Jumaat, 9 Ogos 2019

KAWASAN MANCHIS DI BENTONG DAN TEMERLOH DIISYTIHARKAN KAWASAN PUTIH


OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
Pada hari ini 10.8.1956, kawasan Manchis diisytihar sebagai kawasan putih oleh Sultan Pahang manakala bagi daerah Bentong oleh Menteri Besar iaitu Tengku Muhammad. Kawasan Manchis di daerah Bentong dan daerah Temerloh merupakan kawasan yang agak serius diancam pengganas komunis di negeri Pahang. Kawasan putih ialah kawasan yang telah diisytiharkan selamat dan bersih dari ancaman komunis. Kedua-dua kawasan ini meliputi keluasan 712 batu persegi dengan jumlah penduduk seramai 14,700 orang. Zaman darurat di antara tahun 1948 hingga 1960 telah membawa kesan yang besar kepada proses keamanan dan kemerdekaan di negara ini. Keamanan menjadi syarat untuk mencapai kemerdekaaan. Untuk mengisi kemerdekaan juga memerlukan keamanan. Kegiatan komunis mengancam keamanan, oleh itu kerajaan telah memperkenalkan beberapa dasar dalam usaha mengawal kegiatan komunis, antaranya ialah Rancangan Briggs serta mewujudkan kawasan Putih dan Hitam. Pada zaman darurat kawasan ini merupakan kubu kuat pihak komunis dalam usaha mereka menentang pihak kerajaan. Daerah Temerloh menjadi pembekal makanan dan ubatan kepada pihak komunis manakala kawasan Manchis pula pihak komunis bertindak dengan berleluasa seperti membunuh penduduk dan merosak kemudahan-kemudahan awam. Hasil tindakan tegas pihak kerajaan serta kerjasama yang telah diberikan oleh penduduk setempat dalam usaha membanteras pihak komunis maka pada hari ini dalam tahun 1956 kedua-dua kawasan telah diisytihar sebagai kawasan Putih dan bersih dari ancaman komunis. Penduduk setempat telah mendapat banyak pengalaman dalam berhadapan dengan kegiatan komunis. Pengalaman-pengalaman ini haruslah dijadikan pengajaran untuk menghargai keamanan. Bagi mereka yang melalui zaman darurat, keamanan dan kebebasan mempunyai harga yang tidak ternilai.[1]


[1]http://www2.arkib.gov.my/hids


Tiada ulasan:

Catat Ulasan