Ahad, 3 November 2019

Tok Mat nasionalis yang setia


ARKIB : 01/01/2010
01/01/2010 9:40pm

KUALA LUMPUR 1 Jan. — ”Tok Mat”, ”Mat Setia”, ”Mat UMNO” dan ”Mat Bulat” adalah antara nama jolokan yang diberikan bagi menggambarkan personaliti dan perwatakan Tan Sri Mohamed Rahmat, bekas Menteri Penerangan Malaysia yang pernah mewarnai dunia politik dan industri hiburan negara dengan pelbagai sejarah tersendiri.
Menggalas tugas sebagai Menteri Penerangan sebanyak dua kali iaitu pada 1978-1982 dan 1987-1999, Mohamed atau lebih dikenali dengan panggilan
“Tok Mat” mempunyai cara tersendiri sebagai ejen penerangan kerajaan untuk memastikan segala dasar kerajaan sampai ke peringkat akar umbi.
Tok Mat adalah tunjang kepada “Setia Bersama Rakyat” atau Semarak, yang menjadi program serampang dua mata iaitu untuk meningkatkan semangat cintakan negara juga mengembalikan kepercayaan rakyat kepada parti UMNO yang ketika itu sedang mengalami krisis kepimpinan.
Beliau juga telah menghasilkan lagu patriotik ”Setia” yang menjadi begitu penting sehingga sering dimainkan setiap kali selepas lagu Negaraku diputarkan.
Setianya kepada parti juga terbukti apabila beliau sedia memikul tugas berat sebagai Setiausaha Agung UMNO dan Barisan Nasional (BN) sejak 1988 hingga 1999.
Sebagai Setiausaha Agung UMNO, beliau bertanggungjawab mengembalikan maruah dan menghidupkan semula UMNO setelah parti Melayu itu melalui sejarah hitam diharamkan akibat krisis kepimpinan pada 1988.
Malah beliau juga sering diberi kepercayaan untuk menjadi pencatur strategi sama ada untuk mengembalikan sokongan rakyat baik kepada parti mahupun pemimpin.
"Bagi saya, itu satu perkara amat memalukan, sejarah yang paling hitam dalam UMNO bila diharamkan,” katanya yang merupakan pemegang nombor keahlian 00000003 dalam UMNO.
Dilahirkan di Pulai, Johor pada 4 Januari 1938, Mohamed mendapat pendidikan menengah di Maktab Abu Bakar, Johor Bahru pada 1956 sebelum melanjutkan pengajiannya dalam bidang Bachelor of Letters di Universiti Indonesia, Jakarta pada 1961. Beliau bagaimanapun tidak sempat menamatkan pengajiannya di peringkat Ijazah Sarjana ekoran konfrontasi antara Malaysia dan Indonesia.
Memulakan kerjayanya sebagai guru di Sekolah King Edward VII, Taiping, Perak pada 1963, Allahyarham Mohamed kemudiannya beralih kepada bidang penulisan skrip di Filem Negara Malaysia (Finas) selama setahun bermula 1964.
Namun, hari ini Menteri Propaganda itu telah menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 71 tahun meninggalkan legasi dan strategi-stretegi propagandanya sebagai rujukan.
Allahyarham yang sepatutnya menyambut ulang tahun kelahirannya ke-72 Isnin depan meninggal dunia dalam tidur di kediamannya di Bukit Damansara, di sini pagi ini.
Anak sulungnya Datuk Nur Jazlan, yang juga Anggota Parlimen Pulai berkata, bapanya disedari meninggal dunia pada kira-kira 8 pagi ini ketika ibunya Puan Sri Salbiah Abdul Hamid mahu mengejutnya bangun daripada tidur dan menutup mesin dialisis yang dipasang pada tubuh suamninya itu.
Beliau berkata, Allahyarham bapanya menghidapi penyakit buah pinggang sejak 10 tahun lepas dan perlu menjalani rawatan dialisis setiap hari.
Menyorot kembali penglibatan Allahyarham dalam dunia politik bermula dengan menyertai UMNO sejak 1963 dan terpilih menjadi Ahli Parlimen Johor Baru Barat (yang dinamakan sebagai Pulai pada tahun 1974) dalam Pilihan Raya Umum 1969.
Beliau terus menjadi Ahli Parlimen Pulai selama enam penggal atau 30 tahun sehingga 1999.
Di dalam Kabinet, Mohamed telah dilantik sebagai Menteri Penerangan (1978-1982) dan atas kapasiti sebagai Menteri Penerangan, beliau juga dilantik sebagai Setiausaha Agung UMNO dan Setiausaha Agung Barisan Nasional bermula 1988 hingga 1999.
Allahyarham juga pernah dilantik sebagai Duta berstatus menteri ke Jakarta, Indonesia pada 1982.
Semasa menjadi Menteri Penerangan, antara peristiwa yang diingati ialah apabila beliau berjaya menyelesaikan isu disiplin penyanyi rock yang timbul tahun 1990 apabila mengarahkan penyanyi rock memotong rambut jika hendak keluar televisyen.
Antara yang menjadi mangsa ialah penyanyi Awie dari Kumpulan Wings dan Amy dari kumpulan Search.
Selepas bersara daripada pentadbiran kerajaan dan UMNO, Tok Mat telah menghasilkan sebuah nukilan buku berjudul ”UMNO: Akhir Sebuah Impian” yang memaparkan manipulasi politik yang dilakukan pemimpin UMNO terdahulu dalam mengekalkan kekuasaan. - Bernama
SUKAN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan