepada satu bangsa yang moden dan pasaran
ekonomi. Semua itu yang baik. Keburukannya pula: Dadah, bohsia, AIDS,
pelacuran, perjudian, pembunuhan, penipuan cara lama dan canggih, mengamal
konsep semua halal asal cita-cita termakbul, harap rezeki turun ke atas riba
dan suka menyalahkan kerajaan dan orang lain jika terkandas dan gagal terletak
di tempat yang lebih tinggi dalam kehidupan dan pekerjaan. Semangat berwaris
dan bersaudara (community) makin lemah sepertilah juga semangat gotong- royong.
Dalam abad yang lalu (hanya
berlaku dua tahun lagi) dunia telah melahirkan Gandhi, Winston Churchill,
Roosevelt, Lenin, Stalin, Mao Zedong, Nasser, Hitler, Puteri Diana, Ho Chi
Minh, Nelson Mandela, Ayatollah Khomeini, Margaret Thatcher, Martin Luther
King, Gorbachev dan Eisenhower antara gergasi negarawan dunia. Di wilayah ASEAN
- negarawan yang dianggap besar ialah Vo Nguyen Giap (jeneral Vietnam yang
mengalahkan Perancis dan Amerika Syarikat di Vietnam) dan Lee Kuan Yew. Di
peringkat kebangsaan, saya kira yang menempa sejarah ialah Datuk Onn, Tunku
Abdul Rahman Putra, Tun Razak dan Dr. Mahathir Mohamad - setakat ini.
Masa depan dunia mengikut majalah
Time, sebuah mingguan yang terpengaruh dan terbesar sebaran di seluruh alam,
akan ditentukan oleh konflik berkisar alam sekitar, globalisasi, kabilah dan
kesukuan (tribalisme) dan fundamentalisme. Bagaimana pula di negara kita?
Sama-samalah kita merenung, mengkaji dan meneropong!
Dalam satu senarai seramai 20
orang yang dianggap ''gergasi'' Kurun 20 Time telah memilih Presiden Theodore
Roosevelt (Presiden AS 1901-1905), menempa sejarah kerananya Terusan Panama
diwujudkan dan keprihatinannya terhadap alam sekitar, menambahkan tanah rizab
pemerintah dan meluaskan pengaruh luar Amerika Syarikat. Lenin, pengasas
Empayar Soviet Union, Franklin Delano Roosevelt, presiden terlama dalam sejarah
Amerika Syarikat (1932-45), waris kepada T.R. Roosevelt. FDR, nama popularnya,
adalah presiden yang paling popular dan juga yang amat dibenci - diingati
kerana dua perkara yang terbesar, memulihkan Amerika Syarikat daripada
kemelesetan ekonomi teruk melalui dasar New Deal (Dasar Saksama Baru) yang
merevolusikan cara kehidupan Amerika moden, masuk Peperangan Dunia Kedua
(mengalahkan Nazi Jerman dan Jepun).
Hitler masyhur kerana menjadikan
Jerman kuasa dunia dari debu kekalahannya dalam Perang Dunia Pertama dan kerana
pembunuhan beramai-ramai orang Yahudi yang diperkatakan oleh Yahudi sebagai
''holocaust''. Churchill menyelamatkan Britain (dengan pertolongan Amerika
Syarikat) daripada Hitler, Eleanor Roosevelt (isteri FDR) yang berpengaruh itu
sebagai pejuang hak-hak wanita dan keadilan sosial; Gandhi dikenang kerana
peranan beraninya melawan penjajahan British di Afrika Selatan dan sebagai
pengasas India moden melalui perjuangan tanpa darah (non-violence), Ben Gurion
- pemimpin zionis dan pengasas Israel dan Perdana Menteri pertama - bertanggungjawab
melahirkan sebuah negara Yahudi setelah 4000 tahun mereka merayau tanpa negara
sendiri. Ho Chi Minh, tidak pernah kahwin kerana dia bernikah dengan
nasionalisme Vietnam, arkitek dan pengasas Vietnam bersatu dan pemimpin
teragung perang gerila yang menjatuhkan air muka dua kuasa besar Barat -
Amerika Syarikat dan Perancis; Martin Luther King, pemimpin massa rakyat kulit
hitam yang bertanggungjawab menghapuskan perbezaan antara warna (segregation)
di Amerika Syarikat. Amerika memperingati hari lahirnya dengan cuti umum tetapi
tidak pula menghayati pengajarannya.
Antara pemimpin-pemimpin agung
pilihan Time itu hanya seorang sahaja Islam, Allahyarham Ayatollah Rohollah
Khomeini, pengasas dan pemimpin Republik Islam Iran dan yang menghapuskan
pemerintahan beraja Shah yang dekaden (merosotkan akhlak), korup, kuku besi,
kebaratan dan keyahudian, dan dua wanita teragung selain daripada Eleanor
Roosevelt ialah Margaret Thatcher, Perdana Menteri wanita pertama Britain -
wira perang Falkland melawan Argentina, tokoh dan juara kebebasan minda,
pasaran ekonomi bebas yang berjaya menghapuskan ''negara kebajikan'' yang
dipelopori oleh Clemen Atlee, Perdana Menteri dari Parti Buruh selepas Perang
Dunia Kedua. Seorang pemimpin yang tegas dan datang dari bawah dan naik semata-mata
kerana pelajaran (Universiti Oxford), bukan kerana keturunan bangsawan atau
kerana perangkaian.
Pope John Paul Kedua dipilih
kerana dia dianggap sebagai pemimpin agung agama Kristian mazhab Katolik
pertama yang menampakkan selain daripada memperjuangkan mazhabnya, juga
memperjuangkan perlunya kepercayaan kepada perdampingan dengan tuhan bukan
sahaja mesti disemai tetapi diperkuatkan dalam dunia yang makin sekular. John
Paul Kedua adalah Pope pertama dalam sejarah yang menyokong sebuah masjid besar
didirikan di Rom, tidak jauh dari Vatican, kota suci mazhab Katolik. Saya telah
melawat masjid yang indah ini.
Ronald Reagan orang tertua sekali
pernah jadi Presiden Amerika Syarikat (1980-88) dipandang sebagai ''wira'' yang
menghancurkan Empayar Komunis Soviet Union. Amerika Syarikat di bawah
ketuaannya telah menghancurkan, walaupun tidak 100 peratus berjaya, konsep Big
Government (Kerajaan Besar). Cukai-cukai diturunkan dan rakyat terutama big
business - tidak banyak dibeban oleh pentadbirannya. Amerika Syarikat maju dan
makmur semasa Reagan menjadi presiden dan orang Amerika Syarikat amat suka
kepadanya.
Lech Walesa, bekas pemimpin
kesatuan sekerja Poland yang berani menentang kekuatan pemerintahan komunis
Poland dan Kremlin sehingga tertubuh satu pemerintahan demokrasi dalam suasana
glasnost (politik terbuka) dan perestroika (masa peralihan dan transformasi)
yang diwujudkan oleh Setiausaha Agung Parti Komunis Soviet Union, Mikhail
Gorbachev. Gorbachev digambar sebagai pemimpin yang perseptif; dia sedar masa
komunisme telah tamat maka tugasnya seolah-olah menamatkannya sebaik mungkin.
Tanpa peranannya, empayar komunis Soviet mungkin masih berkuasa di negerinya
dan juga di Eropah Timur. Gorbachev, seperti kata Richard Nixon, sanggup
mengambil risiko; biar kuasanya hilang asalkan reformasinya (ke arah demokrasi
dan pemerintahan terbuka) terselamat. Gorbachev tidak sanggup dan rela
reformasinya terancam langsung. Dia memperjudikan kuasanya dan dia kalah tetapi
demokrasi mulai bertempat di Rusia dan di bekas wilayah-wilayah Soviet Union.
Tiada ramai manusia dalam sejarah yang berprinsip seperti Gorbachev. Itu saya
pasti.
Negarawan gergasi terakhir yang
terpilih ialah Nelson Mandela. Nelson tahanan politik yang termasyhur sekali
dalam dunia. Selama 27 tahun dia dipenjarakan, tetapi keyakinan kepada
perjuangannya tidak luntur bahkan bertambah teguh. Jika dibandingkan dengan
bekas Profesor Syed Hussein Ali (tujuh tahun), Kassim Ahmad dan saya (lima
tahun) dan Anwar Ibrahim (18 bulan) kesengsaraan kami seolah satu temasya
piknik sahaja namun begitu kami tetap dianiayai. Legenda dan mitos Mandela
harum di seluruh alam; keutuhan moral integritinya bersinar sebagai contoh dan
tauladan.
Dalam tahun 1941 Henry Luce,
pengasas Time telah menyifatkan kurun ke-20 sebagai The American Century (Kurun
Amerika). Ternyatalah kebenaran apa yang diperkatakan olehnya 57 tahun
terdahulu dan teka teki kini ialah siapa punya kurun 21? Ada orang kata ia akan
dipunyai oleh negara-negara Pasifik - Pacific century - tetapi ramai berasa Pax
Amerikana akan terus menguasai abad ke-21 dengan negara-negara Asia dan Eropah
memberi sumbangan terbesar kepada dan tamadun elektronik canggih. Ada juga yang
berkeras kurun 21 akan dipengaruhi oleh ''nilai-nilai universal'' bukan
nilai-nilai Pax-Amerikana atau nilai-nilai Barat.
Yang paling saya takut terjadi
sekali dan ada pertandanya, semangat patriotisme, rasa tanggungjawab terhadap
bangsa, bahasa, kebudayaan dan agama anak bangsa kita tidak lagi kuat seperti
generasi nenek dan bapa mereka. Nampaknya generasi kini dan mendatang lebih
menuju ke arah kepentingan diri lebih tinggi dan lebih mulia daripada
tanggungjawab terhadap bangsa. Kita harus semaikan di kalangan generasi pelajar
nilai-nilai cintakan, ''bangsa, bahasa dan agama'' sama ada negara makmur, aman
atau susah.
Nampaknya apa yang saya takut ini
kian berkembang dan berleluasa, apalah lagi dalam kurun 21 nanti dengan
pengaruh globalisasi. Kita ingin bangsa kita menikmati tamadun superteknologi
tetapi tanpa pula mengurangkan sifat kemalaysiaan kita. Saya berdoa, mereka di
sekolah kini dan akan datang akan memikul tanggungjawab terpenting ini. Saya
bukan seorang bumiputera yang taksub. Saya radikal dalam mahu dasar
kemalaysiaan ini diresapi dan dilaksanakan secara amat sangat dan radikal oleh kerajaan
dan UMNO.
Saya tegaskan lagi, saya ingin
Melayu hidup canggih, secanggih dan selaras dengan tamadun negaranya.
Peningkatan taraf kesejahteraan hidup bumiputera harus seiring dengan
kecerdasan ekonomi dan pasaran yang bebas. Tetapi bumiputera janganlah hanya
berharap kepada Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan sahaja. Mereka mesti
mengejar ilmu, tekun, cermat, dan belajar secara smart; ''smart schools''
''kerja bestari''lah!
Kalau setiap insan bumiputera
insaf dan menjalankan tugas dengan jujur, kita tidak perlu satu Agenda Melayu
selepas kita melangkah ke alaf baru tetapi seperti kata Dr. Rais Yatim (Utusan
Malaysia 9 April): Tepuk dada, tanya selera.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0511&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_03.htm#ixzz4JNetSKSt
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan