Ahad, 3 November 2019

Mokhtar antara pemain terbaik Asia


ARKIB : 24/09/1998
ALLAHYARHAM Mokhtar Dahari yang digeruni oleh kebanyakan pemain pertahanan bola sepak di Malaysia dan Asia sewaktu zaman kecemerlangannya dipilih sebagai antara pemain bola sepak terbaik Asia abad ini.
Dia dipilih oleh satu pasukan pakar bola sepak Asia dan juga wartawan sukan yang dikendalikan oleh Persekutuan Perangkaan dan Sejarah Bola Sepak Antarabangsa (IFFHS).
Mokhtar, yang meninggal dunia tahun 1991 adalah pemain kedua Malaysia yang mendapat penghormatan daripada IFFHS. Yang pertama ialah Chow Chee Keong yang dipilih sebagai antara 30 penjaga gol terbaik Asia abad ini.
Mokhtar mendapat ranking ke-30 dalam senarai IFFHS, manakala pemain Singapura, Fandi Ahmad ke-29. Fandi mengumumkan persaraan dari bola sepak antarabangsa baru-baru ini.
Pemain terbaik Asia Tenggara ialah Piyapong-Pue On dari Thailand yang menduduki rankingke-19 manakala seorang lagi pemain Thailand, Sritong-In Natipong menduduki tempat ke-25.
Mengetuai senarai itu ialah bekas pemain Korea Selatan Cha Bum Kun yang menjadi jurulatih pasukan Piala Dunia '98 negara itu.
Seorang lagi pemain Korea Selatan, Kim Joo Sung di tempat kedua dan Abdullah Mohammed Majid dari Arab Saudi ketiga dengan pemain Jepun Kazu Miura dan Kumishige Kamamoto, keempat dan kelima. - Bernama.

Tok Mat nasionalis yang setia


ARKIB : 01/01/2010
01/01/2010 9:40pm

KUALA LUMPUR 1 Jan. — ”Tok Mat”, ”Mat Setia”, ”Mat UMNO” dan ”Mat Bulat” adalah antara nama jolokan yang diberikan bagi menggambarkan personaliti dan perwatakan Tan Sri Mohamed Rahmat, bekas Menteri Penerangan Malaysia yang pernah mewarnai dunia politik dan industri hiburan negara dengan pelbagai sejarah tersendiri.
Menggalas tugas sebagai Menteri Penerangan sebanyak dua kali iaitu pada 1978-1982 dan 1987-1999, Mohamed atau lebih dikenali dengan panggilan
“Tok Mat” mempunyai cara tersendiri sebagai ejen penerangan kerajaan untuk memastikan segala dasar kerajaan sampai ke peringkat akar umbi.
Tok Mat adalah tunjang kepada “Setia Bersama Rakyat” atau Semarak, yang menjadi program serampang dua mata iaitu untuk meningkatkan semangat cintakan negara juga mengembalikan kepercayaan rakyat kepada parti UMNO yang ketika itu sedang mengalami krisis kepimpinan.
Beliau juga telah menghasilkan lagu patriotik ”Setia” yang menjadi begitu penting sehingga sering dimainkan setiap kali selepas lagu Negaraku diputarkan.
Setianya kepada parti juga terbukti apabila beliau sedia memikul tugas berat sebagai Setiausaha Agung UMNO dan Barisan Nasional (BN) sejak 1988 hingga 1999.
Sebagai Setiausaha Agung UMNO, beliau bertanggungjawab mengembalikan maruah dan menghidupkan semula UMNO setelah parti Melayu itu melalui sejarah hitam diharamkan akibat krisis kepimpinan pada 1988.
Malah beliau juga sering diberi kepercayaan untuk menjadi pencatur strategi sama ada untuk mengembalikan sokongan rakyat baik kepada parti mahupun pemimpin.
"Bagi saya, itu satu perkara amat memalukan, sejarah yang paling hitam dalam UMNO bila diharamkan,” katanya yang merupakan pemegang nombor keahlian 00000003 dalam UMNO.
Dilahirkan di Pulai, Johor pada 4 Januari 1938, Mohamed mendapat pendidikan menengah di Maktab Abu Bakar, Johor Bahru pada 1956 sebelum melanjutkan pengajiannya dalam bidang Bachelor of Letters di Universiti Indonesia, Jakarta pada 1961. Beliau bagaimanapun tidak sempat menamatkan pengajiannya di peringkat Ijazah Sarjana ekoran konfrontasi antara Malaysia dan Indonesia.
Memulakan kerjayanya sebagai guru di Sekolah King Edward VII, Taiping, Perak pada 1963, Allahyarham Mohamed kemudiannya beralih kepada bidang penulisan skrip di Filem Negara Malaysia (Finas) selama setahun bermula 1964.
Namun, hari ini Menteri Propaganda itu telah menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 71 tahun meninggalkan legasi dan strategi-stretegi propagandanya sebagai rujukan.
Allahyarham yang sepatutnya menyambut ulang tahun kelahirannya ke-72 Isnin depan meninggal dunia dalam tidur di kediamannya di Bukit Damansara, di sini pagi ini.
Anak sulungnya Datuk Nur Jazlan, yang juga Anggota Parlimen Pulai berkata, bapanya disedari meninggal dunia pada kira-kira 8 pagi ini ketika ibunya Puan Sri Salbiah Abdul Hamid mahu mengejutnya bangun daripada tidur dan menutup mesin dialisis yang dipasang pada tubuh suamninya itu.
Beliau berkata, Allahyarham bapanya menghidapi penyakit buah pinggang sejak 10 tahun lepas dan perlu menjalani rawatan dialisis setiap hari.
Menyorot kembali penglibatan Allahyarham dalam dunia politik bermula dengan menyertai UMNO sejak 1963 dan terpilih menjadi Ahli Parlimen Johor Baru Barat (yang dinamakan sebagai Pulai pada tahun 1974) dalam Pilihan Raya Umum 1969.
Beliau terus menjadi Ahli Parlimen Pulai selama enam penggal atau 30 tahun sehingga 1999.
Di dalam Kabinet, Mohamed telah dilantik sebagai Menteri Penerangan (1978-1982) dan atas kapasiti sebagai Menteri Penerangan, beliau juga dilantik sebagai Setiausaha Agung UMNO dan Setiausaha Agung Barisan Nasional bermula 1988 hingga 1999.
Allahyarham juga pernah dilantik sebagai Duta berstatus menteri ke Jakarta, Indonesia pada 1982.
Semasa menjadi Menteri Penerangan, antara peristiwa yang diingati ialah apabila beliau berjaya menyelesaikan isu disiplin penyanyi rock yang timbul tahun 1990 apabila mengarahkan penyanyi rock memotong rambut jika hendak keluar televisyen.
Antara yang menjadi mangsa ialah penyanyi Awie dari Kumpulan Wings dan Amy dari kumpulan Search.
Selepas bersara daripada pentadbiran kerajaan dan UMNO, Tok Mat telah menghasilkan sebuah nukilan buku berjudul ”UMNO: Akhir Sebuah Impian” yang memaparkan manipulasi politik yang dilakukan pemimpin UMNO terdahulu dalam mengekalkan kekuasaan. - Bernama
SUKAN

Pameran darurat membangkitkan semangat cintakan negara


ARKIB : 27/08/1998

KERETA perisai polis 'Sagor' yang pernah digunakan bagi melakukan rondaan dan kawalan keselamatan ketika zaman darurat.


Sehubungan itu, usaha yang dilakukan oleh Arkib Negara Malaysia (ANM) mengadakan pameran terbesar Zaman Darurat Di Tanah Melayu 1948-1960 perlu diberikan pujian, terutama dalam membangkitkan semangat cintakan negara.
Orang ramai juga seharusnya tidak melepaskan peluang keemasan ini untuk menghayati rentetan peristiwa negara melalui tempoh kira-kira 12 tahun yang penuh dengan pelbagai tragedi berdarah dan perjuangan rakyat menghadapi pengganas komunis.
Darurat sememangnya satu tempoh masa yang benar-benar menguji semangat patriotik dan pengorbanan rakyat bagi memastikan komunis dan fahamannya tidak terus meresap.
Pada zaman inilah banyak anggota pasukan keselamatan dan rakyat terkorban angkara komunis, yang kononnya memperjuangkan masalah rakyat.
Perjuangan kira-kira 12 tahun ini berakhir dengan kekalahan pihak Parti Komunis Malaya (PKM) di mana mereka terus berjuang secara kecil-kecilan dalam hutan sehinggakan perletakan senjata pada tahun 1989.
Pameran Darurat yang bertempat di Memorial Tunku Abdul Rahman Putra, Jalan Datuk Onn di ibu negara itu diadakan selama empat bulan, bermula 31 Julai lalu sehingga akhir tahun ini.
Pameran tersebut dirasmikan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Syed Hamid Albar pada 31 Julai, sempena hari pengisytiharan tamatnya zaman darurat di negara ini.
Skop pameran meliputi beberapa sektor, termasuk latar belakang darurat, gerakan pengganas komunis, kehidupan zaman darurat, langkah-langkah keselamatan, kerjasama Komanwel, tokoh kerajaan dan pemimpin komunis, persidangan Baling dan proses penamatan darurat.
Sebanyak 250 bahan dipamerkan bagi melengkapkan pameran tersebut seperti gambar, dokumen, keratan akhbar, poster dan pakaian seragam.
Senjata api yang pernah digunakan oleh komunis dan tentera kerajaan, kereta kebal, pakaian dan peralatan komunis menarik untuk disaksikan.
Begitu juga dengan gambar-gambar mangsa yang dibunuh serta kemusnahan harta benda akibat kekejaman komunis.
Risalah-risalah komunis dan kerajaan serta pelbagai lagi barang-barang milik pengganas yang berjaya dirampas oleh kerajaan turut dipamerkan.
Bahan-bahan tersebut merupakan sumbangan pelbagai pihak seperti daripada koleksi ANM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Filem Negara, Jabatan Penerangan, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), The New Straits Times (M) Berhad serta Utusan Melayu (M) Berhad.
Ketua Pengarah ANM, Datuk Habibah Zon, pada ucapannya di majlis perasmian itu berkata, peristiwa darurat perlu dihayati oleh orang ramai, terutama generasi muda, dalam membangkitkan semangat cintakan negara.
Menurut beliau, bahan-bahan pameran tersebut amat penting dalam memberikan gambaran sebenar kesusahan yang dialami oleh masyarakat yang sentiasa diancam oleh pengganas komunis.
Kejayaan menumpaskan komunis juga merupakan rentetan bersejarah yang membawa kepada kemerdekaan negara.
Sehubungan itu orang ramai, terutama ibu bapa dan pelajar sekolah, seharusnya merebut kesempatan daripada pameran ini kerana ia dibuat secara bersepadu iaitu gabungan antara pameran oleh tentera dan polis serta sektor lain yang berkaitan seperti KTMB dan syarikat persuratkhabaran.

Gerhana mata hari Anulus terakhir abad ini


ARKIB : 15/08/1998
KUALA LUMPUR 14 Ogos - Fenomena gerhana mata hari Anulus yang akan berlaku pada 22 Ogos ini merupakan gerhana mata hari penuh yang terakhir pada abad ini bagi rantau Asia Tenggara sehingga tahun 2020.
Ketua Pengarah Bahagian kajian Sains Angkasa (BAKSA), Profesor Datuk Dr. Mazlan Othman berkata, sepanjang tempoh itu masyarakat tidak lagi berpeluang untuk melihat fenomena gerhana penuh, melainkan gerhana separa yang berlaku di Australia dan Eropah pada tahun depan.
''Selepas ini kita hanya berpeluang untuk melihat gerhana separa yang berlaku pada Februari tahun depan dan bulan Januari, 2009, 200, 2016 dan Julai 2009,'' katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Beliau berkata, kejadian gerhana Anulus pada kali ini yang berlaku selama 2 jam 30 minit, dapat dilihat di sebahagian besar Semenanjung, Sabah dan Sarawak bermula pukul 7 sehingga 9.30 pagi.
''Bagaimanapun, kejadian gerhana penuh hanya boleh dilihat di Melaka, Mersing, dan Bintulu selama 2 minit 30 saat,'' katanya.
Menurut Dr. Mazlan, fenomena gerhana mata hari Anulus tidak sama dengan gerhana mata hari penuh, di mana kedudukan bulan berada agak hampir dengan bumi sehingga membenarkan sedikit cahaya mata hari terus kelihatan.
''Sedangkan gerhana mata hari penuh, kedudukan bulan yang sejajar dengan matahari dan bumi berada agak jauh sehingga menghalang terus permukaan mata hari daripada pandangan mata kasar,'' jelasnya.
Katanya, beberapa kejadian ganjil akan berlaku akibat fenomena itu, seperti keadaan cuaca yang tidak menentu, angin bertiup kencang dan langit kelihatan seakan-akan senja, serta haiwan seperti burung dan ayam berada dalam kebingungan.
Jelas beliau, panjang bayangan laluan gerhana itu dianggarkan sepanjang 13,500 kilometer, dengan lebar bayangan 131 kilometer ketika melintasi Semenanjung dan Sarawak.

PELANCARAN MARDI

Pada  hari  ini  dalam  tahun  1969,  Timbalan  Perdana  Menteri, Tun  Abdul  Razak  Hussein  telah  merasmikan Institut  Penyelidikan  dan  Kemajuan  Pertanian  Malaysia  (MARDI).  Ketika  berucap  pada  majlis  perasmian  tersebut,  Tun  Abdul  Razak  menyatakan  bahawa  pembentukan  MARDI,  bertujuan  untuk  menyelaras  penyelidikan  berkaitan  dengan  sektor  ekonomi  pertanian  bagi  menjamin  kemajuan  dalam  rancangan  pertanian  di  Malaysia.  MARDI  telah  ditubuhkan  melalui  Akta  MARDI  yang  telah  dikuatkuasakan  pada  17  Februari  1969.  Antara  asas  utama  penubuhan  MARDI  ini  ialah  untuk  menyatukan  tanggungjawab  penyelidikan bagi  semua  bidang  pertanian   kecuali  kelapa  sawit  dan  getah.  Disamping  itu  juga  ia  bertujuan  untuk  membangunkan  penyelidikan  yang  lebih  kreatif serta   mempromosikan  teknologi  baru  dan  yang  lebih  baik  dalam  bidang  pertanian.  Selain  itu  MARDI  juga  menjadi  pusat  pengumpulan  dan  penyebaran  maklumat  serta  khidmat  nasihat  berkaitan  dengan  kajian  saintifik,  teknikal  dan  ekonomi  secara  menyeluruh  dalam  bidang  pertanian.  Sesungguhnya,  bidang  pembangunan  pertanian  diberi  penekanan  oleh  kerajaan  selepas  kemerdekaan  bertujuan  untuk  meningkatkan  produktiviti  serta  memaksimumkan  pendapatan  sektor  pertanian.[]



[1] ttp://www2.arkib.gov.my/hids/readarticle.php

Jaffar Hussein meninggal dunia


ARKIB : 12/08/1998

ALLAHYARHAM JAFFAR.


KUALA LUMPUR 11 Ogos - Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Jaffar Hussein meninggal dunia di Pusat Perubatan Subang Jaya, hari ini. Beliau berusia 67 tahun.
Anak bongsunya, Roslan berkata, Allahyarham meninggal dunia pada lebih kurang pukul 4.30 petang tadi selepas dimasukkan ke hospital swasta itu di Subang Jaya sejak dua minggu lepas kerana masalah kesihatan.
Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke kediamannya di No 27, Jalan Batai, Bukit Damansara petang ini.
Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburaan Islam Bukit Kiara pada 11 pagi esok, kata Roslan apabila dihubungi di sini, hari ini.
Beliau meninggalkan isteri, Puan Sri Rohila Abdul Rahman, anak perempuan Rossana, 34, dua anak lelaki, Roshan, 31, dan Roslan, 22, serta tiga orang cucu.
Tan Sri Jaffar memegang jawatan Gabenor Bank Negara dari Jun 1985 hingga Mei 1994.
Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Jaffar.
Sambil melahirkan rasa sedih, beliau menyifatkan Allahyarham sebagai seorang gabenor yang begitu berjaya semasa memimpin BNM.
Dr. Mahathir menyatakan demikian pada persidangan akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat tertutup Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang di Menara UMNO negeri di sini.
Published on: 13/08/1998