Ahad, 5 Februari 2017

Kerajaan Malaysia temui bukti kukuh

 Oleh JUNHAIRI ALYASA dan RIDZUDDIN ROSLAN
 
PULAU Batu Puteh yang menjadi pertikaian antara Malaysia dan Singapura terletak 7.7 batu nautika dari pantai Tanjung Penyusuh, Johor.

KUALA LUMPUR – Malaysia mempunyai peluang cerah untuk memiliki kembali Pulau Batu Puteh daripada Singapura berdasarkan pe­nemuan fakta baharu yang terkandung dalam tiga dokumen di Arkib Nasional United Kingdom (UK), London.

Menurut kenyataan akhbar Mahkamah Keadilan Jenayah Antarabangsa (ICJ), tiga dokumen itu meliputi urusan surat-menyurat dalaman pihak berkuasa penjajah Singapura pada tahun 1958, laporan kejadian oleh pegawai Angkatan Tentera Laut British yang difailkan pada tahun 1958 dan peta operasi tentera laut dari tahun 1960-an.

Kenyataan itu menyatakan dokumen berkenaan ditemui di arkib tersebut antara 4 Ogos 2016 dan 30 Januari 2017.

Tambah kenyataan itu, Malaysia mendakwa, dokumen berkenaan membentangkan fakta baharu bahawa para pegawai peringkat tertinggi dalam pentadbiran tanah jajahan Britain dan Si­ngapura memperakukan bahawa Pulau Batu Puteh tidak menjadi sebahagian daripada wilayah berdaulat Singapura dalam tempoh berkenaan.

“Segala urusan surat-menyu­rat dan peta pada ketika itu tidak mengakui Pulau Batu Puteh sebahagian daripada kedau­latan Si­ngapura,” kata kenya­taan itu di laman web ICJ kelmarin.

Kosmo! semalam melaporkan, kerajaan Malaysia memfailkan permohonan semakan semula keputusan ICJ di The Hague, Belanda ke atas Pulau Batu Puteh, Middle Rocks dan South Ledge selepas menemui fakta-fakta terbaharu.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0205&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz4Xndy4WGP Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan