Ahad, 3 November 2019

Pameran darurat membangkitkan semangat cintakan negara


ARKIB : 27/08/1998

KERETA perisai polis 'Sagor' yang pernah digunakan bagi melakukan rondaan dan kawalan keselamatan ketika zaman darurat.


Sehubungan itu, usaha yang dilakukan oleh Arkib Negara Malaysia (ANM) mengadakan pameran terbesar Zaman Darurat Di Tanah Melayu 1948-1960 perlu diberikan pujian, terutama dalam membangkitkan semangat cintakan negara.
Orang ramai juga seharusnya tidak melepaskan peluang keemasan ini untuk menghayati rentetan peristiwa negara melalui tempoh kira-kira 12 tahun yang penuh dengan pelbagai tragedi berdarah dan perjuangan rakyat menghadapi pengganas komunis.
Darurat sememangnya satu tempoh masa yang benar-benar menguji semangat patriotik dan pengorbanan rakyat bagi memastikan komunis dan fahamannya tidak terus meresap.
Pada zaman inilah banyak anggota pasukan keselamatan dan rakyat terkorban angkara komunis, yang kononnya memperjuangkan masalah rakyat.
Perjuangan kira-kira 12 tahun ini berakhir dengan kekalahan pihak Parti Komunis Malaya (PKM) di mana mereka terus berjuang secara kecil-kecilan dalam hutan sehinggakan perletakan senjata pada tahun 1989.
Pameran Darurat yang bertempat di Memorial Tunku Abdul Rahman Putra, Jalan Datuk Onn di ibu negara itu diadakan selama empat bulan, bermula 31 Julai lalu sehingga akhir tahun ini.
Pameran tersebut dirasmikan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Syed Hamid Albar pada 31 Julai, sempena hari pengisytiharan tamatnya zaman darurat di negara ini.
Skop pameran meliputi beberapa sektor, termasuk latar belakang darurat, gerakan pengganas komunis, kehidupan zaman darurat, langkah-langkah keselamatan, kerjasama Komanwel, tokoh kerajaan dan pemimpin komunis, persidangan Baling dan proses penamatan darurat.
Sebanyak 250 bahan dipamerkan bagi melengkapkan pameran tersebut seperti gambar, dokumen, keratan akhbar, poster dan pakaian seragam.
Senjata api yang pernah digunakan oleh komunis dan tentera kerajaan, kereta kebal, pakaian dan peralatan komunis menarik untuk disaksikan.
Begitu juga dengan gambar-gambar mangsa yang dibunuh serta kemusnahan harta benda akibat kekejaman komunis.
Risalah-risalah komunis dan kerajaan serta pelbagai lagi barang-barang milik pengganas yang berjaya dirampas oleh kerajaan turut dipamerkan.
Bahan-bahan tersebut merupakan sumbangan pelbagai pihak seperti daripada koleksi ANM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Filem Negara, Jabatan Penerangan, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), The New Straits Times (M) Berhad serta Utusan Melayu (M) Berhad.
Ketua Pengarah ANM, Datuk Habibah Zon, pada ucapannya di majlis perasmian itu berkata, peristiwa darurat perlu dihayati oleh orang ramai, terutama generasi muda, dalam membangkitkan semangat cintakan negara.
Menurut beliau, bahan-bahan pameran tersebut amat penting dalam memberikan gambaran sebenar kesusahan yang dialami oleh masyarakat yang sentiasa diancam oleh pengganas komunis.
Kejayaan menumpaskan komunis juga merupakan rentetan bersejarah yang membawa kepada kemerdekaan negara.
Sehubungan itu orang ramai, terutama ibu bapa dan pelajar sekolah, seharusnya merebut kesempatan daripada pameran ini kerana ia dibuat secara bersepadu iaitu gabungan antara pameran oleh tentera dan polis serta sektor lain yang berkaitan seperti KTMB dan syarikat persuratkhabaran.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan