Mei 6, 2021 @ 4:11pm
Antara imej Makam Nabi Ibrahim yang diedarkan Presidensi Hal Ehwal Dua Masjid Suci. - Foto AGENSI
MAKKAH: Arab Saudi mengedarkan imej Makam Nabi Ibrahim yang tidak pernah didedahkan kepada umum sebelum ini, sehari selepas mengeluarkan imej batu Hajarul Aswad.
Presidensi Hal Ehwal Dua Masjid Suci, yang dipetik Saudi Gazette, menjelaskan gambar beresolusi tinggi makam di Masjidil Haram itu diambil menggunakan teknik baharu 'stacked panoramic focus', sama seperti gambar Hajarul Aswad.
Makam berkenaan turut merangkumi batu yang mengabadikan bekas tapak kaki Nabi Ibrahim ketika berdiri untuk membina Kaabah apabila temboknya semakin tinggi.
Batu berkenaan dilitupi emas, perak dan diletakkan dalam bingkai bercermin bagi memelihara jejak kaki Nabi Ibrahim.
Dalam siri ciapan yang dimuat naik di akaun Twitter, Presidensi Hal Ehwal Dua Masjid Suci turut menyertakan beberapa keping gambar yang menampilkan sisi tempat suci itu, yang tidak pernah dilihat sebelum ini.
Menurut penjelasan pada gambar, Makam Naib Ibrahim itu adalah sebutir delima dari syurga, yang terletak di depan pintu Kaabah, iaitu antara 10 hingga 11 meter di timur Kaabah, menuju ke Safa dan Marwah.
Presiden menjelaskan bahawa tempat suci itu ialah batu arkeologi segi empat itu berukuran 40 sentimeter (sm) panjang, 20 sm tinggi dan 20 sm lebar, di mana Naib Ibrahim berdiri ketika pembinaan dinding Kaabah semakin tinggi.
Warna batu itu ialah kekuningan dan putih kemerahan, dengan bekas tapak kaki berukuran 27 sm panjang dan 14 sm lebar terletak di tengah batu berkenaan.
Berdasarkan kepercayaan Islam, Allah menurunkan Batu Hitam dan batu makam itu dari syurga kepada Naib Ibrahim serta Ismail, selepas mereka diarahkan untuk mengangkat tapak Kaabah.
Batu ditanda kesan dua bekas tapak kaki dan menurut sejarah, ia kekal berada di sisi Kaabah sebagai antara mercu tanda utama Makkah.
Apabila Nabi Muhammad menawan kota Makkah, baginda dan teman-temannya mengambil keputusan untuk mengalihkan batu itu dari lokasi asal berdekatan Kaabah ke lokasi sekarang, sejauh lebih 10 meter.
Ia dilakukan bagi memudahkan urusan melakukan tawaf dan memberi ruang kepada orang ramai untuk solat di belakang batu suci itu, seperti terkandung dalam al-Quran.
Berdasarkan sejarawan, pemimpin pertama yang menutup batu suci itu ialah Khalifah Abbasiyah, Al-Mahdi dan Khalifah Al-Mutawakkil pula menutupnya dengan emas serta perak bagi mengangkat martabatnya.
Pada era Arab Saudi, khususnya pemerintahan Raja Faisal, kerja memperluaskan kawasan itu dilakukan dan beberapa struktur dikeluarkan bagi melancarkan urusan ibadat tawaf.
Di sekeliling batu Makam Nabi Ibrahim itu dikemaskan dengan saduran emas dan ikatan bingkai perak serta dan dilindungi tirai besi. SUMBER- AGENS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan