Ahad, 14 April 2019

FAKTOR KEMUNCULAN SEMANGAT NASIONALISME DI SYRIA ABAD KE-20

OLEH-AHMAD BIN YAAKOB

Konsep Nasionalieme
Secara umum nasionalisme bermaksud perasaan cinta dan taat setia yang tidak berbelah bahagi akan tanah air dan ingin membebaskan negara dan bangsa daripada penguasaan dan cengkaman asing. Nasionalisme juga ada kaitan dengan negara dan bangsa. Nasionalisme pada umumnya bertujuan mewujudkan kebebasan individu dan negara daripada cengkaman dan koonkongan pemerintah dan kuasa asing.

      Intipati utama nasionalisme ialah mewujudkan kebebasan dan maruah seseorang serta membentuk nasib dan masa depan sesebuah negara dan bangsa. Dengan itu, nasionalisme bergerak ke arah pembentukan satu identiti bangsa yang berbudaya tinggi.[1]

      Selepas tamat Perang Dunia Pertama pada tahun 1918, menyaksikan kejatuhan empayar Turki  Uthmaniyah yang menaungi negara-negara Arab Islam.Kuasa imperialis Barat mula mengambil peranan empayar Turki Uthmaniyah.Di Syria, Perancis telah diberi mandat untuk menjaga hal-ehwal negara tersebut. Walau pun Perancis dikatakan ingin memberi kemerdekaaan kepada Syria, namun mereka  telah menjajah negara tersebut selama tujuh tahun.  Pada tahun 1927, Perancis telah menganjurkan pilihan raya di Syria yang dimenangi oleh Parti Blok Nasional. Namun, Syria masih berada di bawah penguasaan Perancis tanpa mendapat kemerdekaan penuh.[2]

Pengenalan
Gerakan nasionalisme di Syria.
Setelah tamatnya Perang Dunia pertama 1918 M, kuasa Barat telah mula mengambil alih peranan empayar Turki Uthmaniyah yang semakin lemah di mana kekalahan Turki dalam Perang Dunia 1 menyebabkan Turki terpaksa menyerahkan sebahagian wilayah kekuasaannya di bawah pengawasan Liga Bangsa.[3]

      Keputusan Konferensi San Remo yang ditandatangani pada tahun 1922 di London, perancis telah diberi kuasa oleh Liga Bangsa untuk menjaga hal ehwal Syria dan Lebanon yang merupakan sebahagian wilayah kerajaan Turki Uthmaniyyah sejak 1516M.

Faktor kemunculan gerakan nasionalisme di Syria :
a. Pengaruh agama .
Pengaruh dan kesedaran agama telah menyebabkan kemunculan keinginan dan usaha untuk menyatukan semua negara dan bangsa Arab sehingga mewujudkan gerakan nasionalisme di Syria.Kedudukan Palestin yang bersempadan di bahagian barat daya Syria menyebabkan penduduk Syria sangat mengambil berat perihal saudara Islam mereka di Palestin yang ditindas penjajah British. Di samping itu, Gerakan Yahudi yang mahu menempatkan penduduk mereka di Palestin jelas kelihatan apabila golongan Turki Muda yangmemerintah Turki dikuasai oleh pertubuhan al-Ittihad wa al-Taraqqi yang didalangi oleh orang Yahudi.Suasana ini menyemarakkan lagi sentimen agama dan semangat penduduk tempatan di Syria menentang pihak penjajah.

b. Peranan bahasa dan kesusasteraan
Pada abad ke l9-20M, berlaku perkembangan baru dalam kesusasteraan Arab bagi menangani cabaran yang dihadapi oleh dunia Arab. . Karya Francis Marrash iaitt Ghabat al-Haqq pada 1865 dan Qustaki al-Hilmi dengan karyanya The Reseacher's Source in the Science of Critism adalah berkisar tentang idea-idea keamanan, kebebasan dan kesaksamaan.[4]

     Perkembangan bahasa dan sastera ini turut menyuntik dan menyemarakkan kebangkitan gerakan nasionalisme di Syria di mana sebelum ini, istilah-istilah Turki dan bahasa asing banyak mempengaruhi kehidupan rakyat dan telah digantikan dengan bahasa dan sastera tempatan. Fenomena ini dapat meningkatkan perkembangan semangat nasionalismedi Syria.

c. Pengaruh kewartawanan
Pengaruh kewartawanan juga telah mencetuskan semangat nasionalisme di Syria. Penerbitan majalah Al-Manar yang merupakan majalah bulanan yang membahaskan idea pembaharuan dan tajdid di Kaherah dan majalah tersebut dipelopori oleh Rasyid Rida yang dilahirkan di Syria.Majalah ini telah mengungkapkan dan mengutarakan pemikiran baru yang berasaskan idea-idea pembaharuan yang dicetuskan oleh Jamaluddin al-Afgani dan Muhammad Abduh dalam majalahnya iaitu al-Urwa al-Wuthqa. Fokus pemikiran ini adalah ke arah usaha pembaharuan dan perkembangan dakwah Islamiah di Syria. Tatkala akhbar lain membicarakan keburukan penjajahan dan kegawatan dunia Islam ketika itu, al-Manar pula mencadangkan penyelesaian terhadap isu-isu yang dihadapi oleh masyarakat Islam.[5]
Al-Manar juga menggerakkan perbincangan tentang dakwah, idealisme dan islah, menerangkan dasardasar Pan-Islamisme, meneroka persoalan yang berkait dengan ajaran aqidah dan hukum, membincangkan fahaman modenisme, sekularisme, nasinalisme dan mempelopori dan mempopularkan bidang dialog dan pertukaran idea antara budaya dan pemikiran baharu berkait dengan falsafah agama dan budaya, serta menangani isu-isu sosial dan peradaban.

      Al-Manar yang pertama kali diterbitkan pada 17 Mac 1898 sebagai majalah mingguan yang memuatkan lapan halaman, menyiarkan berita mutakhir di samping artikel utama yang ditulis oleh ketua editor iaitu, Rasyid Rida sendiri.Bermula pada tahun kedua, majalah ini dikeluarkan setiap bulan dan tersebar dengan meluas ke seluruh jajahan Islam dalam wilayah Turki, India, Mesir, Syria, Maghribi dan turut diseludup ke Kepulauan Melayu. Kerancakan penerbitan akhbar telah mempercepatkan penerimaan masyarakat terhadap gerakan nasionalisme untuk membebaskan diri daripada penjajahan.
d. Peranan pendidikan .
Di Syria, sebuah akademi telah ditubuhkan bagi menjemput dan mengumpul ahli bahasa dari seluruh pelusuk Tanah Arab untuk datang, bertemu dan bertukar-tukar fikiran dan tumpuan akademi bahasa ini adalah untuk menyesuaikan dan mengharmonikan bahasa masing-masing dengan keadaan masyarakat Arab yang mengamalkan pelbagai budaya.

Dalam hal ini, walaupun secara politiknya mereka berbeza, namun mereka bersatu di bawah satu perkara, iaitu bahasa Arab. Antara tokoh terkenal yang menyokong usaha penubuhan negara Syria yang merdeka ialah Abu Khaldun Sati al-Husri. Beliau dilahirkan di Aleppo dan pada masa mudanya, beliau bekerja sebagai pegawai pendidikan dalam kerajaan Turki Uthmaniyah.[6]

Di Damsyik dan Beirut pula, beberapa buah univeriiti telah dibina dan menjadi medan perdebatan golongan terpelajar tempatan dan hal ini turut mencetuskan idea-idea nasionalisme di Syria.

Peranan golongan intelektual .
Tokoh intelektual Syria yang terkenal iaitu Rasyid Rida yang juga merupakan seorang intelektual muslim Syria turut mengembangkan gagasan pemikiran modenisme Islam yang pada awalnya dipengaruhi dan dicetuskan oleh tokoh-tokoh nasionalisme Mesir iaitu Jamaluddin al-Afgani dan Muhammad Abduh. . Rasyid Rida juga turut mengkaji kelemahan masyarakat Islam ketika itu dan membandingkannya dengan masyarakat penjajah Barat dan akhirnya beliau berpendapat bahawa kelemahan ini dapat diatasi jika masyarakat Islam kembali kepada prinsip-prinsip asas agama Islam dan melakukan transformasi dan ijtihad dalam menghadapi kehidupan moden yang semakin mencabar.[7]

Pengaruh luar .
Syria yang masih berada di bawah pemerintahan empayar Turki Uthmaniyah pada awal abad ke-20M juga telah terpengaruh dengan dasar pan-Islamisme menjadi dasar kerajaan Turki Uthmaniyah di mana dasar ini telah meniup dan meningkatkan semangat penduduk tempatan menangkis dan melawan ancaman pihak Barat. Shakib Arselan yang berasal dari Lubnan telah menghasilkan penulisan yang menyeru penduduk Syria supaya bersatu di bawah kerajaan Turki Uthmaniyah dan menolak konspirasi dan dakyah Barat yang inginkan penduduk Syria menentang penguasaan kerajaan Turki Uthmaniyah dan turut menggesa penduduk Syria bangun secara sukarela menentang pihak British semasa perang Dunia Pertama.[8]


[i1Mohd Sukki Othman dan Wan Muhammad  Wan Sulong ,Teks Pra U STPM Sejarah Penggal 2, Edisi Kedua, (Kuala Lumpur: Pearson Malaysia Sdn. Bhd, 2015), 365.
[2] Mahdi Shuid, Sazlina Othman dan Arjuna @ Mohd. Noor Yunus, Teks STPM Pra U Sejarah  Islam Penggal 2, (Bandar Baru Bangi: Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd, 2015),302.
[3] “Gerakan Nasionalisme” dalam Modul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah,(Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia,2013), 122.
[4] Ibid,123.
[5] Ibid,124.
[6] Ibid,125.
[7] Ibid,126.
[8] Ibid,127.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan