Jumaat, 2 Ogos 2019

PENEMPATAN PERTAMA PENEROKA LEMBAH BILUT


OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
Pada hari ini 2.8.1959, rombongan seramai 30 orang tiba di Tanah Rancangan Lembah Bilut untuk memulakan hidup baru sebagai peneroka di situ. Mereka adalah kumpulan pertama yang telah dipilih dari seramai 9,000 pemohon untuk mendiami tanah rancangan Lembah Bilut, iaitu rancangan pembukaan tanah yang terbesar pernah diusahakan oleh Felda sejak ia di tubuhkan. Untuk peringkat pertama, dalam Rancangan 5 tahun pertama ini, Felda telah memilih seramai 600 keluarga dari seluruh negeri Persekutuan Tanah Melayu. Ia dijangka akan mengambil seramai 600 keluarga lagi di peringkat keduanya kelak. Projek yang meliputi kawasan seluas 22 batu persegi ini melibatkan perbelanjaan sebanyak 2½ juta ringgit. Setiap peserta yang telah dipilih diberi tanah seluas 7 ekar bagi tanaman getah dan 3 ekar tanah dusun. Untuk membangunkan tanah tersebut, pihak Felda juga menyediakan bantuan pinjaman sebanyak 6,000 ringgit kepada setiap keluarga peserta. Pinjaman ini perlu dibayar balik dalam jangka masa 5 tahun dari tarikh pinjaman dibuat. Bagi memastikan kejayaan skim pertanian ini pula, kerja-kerja pertanian peneroka diawasi dan diberi perhatian secara langsung oleh pegawai Felda sendiri. Perhatian seumpama ini diteruskan hingga peneroka-peneroka itu boleh berdikari. Sesungguhnya pembukaan tanah Lembah Bilut pada hari ini dalam tahun 1959 memberi erti yang besar kepada golongan miskin. Melalui rancangan ini ramai dari mereka yang tidak berada telah berjaya memperolehi dan memiliki tanah sendiri, malah dengan kejayaan ini mereka telah berpeluang menikmati segala kemudahan yang disediakan oleh Felda untuk hidup yang lebih selesa.[1]


[1]http://www2.arkib.gov.my/hids

Tiada ulasan:

Catat Ulasan