ARKIB : 20/06/2000
Tongkang purba menjadi tumpuan
MOHD. NASIR (tengah) memegang
satu serpihan kayu yang ditemuinya dipercayai sebahagian daripda struktur
tongkang purba berusia 200 tahun di Parit 3, Sungai Manik, Teluk Intan semalam.
TELUK INTAN 19 Jun - Sebuah
tongkang purba yang dipercayai berusia lebih 200 tahun ditemui di sebuah
kawasan berpaya di Parit 3, Sungai Manik, dekat sini, baru-baru ini.
Tongkang berukuran kira-kira 12
meter panjang, 1.5 meter lebar dan 1.2 meter tinggi itu tertanam sedalam lebih
dua meter di tanah paya itu.
Ia dijumpai pada 2 Jun lalu
ketika kerja-kerja merata tanah dan mengorek parit menggunakan jentera kaut
dijalankan untuk tujuan penanaman kelapa sawit.
Turut dijumpai berdekatan
kawasan itu ialah satu serpihan mangkuk kaca dipercayai khazanah purba yang
mempunyai kaitan dengan penemuan tongkang itu.
Berikutan itu, kawasan tersebut
kini menjadi tumpuan umum, khususnya penduduk sekitar yang ingin melihat lebih
dekat tongkang berkenaan.
Wakil pemilik tanah berkenaan,
Mohd. Nasir Dahaman, 52, ketika ditemui berkata, beliau dan pemandu jentera
kaut yang bekerja di kawasan itu tidak menyangka serpihan kayu tersebut adalah
sebahagian daripada struktur tongkang purba.
Menurutnya, ia hanya disedari apabila
jentera berkenaan gagal menarik keluar sebahagian lagi struktur tongkang yang
tertanam di dalam tanah milik anak menantunya itu.
''Semasa jentera cuba menaikkan
kayu yang tertanam, kita nampak bahagian permukaan tanah memanjang kira-kira 12
meter bergerak seperti ada objek panjang di dalam tanah.
''Selepas itu baru kita nampak
bahagian kepala tongkang terjungkit keluar dan kemudian saya minta supaya
dihentikan kerja tersebut,'' katanya kepada Utusan hari ini.
Tinjauan di lokasi penemuan
mendapati, antara serpihan struktur yang dijumpai termasuklah sebahagian
dinding tepi dan bahagian penyangkut dayung.
Struktur tongkang didapati
langsung tidak menggunakan sebarang paku, sebaliknya memasang pasak sedalam
antara tujuh dan 10 sentimeter bagi menyambungkan setiap rangka binaan
dipercayai daripada kayu merbau.
Sumber arkeologis memberitahu,
berdasarkan fakta- fakta itu, tongkang itu dipercayai berusia lebih 200 tahun
kerana ia mungkin dibina pada era sebelum penggunaan paku iaitu kira-kira 150
tahun lalu.
Mohd. Nasir memberitahu,
penemuan itu telah dimaklumkan kepada pihak Jabatan Muzium dan Antikuiti di
Kuala Lumpur serta Jabatan Muzium Perak di Taiping untuk tujuan kajian.
Katanya, beberapa pegawai dari
kedua-dua jabatan itu melawat kawasan penemuan itu dan memaklumkan akan
menjalankan kajian arkeologi tidak lama lagi.
''Saya telah diminta supaya
tidak meneruskan kerja menggali di kawasan penemuan struktur kayu yang
dipercayai tongkang purba itu.
''Malah seorang pegawai telah
mengambil serpihan mangkuk yang saya temui untuk tujuan kajian,'' jelasnya.
Mohd. Nasir juga meminta orang
ramai yang membawa pulang serpihan kayu dari kawasan penemuan itu supaya
memulangkannya semula bagi membolehkan kajian sejarah dijalankan oleh pihak
berkuasa.
''Saya tidak boleh halang
mereka ambil kerana saya tidak ada kuasa manakala saban masa orang datang
seperti pesta di kawasan penemuan tongkang purba itu,'' ujarnya.
Sementara itu pihak Jabatan
Muzium Perak ketika dihubungi memberitahu, kerja-kerja menyelamat dan mengkaji
penemuan itu akan dijalankan oleh pihak Jabatan Muzium dan Antikuiti, Kuala
Lumpur.
Menurut jurucakapnya,
sekumpulan pengkaji sejarah diketuai oleh Kurator Arkeologi Jabatan Muzium dan
Antikuiti, Zulkifli Jaafar akan mengadakan kajian mengikut Akta Benda Purba
1976 di kawasan itu dalam tempoh terdekat ini.
Oleh: RAMLI ABDUL KARIM
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0620&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_01.htm#ixzz4WvFa1twe
© Utusan Melayu (M) Bhd