Sabtu, 21 Julai 2018

Bukan Iskandar Zulkarnain


Iskandariah, Mesir: Sebuah keranda batu misteri yang ditemui ditanam di bandar ini akhirnya dibuka kelmarin walaupun terdapat amaran mereka yang mengganggu kubur itu mungkin terkena sumpahan.

Ahli arkeologi menemui tiga rangka manusia dipercayai mempunyai hubungan kekeluargaan yang sudah reput dalam keranda batu setinggi dua meter dan tiga meter panjang.

Keranda itu juga dipenuhi dengan air kumbahan yang bocor dari bangunan berhampiran sekali gus mempercepatkan proses pereputan rangka berkenaan.

Penemuan itu sekali gus menghampakan harapan penduduk tempatan yang yakin bahawa keranda seberat 30 tan itu mungkin milik Raja Iskandar Zulkarnain.

Beberapa pekerja menemui keranda yang dianggarkan berusia 2,000 tahun itu di dalam tanah sedalam enam meter pada awal bulan ini di tapak pembinaan sebuah bangunan apartmen di daerah Sidi Gaber.
 
TULANG manusia yang bercampur dengan air kumbahan yang ditemui dalam keranda berkenaan. FOTO EPA
Keranda itu yang terberat pernah ditemui di bandar berkenaan sekali gus menimbulkan spekulasi ia mungkin milik Raja Iskandar yang membuka bandar berkenaan.

Setiausaha Majlis Agung Antikuiti Mesir, Mostafa Waziri menolak keranda itu adalah milik Raja Iskandar atau kerabat diraja lain kerana tiada sebarang harta atau lambang kebesaran.

“Kami menemui tulang tiga manusia yang kelihatan seperti pengebumian satu keluarga. Malangnya, mumia dalam keranda itu tidak berada dalam keadaan baik dan hanya tulang yang ditemui,” katanya kepada wartawan.

Rancangan untuk membuka keranda itu mencetuskan kerisauan dalam kalangan penduduk Mesir yang bimbang ia mungkin membebaskan sumpahan yang berusia ribuan tahun.

“Kami membukanya, syukur pada tuhan dunia tidak jatuh ke dalam kegelapan. Saya yang pertama memasukkan kepala ke dalam keranda itu dan saya kini berdiri di hadapan anda,” jelasnya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Julai 2018 @ 6:27 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan