Ahad, 9 Mei 2021

Penemuan laluan hijrah Nabi Muhammad SAW ke Madinah

Mei 10, 2021 @ 10:39am



Gambar hiasan

JEDDAH: Selepas lebih 1,400 tahun penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Madinah, pengkaji sejarah dan aktivis alam sekitar Arab Saudi berjaya menelusuri semula perjalanan bersejarah itu.

Selama lapan hari pasukan terbabit mengembara dengan berjalan kaki dan menggunakan unta menerusi gunung serta padang pasir, mengikuti jejak perjalanan Baginda ketika melepaskan diri dari puak Quraisy.

Pasukan itu terdiri daripada pakar sejarah, Abdulhafaiz Al-Graiqri; arkitek dan perancang bandar, Amro Darwish; pengkaji, Dr Samir Barqah dan aktivis alam sekitar, Hassan Abdulshakoor.

Perjalanan mereka bermula di gua Thur, Gunung Thur di Makkah yang mana Nabi Muhammad SAW dan sahabat, Saidina Abu Bakar bersembunyi dari musuh.

Perjalanan sejauh 500 kilometer itu turut membabitkan ekspedisi lapangan serta bermalam dalam keadaan sukar dan berbahaya, lapor agensi berita Arab News.

Al-Graiqri berkata, usaha mendokumentasi penghijrahan Nabi Muhammad adalah hasil penyelidikan selama beberapa tahun, didorong keinginan untuk menentukan dengan lebih tepat laluan digunakan ketika hijrah itu berlaku.

"Dalam penyelidikan ini, kami melakukan puluhan ekspedisi lapangan, mengumpul data, merekodkan maklumat koordinat Sistem Pengesanan Global (GPS) dan Sistem Maklumat Geografi (GIS) serta jarak perjalanan," katanya.

Sementara itu, Darwish berkata, kumpulan terbabit melakukan pelbagai pemeriksaan silang hasil maklumat daripada penyelidikan yang dilakukan selain memperoleh maklumat daripada puak yang tinggal di lembah berkenaan.

Katanya, menerusi maklumat yang diperoleh itu, mereka berupaya menentukan kemungkinan laluan yang digunakan Nabi Muhammad SAW apabila diperintah oleh Allah untuk berhijrah ke Madinah.

"Kami tidak dapat menggambarkan perasaan apabila berjaya menamatkan pengembaraan ini dan kami yakin laluan ini kemungkinan besar digunakan Nabi Muhammad SAW ketika berhijrah dari Makkah ke Madinah.

"Kami mengambil masa hampir dua tahun merancang dan melaksanakan kajian. Ini adalah saat yang amat istimewa," katanya. - AGENSI.1

Tiada ulasan:

Catat Ulasan