MyMetroNuansa
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my
Rumah kayu Melayu berpasak yang
masih tegap menunjukkan kerja pertukangan tinggi orang terdahulu sehingga ia
mampu bertahan lebih seabad lamanya.
Malah setiap kali meneliti struktur
pada rumah tradisi berkenaan, semakin terserlah nilai estetika bangunan itu
membuktikan kehalusan dan ketinggian ilmu pembinaan yang kini jarang sekali
dapat diamati generasi hari ini.
Justeru, tidak hairanlah
sesetengah rumah Melayu diangkat sebagai khazanah warisan yang harus dikekalkan
menerusi beberapa inisiatif baik pihak akademik, kerajaan negeri mahupun orang
perseorangan sebagai ‘permata’ pelancongan.
Rumah Warisan Haji Su di Kampung
Losong Haji Su Terengganu umpamanya dibeli pihak muzium dengan nilai RM3.2
juta. Ia menjadi tumpuan pelancong menerusi konsep rekaan Limas Belanda dan
Bujang Berpeleh Kembar Tiga berpasak tanpa paku.
Lebih menarik, terdapat juga
pakej penginapan disediakan untuk memberi pengalaman bermalam dalam rumah
tradisional.
Beralih ke Laman Gentam di Kuala
Pilah, Negeri Sembilan yang turut mempunyai tarikan sentimental menerusi
kediaman pusaka milik Datuk Zaki Said.
Rekaannya berasaskan kayu cengal
selain jalinan kayu pada anjung dilengkapi kemasan cucur atap bercorak bulan
separuh pada keliling bumbung.
Peluang menjengah kediaman milik
pasangan Daim Hayati Mohammad, 87, dan isterinya, Jamaliah Shafie, 69, antara
pengalaman menarik sukar penulis lupakan.
Ia antara sebahagian jadual yang
perlu dipenuhi Program Road to Agro Tourism Siri ke 5 Edisi Khas Bagan Datuk
Perak, baru-baru ini. Ia sekali gus mengubat rasa rindu pada kampung halaman.
Rumah terbabit bercirikan tradisi
Melayu Perak dibina Datuk Daim, Allahyarham Mat Ali Kulop Rabu. Terletak di
laluan utama jalan raya Teluk Intan-Bagan Datuk pastinya menggamit perhatian
bukan saja dalam kalangan pencinta seni bina warisan malah pelancong untuk
merakam gambar.
Kata Daim, rumah pusaka itu
pernah dijadikan tapak pelancaran Program 30 Homestay atau Inap Desa Parlimen Bagan
Datuk pada 26 Januari 2006.
“Saya ialah generasi keempat
selepas datuk, bapa, Mohammad Mat Ali dan abang sulung, Allahyarham Mohd Yaakub
Aliah yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup selama 10
tahun.
“Keistimewaan rumah pusaka ini
apabila ia bercirikan rumah Melayu Perak menerusi identiti Bumbung Lima.
Kemasan berupa ukiran di sekeliling tingkap, pintu dan dinding selain kedudukan
tangga di sisi kiri anjung membuatkan ia tampak unik,” katanya.
Selain itu, ia pernah dikunjungi
orang penting seperti mantan Menteri Besar Perak, Tan Sri Mohd Tajol Rosli
Ghazali dan Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Kumpulan pelancong diterima Daim juga terdiri daripada pelbagai negara
antaranya Australia, Arab Saudi, India, Jepun, China, Indonesia dan Singapura.
Reputasi sebagai rumah pusaka,
semestinya ia tidak sepi dengan kehadiran barangan tinggalan pemilik asal
seperti katil besi berhias selain bantal tekat benang emas berusia 100 tahun.
“Saya turut memiliki koleksi senjata
warisan Melayu seperti keris, lembing, pedang, golok, parang panjang dan tombak
yang menjadi hiasan dinding rumah pusaka ini, selain menyimpan gong berusia 100
tahun serta radio keluaran 1960-an,” katanya.
Sumber-Artikel ini disiarkan pada
: Selasa, 26 Jun 2018 @ 2:48 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan