Sabtu, 22 Mei 2021

Prihatin derita Gaza

Datuk Mohd Ajib Ismail



RAKYAT Palestin tetap mengibarkan bendera negara itu meskipun sedang bertempur dengan tentera Israel yang mencurangi perjanjian gencatan senjata. FOTO AFP

RAKYAT Palestin tetap mengibarkan bendera negara itu meskipun sedang bertempur dengan tentera Israel yang mencurangi perjanjian gencatan senjata. FOTO AFP

Antara kewajiban di dalam kehidupan bermasyarakat bagi seorang Muslim adalah menunaikan hak ke atas Muslim yang lain. Sabda Rasulullah SAW di dalam sebuah hadis yang bemaksud: "Rasulullah SAW memerintahkan kami untuk melakukan tujuh perkara dan melarang kami daripada tujuh perkara. Baginda memerintahkan untuk menziarahi orang sakit, mengiringi jenazah, mendoakan kebaikan untuk orang yang bersin, memenuhi jemputan, menyebarkan salam, membantu orang yang dizalimi dan membantu dan berbuat baik pada orang yang bersumpah (supaya tidak dianggap melanggar sumpah). Baginda juga melarang kami daripada memakai cincin emas, minum daripada bekas perak, menaiki tunggangan yang dihiasi sutera, melarang daripada memakai Al-Qassi (sejenis sutera) dan melarang daripada memakai kesemua jenis sutera." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Justeru, setiap Muslim wajar menzahirkan keprihatinan dan kecaknaan terhadap sebarang isu dan permasalahan yang dihadapi oleh ummah pada setiap masa. Seorang Muslim mempunyai tanggungjawab terhadap orang di sekelilingnya yang berada dalam kesusahan dan memerlukan sama ada dalam kalangan ahli keluarga sendiri, saudara-mara, jiran tetangga dan masyarakat. Di dalam al-Quran surah al-Nisa' ayat 36 Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh dan rakan sejawat dan orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri."


Baru-baru ini ketika umat Islam di ambang ketibaan Aidilfitri, kita dikejutkan lagi dengan berita serangan tentera Israel terhadap rakyat Palestin yang telah berlarutan hingga ke hari ini. Islam menuntut agar kita menzahirkan keprihatinan terhadap situasi rakyat Palestin yang berjuang mempertahankan tanah air mereka daripada pencerobohan dan kezaliman. Allah SWT berfirman di dalam surah an-Nisa' ayat 74 yang bermaksud: "Oleh itu, orang-orang (yang beriman) yang mengutamakan kebahagiaan akhirat daripada (kesenangan) kehidupan dunia, hendaklah mereka berperang pada jalan Allah (untuk membela Islam). Dan sesiapa yang berperang pada jalan Allah lalu ia mati (gugur syahid) atau beroleh kemenangan, maka Kami akan memberi kepadanya pahala yang besar."


Terdapat pelbagai cara bagi umat Islam menzahirkan kecaknaan terhadap isu tersebut termasuk melalui amalan solat hajat, bermunajat dan berdoa, serta menghulurkan sumbangan kepada rakyat Palestin melalui saluran yang sah. Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah menganjurkan solat Hajat dan doa selamat di masjid dan surau seluruh Wilayah-Wilayah Persekutuan susulan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang turut berdukacita terhadap tindakan serangan yang tidak berperikemanusiaan itu. Selain itu, Jawi juga telah melancarkan inisiatif kutipan sumbangan untuk rakyat Palestin sebagai lambang solidariti umat Islam.


Doa dan munajat adalah kekuatan paling ampuh serta ibadah yang dituntut dan ditunjukkan oleh nabi Muhammad SAW ketika menghadapi ujian getir dan musibah dalam kehidupan. Oleh itu janganlah kita berputus asa untuk berdoa dengan penuh pengharapan dan keyakinan agar dimakbulkan oleh Allah SWT. Antara doa yang dianjurkan adalah bacaan qunut nazilah yang pernah dibaca oleh Saidina Umar RA ketika memerangi orang nasrani yang bermaksud: "Ya Allah azabkanlah orang kafir daripada ahli kitab yang menghalang jalan-Mu dan tidak membenarkan Rasul-rasul-Mu dan membunuh para auliya-Mu, Ya Allah ampunkanlah orang-orang Mukmin, dan orang-orang Islam, dan perelokkan serta satukan kesatuan mereka dan letakkanlah di hati mereka iman dan hikmah, dan kekalkan mereka di atas agama rasul-Mu, dan ilhamkan mereka untuk setia dengan janji-Mu yang telah engkau janjikan dan bantulah mereka dalam menghadapi musuh-Mu dan musuh mereka, Wahai Tuhan yang benar, jadikanlah kami golongan yang engkau bantu."


Keprihatinan kita juga dituntut bagi menjaga keselamatan diri, keluarga dan masyarakat susulan peningkatan kes Covid-19 di dalam negara. Jumlah kematian akibat wabak tersebut turut meningkat sehingga mencecah lebih 2,000 kematian sehingga kini. Pasukan pengurusan jenazah yang dianggotai oleh Jawi misalnya telah menguruskan lebih 312 jenazah yang dikaitkan dengan Covid-19 khususnya di Wilayah-Wilayah Persekutuan.


Menjaga keselamatan diri adalah merupakan kewajiban setiap Muslim selaras dengan maqasid syariah yang menuntut memelihara nyawa. Di dalam al-Quran ditegaskan tentang kepentingan menyelamatkan nyawa melalui firman Allah di dalam surah al-Maidah ayat 32 yang bermaksud: "Dengan sebab (kisah pembunuhan kejam) yang demikian itu kami tetapkan atas Bani Israil bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya. Dan demi sesungguhnya, telah datang kepada mereka Rasul-rasul kami dengan membawa keterangan yang cukup terang; kemudian, sesungguhnya kebanyakan daripada mereka sesudah itu, sungguh-sungguh menjadi orang-orang yang melampaui batas (melakukan kerosakan) di muka bumi."


Imam Al-Ghazali menyatakan mewujudkan hifz an-nafs atau memelihara nyawa adalah bererti menjaga agama Islam. Justeru kita berkewajiban mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan bagi mengekang penularan wabak Covid-19 serta mentaati perintah ulil amri demi kemaslahatan bersama. Beberapa media melaporkan sebahagian kes peningkatan penularan wabak terjadi akibat pelanggaran SOP dan sifat sambil lewa serta mementingkan diri sendiri. Oleh itu, setiap orang wajib mempertingkatkan ikhtiar bagi menjaga keselamatan dan kesihatan diri dengan menjauhi perkara yang menyebabkan penularan penyakit tersebut kerana ia adalah sebahagian daripada tuntutan agama. Di dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Setiap orang Islam wajib mendengar dan mentaati dalam perkara yang dia sukai dan perkara yang dia benci, kecuali dia diperintah melakukan maksiat. Maka dia tidak boleh mendengar atau mentaati." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Imam al-Nawawi berkata: "Para ulama telah berijma' bahawa wajib mentaati pemerintah dalam perkara yang bukan maksiat dan haram mentaatinya dalam perkara maksiat." (al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim)

Marilah bersatu hati dan berganding bahu serta mengelakkan perpecahan dan pertelagahan sesama sendiri, sebaliknya bersolidariti terhadap musibah yang melanda umat Islam di seluruh dunia dan mendokong usaha dilaksanakan pelbagai pihak bagi memelihara kemaslahatan masyarakat dan Malaysia daripada bencana.

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)Disiarkan pada: Mei 22, 2021 @ 6:00am.1

_______________________________________

Jumaat, 21 Mei 2021

MASJID berkenaan. FOTO Twitter



New Delhi: Sebuah masjid berusia 112 tahun di utara India dirobohkan pihak berkuasa tempatan Isnin lalu dengan alasan ia struktur haram.

Ia dianggap keterlaluan kerana mahkamah sudah memutuskan larangan sebarang tindakan diambil terhadap bangunan yang terletak di bandar Ram Sanehi Ghat, Barabanki itu sehingga 31 Mei ini.

Kini, umat Islam di Uttar Pradesh ketakutan yang mereka sifatkan tindakan merobohkan masjid itu satu provokasi terburuk sejak kejadian Masjid Babri abad ke-16 dimusnahkan perusuh Hindu di negeri jiran, Ayodhya, pada 1992.

Ahli komuniti masjid berkenaan, Mohammed Nasim berkata, penduduk terkejut dan ketakutan selepas masjid berkenaan dirobohkan.

"Masjid ini sudah digunakan orang ramai sejak beberapa dekad lalu dan perobohannya amat mengejutkan penduduk yang takut ditangkap atau diambil tindakan jika membantah tindakan pihak berkuasa itu.

"Apa penting sangat ke robohkan masjid ini ketika semua sedang berjuang melawan pandemik?" katanya kepada Arab News.

Sementara itu, Majistret Daerah Barabanki, Dr Adarsh Singh menafikan mereka melakukan kesalahan.

"Saya tidak tahu ada mana-mana masjid dirobohkan.

"Itu hartanah haram," katanya.

Bagaimanapun, Pengerusi Lembaga Pusat Waqaf Sunni, Uttar Pradesh Zufar Farooqui mempertikaikan kenyataan berkenaan.

"Tidak dinafikan masjid itu terletak di hadapan kediaman rasmi majistret daerah selama bertahun-tahun.

"Tetapi, macam mana masjid itu boleh menjadi struktur haram.

"Ia didaftarkan dengan pihak kami," katanya.

Pada 15 Mac lalu, pejabat daerah meminta komuniti masjid memohon pengesahan pemilikan masjid itu.

Komuniti berkenaan berkata, mereka sudah menghantar semua dokumen diperlukan dan pada hari sama memfailkan kes itu ke mahkamah tinggi kerana kebimbangan dirobohkan.

Mahkamah memberitahu, pejabat daerah hanya melihat sahaja dokumen berkenaan.

TAMAT.1

_______________________________________

1https://www.hmetro.com.my/global/asia/2021/05/708457/masjid-112-tahun-di-utara-india-dirobohkan

Khamis, 20 Mei 2021

Muhammad Fadhil kini no. 1 dunia acara ujian masa

Bernama

Mei 20, 2021 04:45 MYT



Muhammad Fadhil kini no. 1 dunia acara ujian masa

Muhammad Fadhil adalah pemegang rekod kebangsaan dan Asia acara 1km Ujian Masa selepas mencatat 1 minit 00.305 saat di Kejohanan Dunia Berlin tahun lepas. - BERNAMA

KUALA LUMPUR: Pelumba berbasikal trek kebangsaan Muhammad Fadhil Mohd Zonis kini mengungguli ranking teratas dunia acara Ujian Masa Lelaki Elit, menurut Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Pelumba Yayasan Sime Darby berusia 24 tahun itu mengumpul 1,762.50 mata, naik empat anak tangga selepas mengutip 720 mata apabila meraih pingat perak acara 1km Ujian Masa pada Kejohanan Piala Negara-Negara UCI di Hong Kong, minggu lepas.

Muhammad Fadhil adalah pemegang rekod kebangsaan dan Asia acara 1km Ujian Masa selepas mencatat 1 minit 00.305 saat di Kejohanan Dunia Berlin tahun lepas.


Seorang lagi pelumba negara Muhammad Ridwan Sahrom yang menamatkan perlumbaan di tempat keempat di Hong Kong menghuni ranking ke-25 selepas mengumpul 600 mata.

Kejayaan Muhammad Ridwan di Hong Kong turut menyumbang kepada peningkatan ranking Malaysia sebanyak 13 anak tangga kepada kedudukan ketujuh dunia dengan jumlah terkumpul 1,412.50 mata, berdasarkan kemas kini yang disiarkan di laman web UCI www.uci.org.

Sementara itu, harapan pingat emas Sukan Olimpik negara Mohd Azizulhasni Awang hilang takhta nombor satu acara pecut lelaki selepas dipintas tiga pelumba Jepun.

Pelumba berusia 33 tahun itu tidak mengambil bahagian pada kejohanan berkenaan, turun ke kedudukan keempat dengan jumlah terkumpul 1,300 mata, di belakang Tomohiro Fukuya (1,632.5), Yudai Nitta (1,405) dan Yuta Wakimoto (1,335).

Muhammad Shah Firdaus Sahrom pula jatuh lima tangga kepada kedudukan ke-20 dengan 792.5 mata, manakala Muhammad Fadhil naik 81 tangga kepada kedudukan ke-25 dengan 756 mata.

Bagi acara keirin, Mohd Azizulhasni turun dua anak tangga kepada kedudukan kelima dengan 1,240 mata manakala Mohd Fadhil naik 172 anak tangga kepada kedudukan ke-11 dunia dengan 890 mata.

Pelumba wanita negara Anis Amira Rosidi pula, turut mempamerkan peningkatan dalam ranking terkini apabila menduduki tangga ke-11 dengan mengumpul 720 mata.

Anis Amira meningkat 108 anak tangga selepas meraih pingat gangsa acara 500m Ujian Masa Wanita di Hong Kong.

Dalam acara keirin, pelumba berusia 23 tahun itu meningkat 37 anak tangga kepada kedudukan ke-35 selepas mengumpul 549 mata dan menduduki ranking ke-40 acara pecut dengan 573 mata.

-- BERNAMA.1

__________________________________________________-

Jumaat, 14 Mei 2021

Penyelidik Mexico temui spesies dinosaur 'bercakap'

AFP



RANGKA apatosaurus atau dikenali juga brontosaurus daripada era Jurassic dipamerkan di Fundidora Park, Monterrey, Mexico pada 15 November 2014. FOTO AFP.

Mexico City: Ahli paleontologi mengenal pasti spesies dinosaur baharu hasil penemuan spesimen berusia 73 juta tahun lalu di utara Mexico, menurut Institut Sejarah dan Antropologi Kebangsaan (INAH) negara itu pada Khamis.

Saintis memaklumkan, keadaan di mana haiwan itu ditemui menjelaskan tahap pemeliharaannya.

"Kira-kira 72 atau 73 juta tahun lalu, dinosaur herbivor yang besar mati dengan badannya mendap dengan air dan penuh sedimen, yang memudahkan badan haiwan itu mudah ditutupi dan terpelihara selama berabad," menurut kenyataan institut itu.

Dinosaur terbabit digelar Tlatolophus galorum, dengan ekornya yang pertama ditemui di General Cepeda, Coahuila pada 2013.

INAH berkata, usaha penggalian diteruskan dengan saintis akhirnya menemui 80 peratus tengkorak haiwan itu, balung dan tulang sepanjang 1.32 meter seperti paha dan bahu, yang membuatkan mereka sedar sedang mengkaji spesies dinosaur baharu.

"Kami tahu ia mempunyai telinga dengan kapasiti pendengaran bunyi frekuensi rendah, jadi ia mungkin jenis dinosaur yang tenang tetapi banyak mengeluarkan bunyi," kata kenyataan itu.

Ahli pateontologi juga percaya dinosaur itu "mengeluarkan suara kuat untuk menakutkan pemangsa atau bagi tujuan pembiakan."

Penemuan itu masih dalam kajian lanjut tetapi kajian mengenai reptilia kuno itu sudah disiarkan dalam jurnal saintifik, Cretaceous Research.

"Ini adalah kes luar biasa bagi paleontologi Mexico," kata kenyataan itu.

Nama Tlatolophus berasal daripada bahasa asli Nahuatl iaitu tlahtolli yang bermaksud kata atau kenyataan, dan perkataan Yunani, lophus yang bermaksud balung.

Balung haiwan itu menurut INAH kelihatan seperti simbol yang digunakan orang Mesoamerican dalam manuskrip purba yang menggambarkan komunikasi dan pengetahuan.

Disiarkan pada: Mei 14, 2021 @ 3:20pm.1

1https://www.hmetro.com.my/global/amerika-utara/2021/05/705870/penyelidik-mexico-temui-spesies-dinosaur-bercakap

Khamis, 13 Mei 2021

Pemanah negara, Haziq meninggal dunia

Haziq Kamaruddin menghembuskan nafas terakhirnya pagi tadi.



Atlet berpengalaman memanah negara, Haziq Kamaruddin menghembuskan nafas terakhirnya pagi tadi.

Arwah berusia 27 tahun yang memburu tempat ke temasya Olimpik buat kali ketiga itu kini di bawa ke Hospital Kajang untuk menjalani ujian calitan sebelum menunggu arahan polis bagi proses bedah siasat.

Perkara itu disahkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN).

Haziq menjadi taruhan negara untuk layak beraksi di Tokyo dalam acara berpasukan seterusnya mengikuti jejak langkah rakan pasukan, Khairul Anuar Mohd.

Disiarkan pada: Mei 14, 2021 @ 12:11pm.1

_________________________________________

Ahad, 9 Mei 2021

Penemuan laluan hijrah Nabi Muhammad SAW ke Madinah

Mei 10, 2021 @ 10:39am



Gambar hiasan

JEDDAH: Selepas lebih 1,400 tahun penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Madinah, pengkaji sejarah dan aktivis alam sekitar Arab Saudi berjaya menelusuri semula perjalanan bersejarah itu.

Selama lapan hari pasukan terbabit mengembara dengan berjalan kaki dan menggunakan unta menerusi gunung serta padang pasir, mengikuti jejak perjalanan Baginda ketika melepaskan diri dari puak Quraisy.

Pasukan itu terdiri daripada pakar sejarah, Abdulhafaiz Al-Graiqri; arkitek dan perancang bandar, Amro Darwish; pengkaji, Dr Samir Barqah dan aktivis alam sekitar, Hassan Abdulshakoor.

Perjalanan mereka bermula di gua Thur, Gunung Thur di Makkah yang mana Nabi Muhammad SAW dan sahabat, Saidina Abu Bakar bersembunyi dari musuh.

Perjalanan sejauh 500 kilometer itu turut membabitkan ekspedisi lapangan serta bermalam dalam keadaan sukar dan berbahaya, lapor agensi berita Arab News.

Al-Graiqri berkata, usaha mendokumentasi penghijrahan Nabi Muhammad adalah hasil penyelidikan selama beberapa tahun, didorong keinginan untuk menentukan dengan lebih tepat laluan digunakan ketika hijrah itu berlaku.

"Dalam penyelidikan ini, kami melakukan puluhan ekspedisi lapangan, mengumpul data, merekodkan maklumat koordinat Sistem Pengesanan Global (GPS) dan Sistem Maklumat Geografi (GIS) serta jarak perjalanan," katanya.

Sementara itu, Darwish berkata, kumpulan terbabit melakukan pelbagai pemeriksaan silang hasil maklumat daripada penyelidikan yang dilakukan selain memperoleh maklumat daripada puak yang tinggal di lembah berkenaan.

Katanya, menerusi maklumat yang diperoleh itu, mereka berupaya menentukan kemungkinan laluan yang digunakan Nabi Muhammad SAW apabila diperintah oleh Allah untuk berhijrah ke Madinah.

"Kami tidak dapat menggambarkan perasaan apabila berjaya menamatkan pengembaraan ini dan kami yakin laluan ini kemungkinan besar digunakan Nabi Muhammad SAW ketika berhijrah dari Makkah ke Madinah.

"Kami mengambil masa hampir dua tahun merancang dan melaksanakan kajian. Ini adalah saat yang amat istimewa," katanya. - AGENSI.1

Khamis, 6 Mei 2021

Gambar Makam Nabi Ibrahim diedarkan buat pertama kali

Mei 6, 2021 @ 4:11pm



Antara imej Makam Nabi Ibrahim yang diedarkan Presidensi Hal Ehwal Dua Masjid Suci. - Foto AGENSI

MAKKAH: Arab Saudi mengedarkan imej Makam Nabi Ibrahim yang tidak pernah didedahkan kepada umum sebelum ini, sehari selepas mengeluarkan imej batu Hajarul Aswad.

Presidensi Hal Ehwal Dua Masjid Suci, yang dipetik Saudi Gazette, menjelaskan gambar beresolusi tinggi makam di Masjidil Haram itu diambil menggunakan teknik baharu 'stacked panoramic focus', sama seperti gambar Hajarul Aswad.

Makam berkenaan turut merangkumi batu yang mengabadikan bekas tapak kaki Nabi Ibrahim ketika berdiri untuk membina Kaabah apabila temboknya semakin tinggi.

Batu berkenaan dilitupi emas, perak dan diletakkan dalam bingkai bercermin bagi memelihara jejak kaki Nabi Ibrahim.

Dalam siri ciapan yang dimuat naik di akaun Twitter, Presidensi Hal Ehwal Dua Masjid Suci turut menyertakan beberapa keping gambar yang menampilkan sisi tempat suci itu, yang tidak pernah dilihat sebelum ini.

Menurut penjelasan pada gambar, Makam Naib Ibrahim itu adalah sebutir delima dari syurga, yang terletak di depan pintu Kaabah, iaitu antara 10 hingga 11 meter di timur Kaabah, menuju ke Safa dan Marwah.

Presiden menjelaskan bahawa tempat suci itu ialah batu arkeologi segi empat itu berukuran 40 sentimeter (sm) panjang, 20 sm tinggi dan 20 sm lebar, di mana Naib Ibrahim berdiri ketika pembinaan dinding Kaabah semakin tinggi.

Warna batu itu ialah kekuningan dan putih kemerahan, dengan bekas tapak kaki berukuran 27 sm panjang dan 14 sm lebar terletak di tengah batu berkenaan.

Berdasarkan kepercayaan Islam, Allah menurunkan Batu Hitam dan batu makam itu dari syurga kepada Naib Ibrahim serta Ismail, selepas mereka diarahkan untuk mengangkat tapak Kaabah.

Batu ditanda kesan dua bekas tapak kaki dan menurut sejarah, ia kekal berada di sisi Kaabah sebagai antara mercu tanda utama Makkah.

Apabila Nabi Muhammad menawan kota Makkah, baginda dan teman-temannya mengambil keputusan untuk mengalihkan batu itu dari lokasi asal berdekatan Kaabah ke lokasi sekarang, sejauh lebih 10 meter.

Ia dilakukan bagi memudahkan urusan melakukan tawaf dan memberi ruang kepada orang ramai untuk solat di belakang batu suci itu, seperti terkandung dalam al-Quran.

Berdasarkan sejarawan, pemimpin pertama yang menutup batu suci itu ialah Khalifah Abbasiyah, Al-Mahdi dan Khalifah Al-Mutawakkil pula menutupnya dengan emas serta perak bagi mengangkat martabatnya.

Pada era Arab Saudi, khususnya pemerintahan Raja Faisal, kerja memperluaskan kawasan itu dilakukan dan beberapa struktur dikeluarkan bagi melancarkan urusan ibadat tawaf.

Di sekeliling batu Makam Nabi Ibrahim itu dikemaskan dengan saduran emas dan ikatan bingkai perak serta dan dilindungi tirai besi. SUMBER- AGENS