OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
Pada hari ini dalam tahun 1956,
Persidangan Meja Bulat di antara wakil-wakil kerajaan Perikatan dan wakil-wakil
Raja Melayu dengan pegawai-pegawai dari Pejabat Tanah Jajahan British di
Lancaster House, London untuk menuntut kemerdekaan bagi Tanah Melayu telah
diadakan. Persidangan ini dinamakan
Persidangan Malaya Merdeka. Persidangan ini telah mengambil masa selama 3
minggu dan masalah-masalah yang dibincangkan ialah:-
Malaya akan merdeka dalam
lingkungan ‘British Komanwel’,
Hal ehwal kewangan, pentadbiran,
keselamatan dalam negeri, pertahanan dan hal ehwal luar negeri akan dipegang
oleh menteri-menteri Persekutuan Tanah Melayu,
Penubuhan Jawatankuasa Bebas
Kemerdekaan untuk mengkaji dan menyarankan perubahan dalam perlembagaan dengan
tidak mengubah kedudukan istimewa Raja-Raja Melayu.
Rombongan menuntut kemerdekaan
Malaya ini diketuai oleh Y.T.M. Tunku Abdul Rahman dengan wakil-wakil dari
Rakyat Malaya terdiri dari Dato' Abdul Razak bin Hussein, Dr, Ismail Abdul
Rahman, Kolonel H.S.Lee, Tuan T.H. Tan dan Bahaman Shamsudin. Wakil-wakil dari Raja-Raha Melayu pula
terdiri dari Dato' Panglima Bukit
Gantang, Dato' Nik Ahmad Kamil, Encik Abdul Aziz Majid dan Dato' Mohd Seth.
Sesungguhnya persidangan Malaya Merdeka di London pada hari ini dalam tahun
1956 telah membuka jalan untuk mendapatkan kemerdekaan penuh bagi Persekutuan
Tanah Melayu yang diisytiharkan dalam satu upacara yang gilang gemilang pada 31
hb. Ogos, 1957.[1]