Jumaat, 14 Mei 2021

Penyelidik Mexico temui spesies dinosaur 'bercakap'

AFP



RANGKA apatosaurus atau dikenali juga brontosaurus daripada era Jurassic dipamerkan di Fundidora Park, Monterrey, Mexico pada 15 November 2014. FOTO AFP.

Mexico City: Ahli paleontologi mengenal pasti spesies dinosaur baharu hasil penemuan spesimen berusia 73 juta tahun lalu di utara Mexico, menurut Institut Sejarah dan Antropologi Kebangsaan (INAH) negara itu pada Khamis.

Saintis memaklumkan, keadaan di mana haiwan itu ditemui menjelaskan tahap pemeliharaannya.

"Kira-kira 72 atau 73 juta tahun lalu, dinosaur herbivor yang besar mati dengan badannya mendap dengan air dan penuh sedimen, yang memudahkan badan haiwan itu mudah ditutupi dan terpelihara selama berabad," menurut kenyataan institut itu.

Dinosaur terbabit digelar Tlatolophus galorum, dengan ekornya yang pertama ditemui di General Cepeda, Coahuila pada 2013.

INAH berkata, usaha penggalian diteruskan dengan saintis akhirnya menemui 80 peratus tengkorak haiwan itu, balung dan tulang sepanjang 1.32 meter seperti paha dan bahu, yang membuatkan mereka sedar sedang mengkaji spesies dinosaur baharu.

"Kami tahu ia mempunyai telinga dengan kapasiti pendengaran bunyi frekuensi rendah, jadi ia mungkin jenis dinosaur yang tenang tetapi banyak mengeluarkan bunyi," kata kenyataan itu.

Ahli pateontologi juga percaya dinosaur itu "mengeluarkan suara kuat untuk menakutkan pemangsa atau bagi tujuan pembiakan."

Penemuan itu masih dalam kajian lanjut tetapi kajian mengenai reptilia kuno itu sudah disiarkan dalam jurnal saintifik, Cretaceous Research.

"Ini adalah kes luar biasa bagi paleontologi Mexico," kata kenyataan itu.

Nama Tlatolophus berasal daripada bahasa asli Nahuatl iaitu tlahtolli yang bermaksud kata atau kenyataan, dan perkataan Yunani, lophus yang bermaksud balung.

Balung haiwan itu menurut INAH kelihatan seperti simbol yang digunakan orang Mesoamerican dalam manuskrip purba yang menggambarkan komunikasi dan pengetahuan.

Disiarkan pada: Mei 14, 2021 @ 3:20pm.1

1https://www.hmetro.com.my/global/amerika-utara/2021/05/705870/penyelidik-mexico-temui-spesies-dinosaur-bercakap

Tiada ulasan:

Catat Ulasan