Ahad, 3 November 2019

Gerhana mata hari Anulus terakhir abad ini


ARKIB : 15/08/1998
KUALA LUMPUR 14 Ogos - Fenomena gerhana mata hari Anulus yang akan berlaku pada 22 Ogos ini merupakan gerhana mata hari penuh yang terakhir pada abad ini bagi rantau Asia Tenggara sehingga tahun 2020.
Ketua Pengarah Bahagian kajian Sains Angkasa (BAKSA), Profesor Datuk Dr. Mazlan Othman berkata, sepanjang tempoh itu masyarakat tidak lagi berpeluang untuk melihat fenomena gerhana penuh, melainkan gerhana separa yang berlaku di Australia dan Eropah pada tahun depan.
''Selepas ini kita hanya berpeluang untuk melihat gerhana separa yang berlaku pada Februari tahun depan dan bulan Januari, 2009, 200, 2016 dan Julai 2009,'' katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Beliau berkata, kejadian gerhana Anulus pada kali ini yang berlaku selama 2 jam 30 minit, dapat dilihat di sebahagian besar Semenanjung, Sabah dan Sarawak bermula pukul 7 sehingga 9.30 pagi.
''Bagaimanapun, kejadian gerhana penuh hanya boleh dilihat di Melaka, Mersing, dan Bintulu selama 2 minit 30 saat,'' katanya.
Menurut Dr. Mazlan, fenomena gerhana mata hari Anulus tidak sama dengan gerhana mata hari penuh, di mana kedudukan bulan berada agak hampir dengan bumi sehingga membenarkan sedikit cahaya mata hari terus kelihatan.
''Sedangkan gerhana mata hari penuh, kedudukan bulan yang sejajar dengan matahari dan bumi berada agak jauh sehingga menghalang terus permukaan mata hari daripada pandangan mata kasar,'' jelasnya.
Katanya, beberapa kejadian ganjil akan berlaku akibat fenomena itu, seperti keadaan cuaca yang tidak menentu, angin bertiup kencang dan langit kelihatan seakan-akan senja, serta haiwan seperti burung dan ayam berada dalam kebingungan.
Jelas beliau, panjang bayangan laluan gerhana itu dianggarkan sepanjang 13,500 kilometer, dengan lebar bayangan 131 kilometer ketika melintasi Semenanjung dan Sarawak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan