Isnin, 29 Ogos 2016

Lelaki Indonesia didakwa manusia tertua di dunia

27 Ogos 2016 11:24 PM

DOKUMEN kelahiran Mbah Gotho yang disahkan oleh pegawai Indonesia baru-baru ini. AGENSI

JAKARTA 27 Ogos – “Apa yang saya mahu adalah mati. Semua cucu saya sudah boleh berdikari.”
Demikian kenyataan seorang lelaki yang didakwa manusia tertua di dunia susulan pendedahan dokumen kelahirannya oleh pegawai Indonesia baru-baru ini.
Menurut laporan mirror.co.uk, lelaki tersebut, Mbah Gotho yang ber­asal dari Sragen, Jawa Te­ngah dikatakan berusia 145 tahun setelah satu do­kumen mengesahkan dia dilahirkan pada 31 Disember 1870.
Salah seorang cucunya, Sur­yanto berkata, datuknya telah menyiapkan diri untuk mati sejak usianya mencecah 122 tahun.
“Batu nisan telah dibuat pada 1992 dan itu adalah 24 tahun lalu. Kami juga telah menyediakan tempat perkuburan berdekatan kubur anak-anaknya,” katanya.
Kesemua 10 adik-beradik Mbah Gotho telah meninggal dunia termasuk empat orang isteri dan anak-anaknya.
Jika tarikh kelahirannya itu adalah benar seperti didakwa, Mbah Gotho akan diiktiraf sebagai manusia tertua yang kini rekodnya dipegang oleh seorang wanita Perancis, Jeanne Calment yang berusia 122 tahun.

- SUMBER: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/lelaki-indonesia-didakwa-manusia-tertua-di-dunia-1.375524#sthash.98slDGmw.dpuf

DUKE OF GLOUCESTER, WAKIL BAGINDA QUEEN TIBA UNTUK UPACARA KEMERDEKAAN

Pada hari ini 29.8.1957, "Duke dan Duchess of Cloucester " serta anaknya Prince William telah tiba di Kuala Lumpur. "Duke of Gloucester" adalah wakil kepada baginda Queen untuk hadir di upacara Hari Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957. Ketibaan rombongan Diraja Britain itu di Lapangan Terbang Kuala Lumpur telah disambut dengan meriah oleh para pegawai Inggeris dan kaum kerabat Diraja Melayu. Rombongan Diraja Britain tersebut telah diperkenalkan kepada Raja-Raja Melayu oleh Sir Donalad Mac Gillivary, iaitu Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu. Rombongan Duke of Gloucester kemudiannya juga diperkenalkan kepada Tunku Abdul Rahman yang merupakan bakal Perdana Menteri bagi Persekutuan Tanah Melayu yang akan mencapai kemerdekaannya. Ketibaan wakil baginda Queen, Duke of Gloucester pada hari ini dalam tahun 1957 adalah satu kenangan manis kepada rakyat Tanah Melayu yang akan mencapai kemerdekaannya dan sebaliknya kenangan pahit bagi Britain yang terpaksa merelakan Tanah Melayu merdeka dan bebas dari pengaruhnya.

SUMBER- http://www2.arkib.gov.my/

Ahad, 28 Ogos 2016

SEJAUH MANAKAH IDEA YANG DISUMBANGKAN OLEH ADAM SMITH TELAH MEMBERI KESAN YANG BESAR KEPADA EKONOMI PADA ABAD KE-18 HINGGA KE 19.


PENGENALAN
Adam Smith merupakan seorang pakar ekonomi dan ahli falsafah dari Scotland. Beliau terkenal kerana pengaruh bukunya The Wealth of Nation dan dianggap sebagai Bapa Ekonomi moden. Dilahirkan di Kirkcaldy, Fife, Scotland. Beliau mendapat pendidikan di Burgh School of Kirkcaldy dan seterusnya  di Universiti Glasgow dan mempelajari bidang falsafah moral seterusnya  pada tahun 1740 memasuki Kolej Balliol, Universersiti of Glasgow. Beliau memegang jawatan sebagai Reaktor Universiti Glasgow dari tahun 1787 hingga 1789. Beliau meninggal dunia pada 17 Julai 1790. Adam Smith merupakan seorang tokoh terkenal dalam zaman pencerahan terutamanya dalam bidang ekonomi moden apabila beliau mengasaskan displin ekonomi moden, polisi merkantalisme, monopoli negara, memperkenakan kerajaan berasaskan pasaran bebas dan menekankan kepentingan buruh/pengkhususan pekerjaan.

Sumbangan Adam Smith kepada pemikiran ekonomi di Eropah.
Beliau berpendapat tiada siapa yang menjalankan perdagangan jika mereka menjangkakan akan mengalami kerugian. Faedah perdagangan perlu dinikmati oleh kedua-dua pihak. Kekayaan sesebuah negara bukan dalam kuantiti emas dan perak dalam bilik kebal, tetapi bergantung kepada jumlah pengeluaran dan perdagangan. Adam Smith mempunyai pemahaman dan pandangan yang radikal tentang bagaimana masyarakat manusia bekerja. Beliau menyedari bahawa keharmonian sosial akan muncul secara semula jadi apabila manusia berusaha mencari jalan untuk tinggal dan bekerja bersama.

Adam Smith menerbitkan buku yang bertajuk The Theory of Moral Sentiments atau Teori Sentimen Moral. Antara yang dibincangkan dalam karyanya tentang kesedaran terhasil daripada perhubungan sosial. Beliau mengemukakan Teori Simpati yang menerangkan bagaimana pemerhatian terhadap orang lain yang menyebabkan seseorang menyedari tentang diri dan kelakuan sendiri.

 Adam Smith menulis buku Wealth of Nations yang mempengaruhi ahli-ahli politik pada zamannya dan menjadi asas intelektual pada zaman kegemilangan abad ke 19. Buku ini juga telah membuka dimensi baru dalam displin ekonomi moden.  Memperkenalkan  teori ekonomi  yang sistematik  yang menentang teori lama ekonomi perdagangan yang menekankan perlunya negara memiliki jongkong emas. Beliau juga menolak pandangan golongan physiokrat  yang menyatakan tanah adalah sumber utama. Beliau juga berpendapat  bahawa pasaran bebas bergerak menurut mekanisme secara automatik, di mana pengeluar akan mengeluarkan barangan yang diperlukan oleh masyarakat dan permintaan terhadap  barang tersebut akan meningkat. Beliau juga menyatakan bahawa campur tangan pemerintah akan menjejaskan kecekapan ekonomi dan akhirnya akan menaikkan harga. Konsep ini kemudiannya dikenali dengan istilah laissez faire. Doktrin laissez faire dikembangkan oleh Adam Smith di England dengan menubuhkan institusi yang dikenali sebagai School of Political Economy.

Adam Smith menekankan pentingnya meritokrasi. Meritokrasi mendorong masyarakat agar selalu memperbaiki dirinya sendiri dan mewujudkan pengkhususan dan kecekapan dalam ekonomi. Beliau percaya bahawa pembahagian kerja adalah titik permulaan dari teori pertumbuhan ekonomi.  Dengan adanya pembahagian kerja, maka  berlaku peningkatan produktiviti tenaga kerja, yang akhirnya meningkatkan keterampilan pekerja, menjimatkan waktu dalam pengeluaran barang dan penemuanyang menjimatkan tenaga kerja.

Adam Smith menekankan bahawa proses  pengumpulan modal harus dilakukan lebih dahulu daripada pembahagian kerja.  Pengumpulan modal merupakan syarat utama terjadinya  proses pembangunan ekonomi. Modal diperolehi daripada tuan tanah atau bangsawan. Para pengusaha atau kapitalis akan mengembangkan modal daripada tuan tanah atau bangsawan. Modal akan digunakan untuk perdagangan.

Adam Smith menyatakan prose pertumbuhan ekonomi bersifat kumulatif. Ini bermakna apabila wujud kemakmuran kesan dari kemajuan dalam bidang pertanian, industri pengeluaran dan perniagaan  akan menarik pelaburan modal, kemajuan teknologi, meningkatkan jumlah penduduk, perluasan pasaran, pembahagian kerja dan peningkatan keuntungan secara berterusan. Idea beliau menjadi reality apabila lebihan barangan kapas di Mancester  dipasarkan ke India menjelang awal abad ke 19.

Kesimpulan
Adam Smith percaya bahawa kerajaan cuma mempunyai tiga fungsi utama iaitu melindungi rakyat daripada penaklukan tentera, melindungi warganegara daripada ketidakadilan dan menyediakan kemudahan seperti jalanraya dan sebagainya yang tidak boleh disediakan oleh individu.  Jelas Adam Smith telah memberi sumbangan yang besar terhadap perkembangan sistem ekonomi moden hingga ke hari ini apabila idea-iea ekonomi baru yang diperkenalkan telah memberi kesan besar terhadap perkembangan ekonomi moden.
SUMBER-SKEMA PP P1 PAHANG

1.Analisiskan faktor-faktor yang menyebabkan tercetusnya peristiwa Dahagi di India pada tahun 1857. [20m]

Dahagi India mrupakan pemberotakan yang dilancarkan oleh sepoi-sepoi untuk menentang pemerintahan Britis. Orang India menganggap Dahagi India sebagai perjuangan membebaskan negara daripada pemerintahan British. Selain Sepoi, golongan putera raja, nawab serta pembesar yang kehilangan gelaran, tamah dan kuasa turut menyertai pemberontakan tersebut. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan tercetusnya Dahagi India pada tahun 1857..

FAKTOR-FAKTOR DAHAGI 1857
1.Penhapusan amalan sutee
2.Penghapusan amalan Thugee
3.Penghapusan amalan membunuh bayi perempuan.
4.Pengenalan akta kahwin semula
5.Pengenalan sistem pendidikan Barat.
6.Pengenalan teknologi Barat.
7.Dasar pengilhakan.
8.Perasaan dendam sepoi India.
9.Pengenalan peraturan baru.
10Akta pengambilan khidmat awam.
11.Kes senapang riffle royal enfield.   


Kesimpulannya, terdapat beberapa faktor yang mencetuskan Dahagi India pada tahun 1857. Faktor pencetus peritiwa Dahagi ialah kes senapang Riffle Royal Enfield. Walaupun pada peringkat awal golongan sepoi mencapai kejayaan, namun menjelang tahun 1958, British berjaya mengawar Dahagi India daripada tersbar ke seluruh India. Selepas berjaya menumpaskan Dahagi, kerajaan British telah melakukan rombakan besar-besaran dalam sistem pentadbiran di India. 

PENGUMUMAN JEMAAH KABINET YANG PERTAMA SELEPAS MERDEKA

Pada  hari  ini  dalam  tahun 1957, Tunku  Abdul  Rahman  Putra,  Ketua  Menteri Persekutuan Tanah Melayu dalam  satu  persidangan  akhbar di Kuala Lumpur telah mengumumkan  mengenai  anggota jemaah yang  akan  menduduki  Kabinet  selepas  Persekutuan  Tanah  Melayu  mencapai  kemerdekaan  pada  31  Ogos  1957.  Ia  melibatkan  perubahan ke atas   kesemua  ahli-ahli   kabinet yang sedia  ada.  Antara  yang  menganggotai  Kabinet  baru  yang  dicadangkan  oleh  Tunku ini  ialah Dato' Abdul Razak bin Hussein (Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan); Kolenel Sir Henry Han Shik Lee (Menteri Kewangan);  Encik Sulaiman b. Dato'  Abdul Rahman  (Menteri Dalam Negeri dan Keadilan);  Encik Tan Siew Sin (Menteri Perniagaan dan Perusahaan);  Encik V.T. Sambanthan  (Menteri Kesihatan);  Encik  Mohamad  Khir  Johari  (Menteri Pelajaran);  Encik  Ong Yoke Lin (Menteri Buruh dan Kebajikan Masyarakat);  Encik Abdul Rahman b. Hj. Taib (Menteri Pengangkutan);  Encik Bahaman Samsudin (Menteri Hasil-hasil Bumi);  Encik Abdul Aziz Ishak (Menteri Pertanian);  Encik Sardon Hj. Jubir (Menteri Kerja, Pos dan Talikom); dan  Dr. Ismail b. Dato' Abdul Rahman. Menteri Mutlak (Tidak Berjawatan) dan Wakil ke Bangsa-bangsa Bersatu serta Duta ke Washington.

SUMBER- http://www2.arkib.gov.my/

PEMBERONTAKAN BOXER 1899

OLEH- AHMAD BIN  YAAKOB
FAKTOR-FAKTOR PEMBERONTAKAN BOXER
Menjelang tahun 1899 tercetus pemberontakan yang dikenali sebagai Pemberontakan Boxer di China. Pemberontakan ini bertujuan menghalau orang asing dari China dan membunuh orang Cina yang beragama Kristian.Pemberontakan Boxer merupakan reaksi orang Cina terhadap kerajaan China. Malah anggota Gerakan Boxer menganggap orang asing bertanggung jawan terhadap keruntuhan kerajaan Manchu.[1]
Faktor  Pemberontakan Boxer.
1.Sentmen anti asing
2.Faktor agama
3.Kedatangan Barat dan barangan asing.
4.Masalah kewangan yang kritikal.
5.Bencana alam.
6.Sokongan istana.

1.Sentmen anti asing
Sentimen anti orang asing dalam kalangan rakyat dan istana merupakan faktor pencetus Pemberontakan Boxer. Sentimen antiorang asing meningkat ekoran tindakan kuasa-kuasa Barat berlumba-lumba untuk mendapatkan konsesi  di China. Tindakan orang-orang Barat merebut konsesi telah menjatuhkan maruah orang Cina dan mencemarkan kedaulatan China.

      Semangat anti orang asing juga menebal di kalangan sarjana dan pembesar Cina.  Tokoh-tokoh istana seperti Maharani Dowager , Putera Chuang  dan Kang-I mengamalkan sikap anti orang asing terhadap kuasa-kuasa Barat dan orang Jepun di China. Maharani Dowager bertindak menamatkan Hak Wilayah Asingan yang diberikan kepada kuasa-kuasa asing di China. Semangat anti orang asing menyebabkan rakyat China dan pihak istana berganding tenaga untuk mengusir orang asing di China.[2] 
2.Faktor agama/sentimen antiKristian
Tindakan golongan mubaligh menyebarkan agama Kristian kepada masyarakat Cina juga merupakan faktor tercetus pemberontakan Boxer. Perjanjian Whampoa dan Konvensyen Peking membenarkan golongan mubaligh Kristian menjalankan aktiviti keagamaan di pelabuhan-pelabuhan pedalaman. Penyebaran agama Kristian mencemaskan golongan konsevatif yang menganggap ajaran Kristian amat bertentangan dengan ajaran Conficius, Bddhisme atau Taoisme yang diamalkan sejak turun-temurun.Mubalikh Kristian juga campur tangan dalam kes-kes mahkamah yang melibatkan orang Cina bukan beragama Kristian. Campur tangan dalam hal-ehwal tempatan ini telah menimbulkan kemarahan orang Cina.[3]

      Sikap keterlaluan Orang Cina beragama Kristian telah menimbulkan permusuhan dengan orang Cina yang bukan Kristian. Hubungan orang Cina yang memeluk agama Kristian renggang kerana mereka tidak menghormati adat resam yang diwarisi sejak turun-temurun, meninggalkan kepercayaan agama dan kepercayaan asal mereka, enggan menyertai upacara keagamaan  dan enggan membiayai perayaan keagamaan.Orang Cina Kristian dibenci kerana bersikap sombong dan menanggap diri mereka lebih tinggi daripada masyarakat Cina yang lain. Mereka dianggap sebagai pengkhianat bangsa kerana mereka diperalat oleh orang asing.

3.Kedatangan Barat dan barangan asing.
      Penguasaan ekonomi oleh kuasa-kuasa asing juga merupakan faktor tercetusnya Pemberontakan Boxer. Kemasukan barang asing telah menyebabkan perusahaan tempatan tekstil dan pertukangan tangan mula merosot. Pasaran tempatan mula dikuasai oleh orang asing kerana barang-barang buatan Barat lebih murah dan bermutu tinggi berbanding dengan barangan tempatan. 

      Kemasukan pelabur-pelabur asing telah menyebabkan pengusaha tempatan hilang sumber pendapatan. Tambahan pula bilangan penduduk tempatan yangmenganggur turut meningkat. Peguasaan ekonomi oleh kuasa-kuasa asing telah menimbulkan perasaan benci rakyat tempatan terhadap orang asing.[4]
4.Masalah kewangan yang kritikal.
      Kerajaan China juga menghadapi nasalah kewangan dan ekonomi yang serius. Masalah kewangan timbul kerana kerajaan terpaksa membelanjakan wang bagi membayar ganti rugi perang kepada kuasa-kuasa Barat. Bagi menghadapi masalah ini, kerajaan China terpaksa memperkenalkan cukai-cukai baru. Di samping itu kerajaan juga bertindak menambah cukai yang telah membebankan rakyat. Perkembangan ini menyebabkan golongan petani dan penganggur menyertai pemberontakan bagi menghalau orang asing dari megara China.  

5.Masalah sosial.
     Kejadian bencana alam seperti banjir dan kemarau yang melanda China  menyebabkan rakyat terpaksa menanggung pelbagai jenis penderitaan. Pada tahun 1898 berlaku banjir di sekitar Sungai Yangtze  dan Sungai Hwang Ho. Pada tahun 1900 kemarau melanda bahagian Utara  China termasuk Peking. Bencana alam ini telah menyebabkan berlaku kebuluran dan kemusnahan harta-benda. Masyarakat China menyalahkan orang asing sebagai punca kepada bencana alam yang melanda negara mereka. Mereka berpendapat projek-projek pembangunan seperti pembinaan landasan keratapi, pemasangan kabel telegraf dan kilang telah menggangu keharmonian alam serta menyinggung perasaan dewa-dewi mereka.
      Selain dari itu penyebaran agama Kristian telah menganggu roh nenek-moyang dan roh pendeta. Masyarakat China berpendapat bencana alam yang melanda negara mereka merupakan daripada dewa-dewi. Oleh yang demikian, orang asing yang menjadi punca kepada segala penederitaan harus diusir keluar dari China.

6.Sokongan istana
      Sokongan kerajaan Manchu merupakan faktor yang mencetusan pemberontakan ini.Pada 20 Jun 1900, kerajaan Manchu secara rasmi telah memberikan sokongan kepada pemberontak untuk mengusir keluar orang Barat dari China. Maharani Dowager Tzu Hsi telah mengarahkan pemimpin tentera dan pegawaipegawai istana untuk memberikan bantuan senjata kepada pemberontak. Sokongan daripada pihak istana menggalakkan ahli-ahli Boxer  menyerang orang asing dan orang Cina yang beragama Kristian.[5]

Kesimpulannya Pemberontakan Boxer yang bermula dengan pembunuhan dua orang mubaligh Kristian Jerman di wilayah Shantung pada tahun 1897 berakhir pada tahun 1901. Pemberontakan Boxer tamat apabila pada 14 Julai 1900 Pasukan Tentera Bersekutu di bawah pimpinan Seymour  menguasai Peking setelah bertempur selama 100 hari. Pemberontakan Boxer diselesaikan secara rasmi menerusi perjanjian yang dikenali sebagai Protokol Boxer pada 7 September 1901.




[1] Sivachandralingam Sundara Raja dan Ayadurai Letchumanan, Sejarah Dunia 1500-1955 (Shah Alam: Oxford Fajar 2015),291.  
[2] Ibid,292
[3] Sivachandralingam Sundara Raja dan Ayadurai Letchumanan, Sejarah Dunia 1500-1955 (Shah Alam: Oxford Fajar 2013),289.  
[4]Sivachandralingam Sundara Raja dan Ayadurai Letchumanan, Sejarah Dunia 1500-1955 (Shah Alam: Oxford Fajar 2015),293.    
[5] Ibid,295.

Lukut simpan peristiwa berdarah

MOHAMAD ATHIR ISMAIL  |  27 Ogos 2016 5:50 PM
TAPAK di atas bukit Gajah Mati ini dikatakan terletaknya Kota Lukut dan istana pemerintah Lukut yang hilang.

APABILA bercerita tentang sejarah kemasyhuran Kesultanan Selangor, pasti sebahagian besar daripada kisah tersebut menyentuh kehebatan Lukut suatu ketika dahulu.
Menyingkap sejarah awal Lukut yang bermula awal kurun ke-19, daerah tersebut dibuka oleh kerabat diraja Selangor, Raja Busu.
Sebelum diletakkan di bawah daerah Port Dickson selepas nama Sungei Ujong ditukar kepada Negeri Sembilan, Lukut dibuka kerana potensi hasil buminya yang menjadi tumpuan ramai pelombong bijih timah.
Dalam catatan jurnal Sejarah Lukut tulisan Zulkapli Othman dan Mohd Khalid Yasin, Lukut dahulu merupakan sebahagian daripada wilayah Selangor.
Sewaktu pemerintahan Raja Busu, Lukut telah menyaksikan sebuah peristiwa yang tidak boleh dilupakan apabila istananya dibakar akibat rasa tidak puas hati terhadap pentadbirannya.
Menurut Ketua Kampung Lukut, Mohamad Shukor, Kota Lukut adalah tempat pentadbiran berbeza dengan Lukut, namun kedua-duanya terletak dalam wilayah sama.
“Wilayah yang sama tetapi sejarahnya berbeza. Lukut dibuka oleh Raja Busu, manakala Kota Lukut pula diasaskan Raja Jumaat Raja Jaafar.
“Sebagai pembuka wilayah Lukut, Raja Busu telah membawa masuk ramai pelombong Cina. Tetapi, beliau telah membuat pelombong Cina marah kerana menaikkan cukai.
“Mungkin kerana kerancakan industri perlombongan, beliau terdorong untuk menaikkan cukai sebanyak 10 peratus. Namun keputusan tersebut telah menyebabkan kemarahan mereka,” katanya kepada S2.
Selepas itu, tambah beliau, keadaan menjadi lebih buruk apabila kemarahan pelombong membuak-buak sehingga sanggup membuat kacau dan membakar istana Raja Busu.
“Kisah ini boleh dikatakan seperti rusuhan kaum. Lebih kurang 300 hingga 400 pelombong berarak ke istana Raja Busu, namun beliau tidak mahu berjumpa dengan mereka malah menyatakan tidak takut mati.
“Berang dengan tindakan Raja Busu, mereka telah membakar istananya. Dalam peristiwa itu, Raja Busu bersama keluarga telah dibunuh. Makam Raja Busu dan keluarganya ada dekat Kampung Kuala Lukut di Chuah, Negeri Sembilan.
“Pengikut setia yang berang selepas mendengar peristiwa tersebut telah bertindak membalas dendam terhadap pelombong sehingga mereka melarikan diri ke Melaka,” ujarnya.
Beberapa tahun selepas peristwa tersebut, Raja Jumaat yang juga menantu kepada Sultan Selangor ketiga iaitu Sultan Muhammad telah membuka Kota Lukut dan mengembalikan kegemilangan ekonomi serta politik di sana.


Sumber-http://www.utusan.com.my/rencana/lukut-simpan-peristiwa-berdarah-1.375178#sthash.ZOANMIiN.dpuf