ARKIB : 01/01/2010
01/01/2010 9:40pm
KUALA LUMPUR 1 Jan. — ”Tok Mat”, ”Mat Setia”, ”Mat
UMNO” dan ”Mat Bulat” adalah antara nama jolokan yang diberikan bagi
menggambarkan personaliti dan perwatakan Tan Sri Mohamed Rahmat, bekas Menteri
Penerangan Malaysia yang pernah mewarnai dunia politik dan industri hiburan
negara dengan pelbagai sejarah tersendiri.
Menggalas tugas sebagai Menteri Penerangan sebanyak
dua kali iaitu pada 1978-1982 dan 1987-1999, Mohamed atau lebih dikenali dengan
panggilan
“Tok Mat” mempunyai cara tersendiri sebagai ejen
penerangan kerajaan untuk memastikan segala dasar kerajaan sampai ke peringkat
akar umbi.
Tok Mat adalah tunjang kepada “Setia Bersama Rakyat”
atau Semarak, yang menjadi program serampang dua mata iaitu untuk meningkatkan
semangat cintakan negara juga mengembalikan kepercayaan rakyat kepada parti
UMNO yang ketika itu sedang mengalami krisis kepimpinan.
Beliau juga telah menghasilkan lagu patriotik ”Setia”
yang menjadi begitu penting sehingga sering dimainkan setiap kali selepas lagu
Negaraku diputarkan.
Setianya kepada parti juga terbukti apabila beliau
sedia memikul tugas berat sebagai Setiausaha Agung UMNO dan Barisan Nasional
(BN) sejak 1988 hingga 1999.
Sebagai Setiausaha Agung UMNO, beliau bertanggungjawab
mengembalikan maruah dan menghidupkan semula UMNO setelah parti Melayu itu
melalui sejarah hitam diharamkan akibat krisis kepimpinan pada 1988.
Malah beliau juga sering diberi kepercayaan untuk
menjadi pencatur strategi sama ada untuk mengembalikan sokongan rakyat baik kepada
parti mahupun pemimpin.
"Bagi saya, itu satu perkara amat memalukan,
sejarah yang paling hitam dalam UMNO bila diharamkan,” katanya yang merupakan
pemegang nombor keahlian 00000003 dalam UMNO.
Dilahirkan di Pulai, Johor pada 4 Januari 1938,
Mohamed mendapat pendidikan menengah di Maktab Abu Bakar, Johor Bahru pada 1956
sebelum melanjutkan pengajiannya dalam bidang Bachelor of Letters di Universiti
Indonesia, Jakarta pada 1961. Beliau bagaimanapun tidak sempat menamatkan
pengajiannya di peringkat Ijazah Sarjana ekoran konfrontasi antara Malaysia dan
Indonesia.
Memulakan kerjayanya sebagai guru di Sekolah King
Edward VII, Taiping, Perak pada 1963, Allahyarham Mohamed kemudiannya beralih
kepada bidang penulisan skrip di Filem Negara Malaysia (Finas) selama setahun
bermula 1964.
Namun, hari ini Menteri Propaganda itu telah
menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 71 tahun meninggalkan legasi dan
strategi-stretegi propagandanya sebagai rujukan.
Allahyarham yang sepatutnya menyambut ulang tahun
kelahirannya ke-72 Isnin depan meninggal dunia dalam tidur di kediamannya di
Bukit Damansara, di sini pagi ini.
Anak sulungnya Datuk Nur Jazlan, yang juga Anggota
Parlimen Pulai berkata, bapanya disedari meninggal dunia pada kira-kira 8 pagi
ini ketika ibunya Puan Sri Salbiah Abdul Hamid mahu mengejutnya bangun daripada
tidur dan menutup mesin dialisis yang dipasang pada tubuh suamninya itu.
Beliau berkata, Allahyarham bapanya menghidapi
penyakit buah pinggang sejak 10 tahun lepas dan perlu menjalani rawatan
dialisis setiap hari.
Menyorot kembali penglibatan Allahyarham dalam dunia
politik bermula dengan menyertai UMNO sejak 1963 dan terpilih menjadi Ahli
Parlimen Johor Baru Barat (yang dinamakan sebagai Pulai pada tahun 1974) dalam
Pilihan Raya Umum 1969.
Beliau terus menjadi Ahli Parlimen Pulai selama enam
penggal atau 30 tahun sehingga 1999.
Di dalam Kabinet, Mohamed telah dilantik sebagai
Menteri Penerangan (1978-1982) dan atas kapasiti sebagai Menteri Penerangan,
beliau juga dilantik sebagai Setiausaha Agung UMNO dan Setiausaha Agung Barisan
Nasional bermula 1988 hingga 1999.
Allahyarham juga pernah dilantik sebagai Duta
berstatus menteri ke Jakarta, Indonesia pada 1982.
Semasa menjadi Menteri Penerangan, antara peristiwa
yang diingati ialah apabila beliau berjaya menyelesaikan isu disiplin penyanyi
rock yang timbul tahun 1990 apabila mengarahkan penyanyi rock memotong rambut
jika hendak keluar televisyen.
Antara yang menjadi mangsa ialah penyanyi Awie dari
Kumpulan Wings dan Amy dari kumpulan Search.
Selepas bersara daripada pentadbiran kerajaan dan
UMNO, Tok Mat telah menghasilkan sebuah nukilan buku berjudul ”UMNO: Akhir
Sebuah Impian” yang memaparkan manipulasi politik yang dilakukan pemimpin UMNO
terdahulu dalam mengekalkan kekuasaan. - Bernama
SUKAN