Khamis, 24 Oktober 2019

RANCANGAN PEMBUKAAN TANAH DIUMUMKAN


OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
Pada hari ini dalam tahun 1960, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Tun Abdul Razak bin Hussain telah mengumumkan rancangan untuk membuka ‘tanah bagi orang-orang yang tidak mempunyai tanah’ di seluruh Persekutuan. Rancangan tersebut akan dilancarkan mulai tahun 1961 dalam Rancangan Pembangunan Lima Tahun Kerajaan yang akan dibentangkan dalam Parlimen pada bulan Disember 1960 untuk diluluskan. Rancangan ini akan dilaksanakan melalui dua kaedah, iaitu pembukaan tanah berhampiran kampung dan Rancangan Perkampungan Beramai-ramai (Group Settlement Scheme). Melalui pembukaan tanah berhampiran kampung, tanah yang akan dipilih hendaklah berdekatan dengan kampung atau perkampungan baru. Keluasannya adalah bergantung kepada jumlah permohonan yang diterima. Manakala Rancangan Perkampungan Beramai-ramai adalah bagi penduduk yang tidak memiliki tanah yang sanggup berhijrah dari kampung atau perkampungan baru yang didudukinya atau mempunyai tanah-tanah lot yang kecil dan tidak mendatangkan hasil. Tanah-tanah ini akan dibuka oleh Kerajaan-Kerajaan Negeri. Bagi melaksanakan rancangan ini, Pejabat-pejabat Tanah akan disusun kembali dengan mengadakan bahagian (seksi) baru yang khusus untuk memilih tanah-tanah baru yang hendak dibuka, mengelolakan Rancangan Perkampungan Beramai-ramai dan pembukaan tanah berhampiran kampung.[1]


[1]http://www2.arkib.gov.my/hids/readarticle.php

Rabu, 23 Oktober 2019

NGAH IBRAHIM DIANUGERAHKAN GELARAN ORANG KAYA MENTERI LARUT



Daerah Larut di Perak adalah di bawah pemerintahan Long Jaafar sehinggalah beliau meninggal dunia pada 1858.   Beliau telah digantikan oleh anaknya Ngah Ibrahim dan telah mendapat restu daripada Baginda Sultan Perak.  Ngah Ibrahim telah meneruskan pentadbiran sebagai Orang Besar Jajahan iaitu wakil Sultan Perak.  Bagi mengukuhkan  kedudukannya pada hari ini 23 Oktober 1863, Ngah Ibrahim bin Long Jaafar telah dianugerahkan gelaran Orang Kaya Menteri Larut oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak Sultan Jaafar Muazzam Shah. Penganugerahan gelaran tersebut adalah juga sebagai mengenang jasa dan perkhidmatan cemerlang beliau kepada baginda sultan dan terhadap perkembangan serta kemajuan perusahaan melombong bijih timah di daerah Larut. Kawasan ini menjadi tumpuan pelombong-pelombong China.  Pada awal tahun 1860 ramai pekerja lombong Cina dari Negeri-negeri Selat datang berhijrah ke daerah Larut untuk melombong bijih dan menubuhkan dua kumpulan kongsi gelap, Ghee Hin dan Hai San. Dalam tahun 1862, sekumpulan orang-orang Kongsi Ghee Hin dari Klian Baharu iaitu seramai 14 orang telah pergi ke Klian Pauh iaitu kawasan Kongsi Hai San kerana hendak bermain judi yang akhirnya mengakibatkan berlakunya pergaduhan. Ngah Ibrahim sebagai Orang Besar Jajahan bertanggungjawab menjaga keamanan daerah Larut telah menjalankan siasatan dan mendapati kumpulan Ghee  Hin bertanggungjawab mencetuskan pergaduhan itu. Ketua kumpulan itu, So Ah Chong telah dihukum bunuh. Orang-orang Ghee Hin tidak berpuas hati dengan tindakan Ngah Ibrahim Ialu mengadu kepada Kolonel Cavenangh, Gabenor Inggeris Negeri-negeri Selat. Tanpa siasatan rapi Cavenagh menuntut bayaran gantirugi daripada Sultan Perak kerana wakil baginda membunuh Ketua Kumpulan Ghee Hin, seorang rakyat British. Ngah Ibrahim yang bertanggungjawab dalam kes itu bersedia membayar gantirugi kepada Gabenor Inggeris bagi pihak Sultan Perak dengan syarat baginda sultan bersetuju menganugerahkannya gelaran yang berpadanan dengan bayaran gantirugi sebanyak $17,447.04. Sebagai ganjaran di atas khidmat beliau itu serta kecekapannya mengendalikan perusahaan lombong di Larut, pada hari ini dalam tahun 1863, Sultan Perak telah berkenan menganugerahkan gelaran Orang Kaya Menteri Larut kepada Ngah Ibrahim. Penganugerahan itu telah meletakkan Ngah Ibrahim sebagai orang yang berkuasa penuh di Larut. Ngah Ibrahim bebas membuat perhubungan dengan mana-mana kuasa luar tanpa persetujuan dan kebenaran Sultan Perak. Bagaimanapun setelah termeterainya Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874, kuasa mutlak Ngah Ibrahim terhadap daerah Larut telah dinafikan oleh pentadbiran Inggeris sebaliknya mengekalkan gelaran.[1]

Sabtu, 19 Oktober 2019

Usman Awang, derita Pak Utih dan kemakmuran


ARKIB : 09/04/1990
PAK Utih lelaki separuh umur, mempunyai lima anak dan seorang isteri. Tinggalnya di teratak usang dan mempunyai sebidang tanah yang tandus untuk berhuma. Pak Utih berperang dengan kemiskinan dan malaria.
Sementara di kota, para pemimpin bersorak gembira. Kemerdekaan kononnya kemakmuran kepada rakyat. Mereka menjanjikan ''jambatan emas kemakmuran sampai ke akhirat''.
Demikianlah kalau diprosa puisi Pak Utih yang ditulis oleh Sasterawan Negara Datuk Dr. Usman Awang pada 1954.
Minggu lalu dalam satu majlis deklamasi puisi penghormatan kepada Usman di sebuah galeri di Bangsar, puisi Pak Utih diperdengarkan menerusi rakaman pita. Usman difahamkan tidak dapat hadir kerana masalah kesihatan.
Pak Utih terus segar dan relevan dengan sosiopolitik, sikap dan memaknakan semula perjuangan dalam konteks semasa. Rakyat seperti Pak Utih banyak yang terpinggir daripada agenda politik sesetengah pemimpin kerana Pak Utih telah menandatangani kebenaran untuk mereka mewah tanpa sempadan.
Sekalipun sudah 44 tahun berlalu, puisi ini tetap sinis seperti dulu. Kehadirannya masih relevan dalam ketidakadilan sosial hari ini.
Pertanyaan Usman pada bait akhir puisi itu, ''Pak Utih menanti dengan doa, bapak-bapak pergi ke mana dengan mobil besar?'' masih belum terjawab.
''Bapak-bapak'' dirujuk daripada puisi Pak Utih adalah pemimpin yang mencapai kejayaan hasil suara rakyat seperti lelaki tua bernama Pak Utih ini.
Harus diingat, puisi ini ditulis tiga tahun sebelum negara mencapai kemerdekaan. Tiga tahun sebelum segenting kera ini dipimpin oleh anak watan. Puisi Pak Utih adalah mengenai gelagat pemimpin politik yang terlupa tanggungjawab kepada rakyat.
''Di mana-mana jamuan dan pesta makan, ayam panggang yang enak di depan, datangnya dari desa yang dijanjikan kemakmuran.'' (petikan Pak Utih).
Usman yang mengguris emosi menerusi Gadis Di Kuburan dan Ke Makam Bonda antara penyair ASAS 50 yang komited dengan perjuangan kemanusiaan, keamanan dan sentiasa membakar semangat supaya tidak ''berjiwa kecil''.
Banyak yang menganggap puisi-puisi Usman berunsur melankolik, barangkali kerana struktur bahasanya seperti Gadis Di Kuburan dan Ke Makam Bonda.
Tetapi puisi Usman yang menyentuh dunia politik dan isu sosial mempunyai substance sebagai mewakili suara golongan seniman.
Siapa kata seniman tidak prihatin dengan segala pergulatan sosial yang berlaku di sekeliling mereka? Siapa kata seniman hanya menunggu ilham yang datang waktu bulan mengambang atau memencilkan diri? Dan siapa kata seniman tidak berjasa kepada negaranya?
Ketika dunia politik menjanjikan kemewahan dan kuasa, puisi Pak Utih memberi kesedaran kepada rakyat dan pemimpin. Puisi ini mungkin kurang disenangi tetapi yang penting Pak Utih boleh dijadikan cermin untuk menyuluh diri.
Sama seperti kebanyakan puisi Usman yang lain, Pak Utih dibina dengan struktur puisi tradisional yang mempunyai rima pada akhirannya. Tetapi melihat Pak Uith dalam konteks semasa bukan sahaja pada strukturnya tetapi keprihatinan Usman terhadap kepentingan rakyat.
Ini antara beberapa puisi Usman yang menjentik kesedaran sekali gus meletakkan Usman di tengah-tengah masyarakat. Pendiriannya tentang isu sosial tidak pernah berubah malah menjadi suara keamanan sejagat menerusi Merpati Putih Jelajahilah Dunia Ini.
Ketika politik beralih dari landasan perjuangannya, tentu ada kewajarannya untuk menelaah kembali makna yang disuarakan oleh Usman tiga tahun sebelum menjelang merdeka.
Sebenarnya Pak Utih relevan dengan semua zaman selagi demokrasi dan politik tidak diletakkan pada landasan yang betul. Seperti kata Usman dalam Pak Utih, ''Ketika kemenangan bersinar gemilang, pemimpin di atas mobil maju ke depan, dadanya terbuka, ah...rakyat tercinta melambaikan tangan mereka.''
Puisi Pak Utih ada sequelnya. Puisi Pak Utih II (1974) 20 tahun selepas Pak Utih dengan humanya yang tandus. Usman menulis tentang kegawatan ekonomi dan kebuluran di negara yang makmur.
Di luar puisi, 1974 adalah zaman gerhana, kebuluran di Baling dan demonstrasi pelajar di beberapa institusi pengajian tinggi sehingga membawa ke Masjid Negara.
Ini antara peristiwa yang cuba dipadamkan dari sejarah dan peristiwa hitam masyarakat pelajar yang dikembiri keberanian bersuara. Dalam Pak Utih II tersingkap semuanya.
Oleh: KU SEMAN KU HUSEIN

Jumaat, 18 Oktober 2019

Zam wartawan pertama dilantik jadi Senator


ARKIB : 03/03/1998
ZAINUDDIN MAIDIN


KUALA LUMPUR 2 Mac - Bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu, Datuk Zainuddin Maidin, yang lebih dikenali sebagai Zam, dilantik menjadi Senator mulai 25 Februari lalu bagi tempoh tiga tahun.
Setiausaha Dewan Negara, Abdullah Wahab memberitahu, Zam, 58, anak kelahiran Kota Kuala Muda, Kedah akan mengangkat sumpah pada 9 Mac ini.
Inilah pertama kali dalam sejarah, seorang wartawan dilantik sebagai Senator, satu penghormatan yang Zam sifatkan sebagai pengiktirafan terhadap bidang kewartawanan di negara ini.
''Pelantikan saya sebagai Senator bukan saja sebagai tanda penghormatan negara terhadap diri saya sendiri, tetapi apa yang lebih bermakna, ia merupakan pengiktirafan negara kepada seluruh wartawan yang menjadi suara sederhana dalam usaha pembentukan budaya toleransi dalam masyarakat berbilang kaum di negara ini,'' kata Zam ketika ditemubual di pejabatnya hari ini.
Zam menegaskan, sumbangan para wartawan inilah yang telah banyak menjayakan proses sosialisasi yang membentuk pemikiran dan sikap rakyat agar bijak memberikan penilaian dan penghargaan tentang betapa pentingnya keharmonian, perpaduan dan juga kestabilan sesebuah negara, terutamanya dalam saat-saat genting dan mencabar.
''Sikap inilah juga yang telah membolehkan kita sampai kepada peringkat yang ada sekarang iaitu untuk memperkukuhkan budaya toleransi yang kita bina itu.
''Inilah budaya kita yang paling penting dan lebih penting dari segala-galanya terutama bagi menghadapi cabaran-cabaran alaf baru yang datang bersama masyarakat maklumat yang tidak bertebing,'' ujar beliau.
Menurut Zam, kewartawanan merupakan satu bidang yang mencabar kerana ia banyak mengajar seseorang tentang keyakinan diri, meluaskan pengetahuan melalui desakan membaca di samping belajar menyesuaikan diri pada setiap keadaan.
Zam menganggap Utusan Melayu sebagai sebuah universiti baginya kerana Utusan Melayu telah memberikannya peluang menjalani proses pembelajaran berterusan sebagai seorang wartawan memandangkan beliau tidak berpendidikan tinggi.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa melancarkan bukunya yang berjudul Mahathir Di Sebalik Tabir empat tahun lepas memberitahu bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan Zam sebagai 'kawan rapatnya, tetapi yang menyusahkan'.
Anwar menganggap kata-kata tersebut sebagai satu pujian kerana sebagai penulis, Zam tidak selalunya bersetuju serta mempertahankan pendirian kerajaan, UMNO atau Perdana Menteri dan sambil berseloroh, Anwar berkata ''demikian juga sikap Zam terhadap saya''.
Zam memulakan kariernya ketika usianya baru menjangkau 19 tahun (sekitar akhir tahun 50-an) sebagai pemberita sambilan di Alor Setar sebelum menjadi wakil Utusan Melayu di Kedah dan Perlis.
Beliau kemudian telah diberikan kepercayaan menyandang jawatan Ketua Pemberita, Pengarang Berita, wakil Utusan Melayu pertama di London, dan Pengarang Utusan Malaysia sehinggalah beliau dilantik menjadi Ketua Pengarang pada 1982.
Zam juga pernah menerima latihan kewartawanan di Institut Kewartawanan di Berlin pada tahun 1969 selama tiga bulan dan pada tahun 1981, beliau mendapat fellowship kewartawanan dari Universiti of Michigan, Amerika Syarikat selama sembilan bulan.
Zam yang mendapat pendidikan di Maktab Mahmud, Alor Setar bertanggungjawab membawa Kumpulan Utusan menjuarai penentangan terhadap ekstremisme agama dan ajaran-ajaran karut di negara ini terutama sekali Al-Arqam sehingga akhirnya pertubuhan itu diharamkan.
Di bawah pimpinannya juga, Utusan Melayu telah berjaya mengutip derma sebanyak RM4.9 juta untuk Tabung Bosnia selain berjaya mengutip lebih RM1 juta untuk Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) yang disampaikannya sendiri kepada Presiden Palestin, Yasser Arafat di Wisma Putra di sini beberapa tahun lalu.
Selain itu, dengan kerjasama Penerbangan Malaysia (MAS), Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Utusan Malaysia, beliau telah menghidupkan kembali sukan sepak takraw sebagai permainan kebangsaan yang Lakhirnya diiktiraf hingga ke peringkat antarabangsa.
Selain dari buku Mahathir Di Sebalik Tabir, Zam juga telah mengambil masa selama dua tahun untuk menyiapkan sebuah biografi bergambar mengenai bekas Perdana Mentri, Tun Abdul Razak bertajuk Tun Abdul Razak: Jejak Bertapak Seorang Patriot yang dilancarkan oleh Dr. Mahathir di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada tahun lepas.
Sebelum itu, buku pertamanya Yang Pertama dan Terakhir mengandungi sebahagian daripada pengalamannya selama tiga dekad sebagai wartawan manakala Yang Terbaik Daripada Awang Selamat merupakan pilihan pojoknya dalam Mingguan Malaysia meliputi bidang sosial, politik dan agama yang menggambarkan dasar dan sikap Kumpulan Utusan.
Zam kini menjadi Pengerusi Utusan Publications & Distributors (UP&D) Sdn. Bhd. serta menganggotai lembaga pengarah Kumpulan Utusan.

Khamis, 17 Oktober 2019

Aziz Wok meninggal dunia


ARKIB : 01/01/1998
BEKAS Pengarah RTM Sabah, Datuk Aziz Wok meninggal dunia di rumahnya di Subang Jaya pagi semalam kerana serangan sakit jantung yang telah lama dihidapinya.
Aziz yang meninggalkan seorang balu, Datin Zabedah Abu Bakar dan tujuh anak juga turut menghidap penyakit kencing manis dan angin ahmar.
Menurut salah seorang anaknya, Asni Abdul Aziz, allahyarham cuba memulakan puasa dengan bangun bersahur dan dia meninggal dunia pukul 10 pagi semalam.
Menurut Asni, sebelum bulan puasa bapanya memakan ubat setiap pukul 8 pagi sebelah paginya dia mengatakan masih mahu meneruskan ibadat puasa.
Pemergian Aziz sememangnya meninggalkan banyak nostalgia kepada banyak individu yang pernah mendapat bimbingannya dalam bidang lakonan. Sebagai penerbit drama TV, Aziz banyak memperkenalkan bakat baru.
Dia antara penyumbang terbesar dalam perkembangan RTM khususnya penerbitan drama dan penyiaran. Sepanjang penglibatannya Aziz telah menghasilkan lebih 200 buah drama.
Aziz mempunyai sijil perguruan dari Universiti Liverpool dan kursus penerbitan filem dan televisyan di Perbadanan Penyiaran British (BBC).
Selepas tujuh tahun mengajar di maktab perguruan, Aziz menjadi penerbit drama di RTM pada tahun 1970 dan kemudian dinaikkan pangkat sebagai Penyelaras Drama Televisyen setahun kemudian.
Antara jawatan lain yang disandangnya selepas itu ialah, Ketua Bahagian Drama RTM (1972-1973), Ketua Bahagian Hiburan dan Muzik RTM (1973-1979), Pengarah RTM Sabah (1979-1980), Ketua Perkhidmatan Luar Negara RTM (1980-1982).
Selepas itu dia bertugas pula sebagai Ketua Pengarah Filem Negara Malaysia (FNM) sehingga tahun 1985 sebelum kembali ke RTM dengan jawatan Timbalan Pengarah Program RTM selama setahun.
Dia kemudian dilantik sebagai Pengarah Institut Penyiaran Tun Abdul Razak sehingga tahun 1988 dan kemudian dilantik sebagai Pengarah Penyiaran RTM Sabah sehingga bersara pada tahun 1991.
Aziz diahirkan di Ipoh, Perak pada 20 Januari 1936 dan memulakan kerjanya sebagai penerbit Drama Minggu Ini dan Dagang Perantau yang dihasilkan dalam hitam putih.

Isnin, 14 Oktober 2019

Kesan Kurun Ke-20


ARKIB : 11/05/1998
HANYA dua tahun lagi kita akan memasuki milenium ketiga. Apakah impak abad ke-20 terhadap dunia dan kita?

Di peringkat dunia, beberapa peristiwa yang amat berkesan telah berlaku, antaranya: Bom atom dan nuklear telah diciptakan sebagai senjata yang paling pemusnah (most destructive), kapal terbang terlaju dibina, telefon bimbit, Israel terbentuk, komunisme lahir dan hancur, penjajahan British tamat, sebuah negara Islam - Bosnia - lahir di Eropah, Websites, Internet dan CNN!

Di peringkat kebangsaan pula: Kita bebas daripada pengabdian British, bumiputera jadi doktor, peguam, saintis, juruterbang jet pejuang, pamandu kapal terbang terkini dan tercanggih - Super Ranger Boeing 777, buat kereta, mendirikan belasan universiti, bank dan menjelma dari satu bangsa tani kepada satu bangsa yang moden dan pasaran ekonomi. Semua itu yang baik. Keburukannya pula: Dadah, bohsia, AIDS, pelacuran, perjudian, pembunuhan, penipuan cara lama dan canggih, mengamal konsep semua halal asal cita-cita termakbul, harap rezeki turun ke atas riba dan suka menyalahkan kerajaan dan orang lain jika terkandas dan gagal terletak di tempat yang lebih tinggi dalam kehidupan dan pekerjaan. Semangat berwaris dan bersaudara (community) makin lemah sepertilah juga semangat gotong- royong.

Dalam abad yang lalu (hanya berlaku dua tahun lagi) dunia telah melahirkan Gandhi, Winston Churchill, Roosevelt, Lenin, Stalin, Mao Zedong, Nasser, Hitler, Puteri Diana, Ho Chi Minh, Nelson Mandela, Ayatollah Khomeini, Margaret Thatcher, Martin Luther King, Gorbachev dan Eisenhower antara gergasi negarawan dunia. Di wilayah ASEAN - negarawan yang dianggap besar ialah Vo Nguyen Giap (jeneral Vietnam yang mengalahkan Perancis dan Amerika Syarikat di Vietnam) dan Lee Kuan Yew. Di peringkat kebangsaan, saya kira yang menempa sejarah ialah Datuk Onn, Tunku Abdul Rahman Putra, Tun Razak dan Dr. Mahathir Mohamad - setakat ini.

Masa depan dunia mengikut majalah Time, sebuah mingguan yang terpengaruh dan terbesar sebaran di seluruh alam, akan ditentukan oleh konflik berkisar alam sekitar, globalisasi, kabilah dan kesukuan (tribalisme) dan fundamentalisme. Bagaimana pula di negara kita? Sama-samalah kita merenung, mengkaji dan meneropong!

Dalam satu senarai seramai 20 orang yang dianggap ''gergasi'' Kurun 20 Time telah memilih Presiden Theodore Roosevelt (Presiden AS 1901-1905), menempa sejarah kerananya Terusan Panama diwujudkan dan keprihatinannya terhadap alam sekitar, menambahkan tanah rizab pemerintah dan meluaskan pengaruh luar Amerika Syarikat. Lenin, pengasas Empayar Soviet Union, Franklin Delano Roosevelt, presiden terlama dalam sejarah Amerika Syarikat (1932-45), waris kepada T.R. Roosevelt. FDR, nama popularnya, adalah presiden yang paling popular dan juga yang amat dibenci - diingati kerana dua perkara yang terbesar, memulihkan Amerika Syarikat daripada kemelesetan ekonomi teruk melalui dasar New Deal (Dasar Saksama Baru) yang merevolusikan cara kehidupan Amerika moden, masuk Peperangan Dunia Kedua (mengalahkan Nazi Jerman dan Jepun).

Hitler masyhur kerana menjadikan Jerman kuasa dunia dari debu kekalahannya dalam Perang Dunia Pertama dan kerana pembunuhan beramai-ramai orang Yahudi yang diperkatakan oleh Yahudi sebagai ''holocaust''. Churchill menyelamatkan Britain (dengan pertolongan Amerika Syarikat) daripada Hitler, Eleanor Roosevelt (isteri FDR) yang berpengaruh itu sebagai pejuang hak-hak wanita dan keadilan sosial; Gandhi dikenang kerana peranan beraninya melawan penjajahan British di Afrika Selatan dan sebagai pengasas India moden melalui perjuangan tanpa darah (non-violence), Ben Gurion - pemimpin zionis dan pengasas Israel dan Perdana Menteri pertama - bertanggungjawab melahirkan sebuah negara Yahudi setelah 4000 tahun mereka merayau tanpa negara sendiri. Ho Chi Minh, tidak pernah kahwin kerana dia bernikah dengan nasionalisme Vietnam, arkitek dan pengasas Vietnam bersatu dan pemimpin teragung perang gerila yang menjatuhkan air muka dua kuasa besar Barat - Amerika Syarikat dan Perancis; Martin Luther King, pemimpin massa rakyat kulit hitam yang bertanggungjawab menghapuskan perbezaan antara warna (segregation) di Amerika Syarikat. Amerika memperingati hari lahirnya dengan cuti umum tetapi tidak pula menghayati pengajarannya.

Antara pemimpin-pemimpin agung pilihan Time itu hanya seorang sahaja Islam, Allahyarham Ayatollah Rohollah Khomeini, pengasas dan pemimpin Republik Islam Iran dan yang menghapuskan pemerintahan beraja Shah yang dekaden (merosotkan akhlak), korup, kuku besi, kebaratan dan keyahudian, dan dua wanita teragung selain daripada Eleanor Roosevelt ialah Margaret Thatcher, Perdana Menteri wanita pertama Britain - wira perang Falkland melawan Argentina, tokoh dan juara kebebasan minda, pasaran ekonomi bebas yang berjaya menghapuskan ''negara kebajikan'' yang dipelopori oleh Clemen Atlee, Perdana Menteri dari Parti Buruh selepas Perang Dunia Kedua. Seorang pemimpin yang tegas dan datang dari bawah dan naik semata-mata kerana pelajaran (Universiti Oxford), bukan kerana keturunan bangsawan atau kerana perangkaian.

Pope John Paul Kedua dipilih kerana dia dianggap sebagai pemimpin agung agama Kristian mazhab Katolik pertama yang menampakkan selain daripada memperjuangkan mazhabnya, juga memperjuangkan perlunya kepercayaan kepada perdampingan dengan tuhan bukan sahaja mesti disemai tetapi diperkuatkan dalam dunia yang makin sekular. John Paul Kedua adalah Pope pertama dalam sejarah yang menyokong sebuah masjid besar didirikan di Rom, tidak jauh dari Vatican, kota suci mazhab Katolik. Saya telah melawat masjid yang indah ini.

Ronald Reagan orang tertua sekali pernah jadi Presiden Amerika Syarikat (1980-88) dipandang sebagai ''wira'' yang menghancurkan Empayar Komunis Soviet Union. Amerika Syarikat di bawah ketuaannya telah menghancurkan, walaupun tidak 100 peratus berjaya, konsep Big Government (Kerajaan Besar). Cukai-cukai diturunkan dan rakyat terutama big business - tidak banyak dibeban oleh pentadbirannya. Amerika Syarikat maju dan makmur semasa Reagan menjadi presiden dan orang Amerika Syarikat amat suka kepadanya.

Lech Walesa, bekas pemimpin kesatuan sekerja Poland yang berani menentang kekuatan pemerintahan komunis Poland dan Kremlin sehingga tertubuh satu pemerintahan demokrasi dalam suasana glasnost (politik terbuka) dan perestroika (masa peralihan dan transformasi) yang diwujudkan oleh Setiausaha Agung Parti Komunis Soviet Union, Mikhail Gorbachev. Gorbachev digambar sebagai pemimpin yang perseptif; dia sedar masa komunisme telah tamat maka tugasnya seolah-olah menamatkannya sebaik mungkin. Tanpa peranannya, empayar komunis Soviet mungkin masih berkuasa di negerinya dan juga di Eropah Timur. Gorbachev, seperti kata Richard Nixon, sanggup mengambil risiko; biar kuasanya hilang asalkan reformasinya (ke arah demokrasi dan pemerintahan terbuka) terselamat. Gorbachev tidak sanggup dan rela reformasinya terancam langsung. Dia memperjudikan kuasanya dan dia kalah tetapi demokrasi mulai bertempat di Rusia dan di bekas wilayah-wilayah Soviet Union. Tiada ramai manusia dalam sejarah yang berprinsip seperti Gorbachev. Itu saya pasti.

Negarawan gergasi terakhir yang terpilih ialah Nelson Mandela. Nelson tahanan politik yang termasyhur sekali dalam dunia. Selama 27 tahun dia dipenjarakan, tetapi keyakinan kepada perjuangannya tidak luntur bahkan bertambah teguh. Jika dibandingkan dengan bekas Profesor Syed Hussein Ali (tujuh tahun), Kassim Ahmad dan saya (lima tahun) dan Anwar Ibrahim (18 bulan) kesengsaraan kami seolah satu temasya piknik sahaja namun begitu kami tetap dianiayai. Legenda dan mitos Mandela harum di seluruh alam; keutuhan moral integritinya bersinar sebagai contoh dan tauladan.

Dalam tahun 1941 Henry Luce, pengasas Time telah menyifatkan kurun ke-20 sebagai The American Century (Kurun Amerika). Ternyatalah kebenaran apa yang diperkatakan olehnya 57 tahun terdahulu dan teka teki kini ialah siapa punya kurun 21? Ada orang kata ia akan dipunyai oleh negara-negara Pasifik - Pacific century - tetapi ramai berasa Pax Amerikana akan terus menguasai abad ke-21 dengan negara-negara Asia dan Eropah memberi sumbangan terbesar kepada dan tamadun elektronik canggih. Ada juga yang berkeras kurun 21 akan dipengaruhi oleh ''nilai-nilai universal'' bukan nilai-nilai Pax-Amerikana atau nilai-nilai Barat.

Yang paling saya takut terjadi sekali dan ada pertandanya, semangat patriotisme, rasa tanggungjawab terhadap bangsa, bahasa, kebudayaan dan agama anak bangsa kita tidak lagi kuat seperti generasi nenek dan bapa mereka. Nampaknya generasi kini dan mendatang lebih menuju ke arah kepentingan diri lebih tinggi dan lebih mulia daripada tanggungjawab terhadap bangsa. Kita harus semaikan di kalangan generasi pelajar nilai-nilai cintakan, ''bangsa, bahasa dan agama'' sama ada negara makmur, aman atau susah.

Nampaknya apa yang saya takut ini kian berkembang dan berleluasa, apalah lagi dalam kurun 21 nanti dengan pengaruh globalisasi. Kita ingin bangsa kita menikmati tamadun superteknologi tetapi tanpa pula mengurangkan sifat kemalaysiaan kita. Saya berdoa, mereka di sekolah kini dan akan datang akan memikul tanggungjawab terpenting ini. Saya bukan seorang bumiputera yang taksub. Saya radikal dalam mahu dasar kemalaysiaan ini diresapi dan dilaksanakan secara amat sangat dan radikal oleh kerajaan dan UMNO.

Saya tegaskan lagi, saya ingin Melayu hidup canggih, secanggih dan selaras dengan tamadun negaranya. Peningkatan taraf kesejahteraan hidup bumiputera harus seiring dengan kecerdasan ekonomi dan pasaran yang bebas. Tetapi bumiputera janganlah hanya berharap kepada Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan sahaja. Mereka mesti mengejar ilmu, tekun, cermat, dan belajar secara smart; ''smart schools'' ''kerja bestari''lah!

Kalau setiap insan bumiputera insaf dan menjalankan tugas dengan jujur, kita tidak perlu satu Agenda Melayu selepas kita melangkah ke alaf baru tetapi seperti kata Dr. Rais Yatim (Utusan Malaysia 9 April): Tepuk dada, tanya selera.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0511&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_03.htm#ixzz4JNetSKSt © Utusan Melayu (M) Bhd

Asal nama Bukit Nanas


ARKIB : 13/05/1998

MENARA Kuala Lumpur... mercu tanda pembangunan di kawasan Bukit Nanas.

Perang di Kuala Lumpur meletus antara Raja Mahadi yang disokong oleh Raja Asal, Sutan Puasa dan orang Cina yang dipimpin oleh Chong-Chong dengan Tengku Kudin yang bersekutu dengan Sultan Abdul Samad, iaitu Sultan Selangor yang bersekutu dengan Yap Ah Loy, Kapitan Cina Kuala Lumpur pada 1871-75.

Pada akhir 1871, Sultan Puasa, iaitu ketua masyarakat orang Melayu keturunan Mendahiling mengumpul orangnya di Tanjung Dua Belas (Hulu Langat).

Di situ pasukan Sutan Puasa bersatu dengan pasukan orang Mendahiling dari Hulu Slim yang dipimpin oleh Raja Berumun atau dikenali juga Datuk Imam Perang Jabarungun di Tanjung Dua Belas.

Mereka berkumpul untuk menyerang Kuala Lumpur yang dikuasai oleh Kapitan Yap Ah Loy yang disokong oleh Tengku Kudin dan Sultan Abdul Samad.

Pengikut Sutan Puasa yang bersatu dengan pengikut Raja Berumun tidak sempat menyerang Kuala Lumpur kerana dengan tiba-tiba pasukan mereka diserang oleh pasukan Yap Ah Loy seramai 200 orang dan dibantu oleh orang Melayu daripada pasukan Kapitan Syers yang berjumlah kira-kira 100 orang.

Sutan Puasa sempat melepaskan diri ke Klang dan menubuhkan satu lagi pasukan. Namun tidak lama kemudian, Sutan Puasa dapat ditangkap oleh pasukan Inggeris yang dipimpin oleh Residen Davidson, Residen British di Selangor. Lalu Sutan Puasa dipenjarakan di Selangor.

Bukit Nanas yang ketika itu belum lagi dikenali dengan nama itu masih menjadi pusat pertahanan Raja Asal, iaitu sekutu Sutan Puasa. Raja Asal membina kubu pertahanan di Bukit Nanas dengan menanam pokok nanas di sekeliling kubu tersebut. Tujuannya supaya musuhnya sukar menembusi kubunya yang dikeliling oleh pokok nanas. Pokok nanas itu boleh menjadi penghalang kepada musuh yang berkaki ayam.

Akhirnya kubu Raja Asal dapat juga ditembusi oleh pasukan Yap Ah Loy yang disokong oleh Tengku Kudin dan dibantu oleh Inggeris yang telah berkuasa di Selangor.

Raja Asal sempat berundur ke Hulu Slim. Tetapi isterinya, Wan Putih, adik kepada Bendahara Tun Mutahir Pahang, menyerah diri. Beliau kemudiannya dibebaskan.

Bukit tempat kubu terakhir Raja Asal yang ditanam dengan pokok nanas itu akhirnya dikenali Bukit Nanas, mengambil sempena pokok nanas yang ditanam di sekeliling kubu.

Raja Asal yang dianggap ketua oleh masyarakat Melayu keturunan Mendahiling akhirnya berpindah ke Changkat Piatu di Kinta, Perak. Pada masa Inggeris mencari Datuk Maharaja Lela dan Datuk Sagor, kerana terlibat dalam pembunuhan J.W.W. Birch pada 1875, Raja Asal diminta oleh Inggeris untuk menolong mencari pahlawan Melayu Perak itu.

Waktu itu Raja Asal tidak berjaya menangkap penentang Inggeris itu. Tetapi kerana sangat menghargai jasanya, Inggeris melantik anak angkat yang juga anak saudaranya bernama Raja Bilah, menjadi Penghulu Mukim Belanja yang berpusat di Pekan Papar pada 1882-1909.

Pada 1877, Raja Asal meninggal dunia dan dimakamkan di atas sebuah bukit di Changkat Piatu dekat Batu Gajah.

Saya pernah melawat makamnya pada 1977, iaitu ketika sedang menyiapkan buku yang bertajuk Tempat-tempat Bersejarah di Negeri Perak.

Menurut Allahyarham Haji Waad juga, sekutu Raja Asal, iaitu Syed Mashur, berkubur di Hulu Kelang.

Beliau juga dikalahkan oleh angkatan perang Inggeris dengan sekutu angkatan perang Yap Ah Loy dan Tengku Kudin. Syed Mashur lari ke Perak dan terlibat pula menolong Inggeris mencari pahlawan Melayu yang membunuh Birch.

Syed Mashur akhirnya dilantik oleh kerajaan Selangor yang dikuasai oleh Inggeris menjadi Penghulu di Daerah Kerling.

Pada 1975 saya mengunjungi makam Syed Mashur yang terletak di Kerling. Saudara mara Syed Mashur masih ramai tinggal di Kerling hingga sekarang. Sultan Puasa selepas keluar dari penjara di Kelang, terus menetap di Sungai Mulia, Gombak.

Di situ, beliau memiliki sebuah rumah dan sebuah tasik kecil yang dikenali Tobek Sutan Puasa. Letak tasik itu betul-betul di belakang Masjid Sungai Mulia. Tobek Sutan Puasa masih ada hingga ke hari ini.

Haji Waad telah dilantik menjadi Pengurus Besar Keretapi Tanah Melayu pada 1970, menggantikan Tan Sri Ahmad Perang. pada masa saya tinggal di rumahnya, iaitu dari 1962, saya berkenalan dengan keluarga Ahmad Perang dan keluarga Datuk Abdul Razak, iaitu ketua Akauntan Keretapi Tanah Melayu.

Abdul Razak, setelah bersara melibatkan diri dalam perniagaan. Beliau menduduki sebuah rumah besar berbentuk Minangkabau berdekatan Taman Merbuk dan Tugu Negara.

Saya mendapat tahu bahawa Abdul Razak telah meninggal dunia pada tahun 80-an. Isteri allahyarham, yang saya panggil Kak Ani (Datin Noraini), berasal daripada keluarga Dato' Jaaffar Mambak. Saya mengenalinya semasa tinggal di Jalan Syer. Rumahnya tidak jauh dari rumah Allahyarham Haji Waad Jamaludin.

Haji Waad berpindah ke Jalan Keramat Hujung selepas bersara sebagai Pengurus Besar Keretapi Tanah Melayu pada 1970-an. Tapak rumah di Keramat Hujung itu saya yang berusaha menyuruh Hj. Waad membelinya daripada Melan Abdullah yang waktu itu bertugas sebagai wartawan di Utusan Melayu. Beliau meninggal dunia pada 1986 ketika usianya mencecah 80 tahun. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.

Oleh: N.A. HALIM


Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0513&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_01.htm#ixzz4JO0PbWXD © Utusan Melayu (M) Bhd